Dasar kerajaan bantu masyarakat Cina berjaya: Michael Chen

View previous topic View next topic Go down

Dasar kerajaan bantu masyarakat Cina berjaya: Michael Chen

Post  yeeleng(L6A) on Sun Aug 22, 2010 2:01 pm

KUALA LUMPUR: Kejayaan masyarakat Cina dalam pelbagai bidang hari ini banyak dibantu oleh dasar kerajaan Barisan Nasional yang tidak mengamalkan prinsip diskriminasi terhadap mana-mana kaum, kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Michael Chen.

Beliau berkata, antara kejayaan yang telah dikecapi masyarakat Cina adalah dalam bidang politik, perniagaan, pendidikan, kejuruteraan dan kesusasteraan serta keselamatan. "Sejak Merdeka pada 1957, kaum Cina di Malaysia berpuas hati dengan keadaan ekonomi dan saya rasa mereka turut menyumbang kepada kemajuan negara. "Kesetiaan mereka terhadap negara ini sudah terbukti dan memang diakui bahawa kerajaan BN telah mewujudkan kestabilan dan juga dasar yang membolehkan kaum Cina hidup selesa di negara ini," katanya kepada BERNAMA di sini.

Chen berkata, pelbagai peluang dan bantuan telah diberikan oleh kerajaan BN selama lebih 50 tahun memerintah dan ia telah dapat dinikmati oleh kaum Cina.

Bekas Timbalan Presiden MCA itu berkata, ini termasuklah bantuan peruntukan kepada sekolah Cina serta biasiswa dan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi tempatan selain daripada menikmati kebebasan beragama dan pengagihan kekayaan ekonomi negara.

Chen menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Abdul Razak Hussein pada 1964 yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga pernah menjadi Menteri Tugas-tugas Khas bertanggungjawab dalam Penyelidikan Tenaga Nuklear dan Alam Sekitar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Chen berkata, masyarakat Cina sangat mementingkan soal akses mendapatkan pendidikan dan soal pemberian biasiswa sedikit sebanyak membuatkan kaum itu "terasa hati" dengan kerajaan.

"Isu biasiswa ini masih berlarutan kerana kaum Cina merasakan kerajaan tidak berlaku adil. Itulah sebabnya saya harap kerajaan akan segera menyelesaikannya.

"Kenapa? Ini adalah kerana ada sesetengah mereka merasakan bahawa anak mereka yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik daripada yang lain tetapi tidak diberikan biasiswa," katanya.

Mengenai pengagihan kekayaan ekonomi pula, beliau berpendapat bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang juga satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Tun Abdul Razak adalah sangat baik bagi merapatkan jurang antara golongan yang kaya dan miskin.

Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata, iaitu untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Kedua, ia dapat mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

"Dalam sektor ekonomi, saya berpendapat bahawa daripada segi kemajuan dan dasar, kaum Cina telah berusaha keras untuk mendapatkan bahagian mereka tetapi mereka masih tidak berpuas hati dan sensitif kepada isu DEB ini.

"Jika diteliti sejarah, DEB adalah satu konsep yang baik tetapi ia disalah ertikan dan terdapat kesalahan dalam pelaksanannya," katanya.

Melihat kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam memperkenalkan pendekatan baru yang mesra rakyat, Chen berkata langkah yang digunakan itu berjaya dan Najib diterima semua lapisan masyarakat dan kaum.

Katanya, pendekatan yang digunakan Perdana Menteri itu adalah serupa seperti yang dilakukan ayahandanya Tun Razak dengan turun ke bawah mendekati rakyat, bergaul dengan bangsa-bangsa lain dan memberi perhatian yang penuh terdapat sebarang permasalahan rakyat.

"Konsep 1Malaysia yang dilancarkan oleh Datuk Seri Najib sebenarnya adalah kesinambungan daripada visi yang terdahulu iaitu untuk menjadikan pembahagian kek ekonomi lebih adil dan saksama.

"Saya anggap beliau sebagai pemimpin yang bagus," katanya sambil berharap isu berkaitan biasiswa dan rasuah diberikan penekanan serius kerana perkara itu diberi perhatian oleh kaum Cina.

Sejarawan Negara, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim, pula berpendapat walaupun pemberian biasiswa kepada masyarakat Cina untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi masih terhad, namun usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada sekolah Cina adalah sesuatu yang perlu dipuji.

Beliau meminta kerajaan supaya mempertimbangkan perluasan pelantikan jawatan untuk kaum itu dalam pelbagai agensi kerajaan.

"Kalau di sektor awam, orang Melayu diberikan keistimewaan di pejabat, syarikat dan seluruh jawatan disimpan untuk orang Melayu. Macam universiti, nak jadi Naib Canselor, mestilah orang Melayu," katanya.

Mengenai kebebasan berbudaya dan beragama, Khoo mengakui bahawa tidak terdapat kekangan daripada kerajaan dalam mengamalkan keagamaan.

"Tak ada masalah untuk itu. Semua kaum bebas beragama walaupun Islam sebagai agama rasmi negara. Kita juga dapat lihat kuil, gereja dan tokong ada di serata tempat di negara ini," katanya.

Dr Ching Thing Ho, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Cina, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, berkata sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan negara turut diiktiraf kerajaan.

"Kejayaan masyarakat Cina daripada aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial adalah memuaskan kerana kaum ini juga memberi sumbangan demi kebaikan masyarakat dan negara yang terdiri dari pelbagai kaum ini," katanya.

Mengenai pemberian biasiswa, Ching berkata masih terdapat suara-suara yang tidak bersetuju mengenai pemberian biasiswa kepada kaum Cina kerana pemberian itu sepatutnya berdasarkan keperluan dan kelayakan pelajar.

"Pemberian biasiswa patut ikut kelayakan seseorang tidak kira kaum apa pun, siapa yang perlukan bantuan maka golongan itu yang perlu diberi bantuan," katanya.

yeeleng(L6A)

Posts : 118
Join date : 2009-05-18

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum