PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

HARI KANAK-KANAK SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2009

Go down

HARI KANAK-KANAK SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2009 Empty HARI KANAK-KANAK SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2009

Post  keat sin (U6A) Mon Dec 07, 2009 9:53 am

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2009 – YB Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), Putra Perdana, Taman Putra Perdana, Puchong hari ini.

Tema Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan pada kali ini adalah “Keluarga Selamat Kanak-Kanak Terpelihara” yang memberikan penekanan agar setiap ahli keluarga dan anggota masyarakat memainkan peranan dan tanggungjawab terhadap kanak-kanak dalam memastikan keselamatan dan perlindungan mereka terjamin. Tema ini dipilih berdasarkan kes-kes dan isu-isu berhubung keselamatan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. Ini merujuk kepada kes-kes penderaan yang meningkat daripada 2,279 kes pada tahun 2007 ke 2,780 kes pada tahun 2008. Kes-kes penderaan yang dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga sendiri yang sepatutnya melindungi anak-anak mereka juga turut meningkat dari 992 kes pada tahun 2007 kepada 1,266 kes pada tahun 2008. Kes kanak-kanak hilang turut mencatat angka ke paras membimbangkan di mana seramai 4,968 kes kanak-kanak dilaporkan hilang sejak Januari 2005 hingga Mei 2008. Daripada jumlah itu, 1,859 kanak-kanak dilaporkan masih belum dijumpai. Sehubungan itu, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak harus dijadikan satu agenda nasional, di mana setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan serta hak kanak-kanak di negara ini terpelihara. KPWKM telah pun merangka dua dasar teras untuk kanak-kanak iaitu Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 29 Julai 2009.

Dasar Kanak-Kanak Negara mempunyai objektif utama iaitu untuk memastikan kanak-kanak diberi jagaan dan kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial; memastikan perlindungan kepada semua kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; memastikan perkembangan kanak-kanak secara holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian; dan memastikan hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan diberikan demi kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka.

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara pula menetapkan 7 objektif utama iaitu mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak; menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing; melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian dan penderaan dan memastikan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak; serta meningkatkan khidmat sokongan bagi perlindungan kanak-kanak.

Usaha membanteras masalah penganiayaan, keganasan dan penderaan kanak-kanak merupakan agenda utama KPWKM. Atas sifat keprihatinan yang tinggi, PAKK diwujudkan, yang berfungsi sebagai “Pusat Intervensi Krisis”, “Pusat Advokasi” dan “Pusat Sumber”. Pusat ini bertindak dalam melaksana dan menyelaraskan program dan aktiviti sokongan kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan atau disyaki memerlukan perlindungan dan keselamatan. Pusat ini memberi kemudahan intervensi sosial dengan menyediakan pelbagai aktiviti seperti ceramah, kelas bimbingan, kerohanian, rekreasi, dan sebagainya. Selain itu, pelbagai program yang dilaksanakan oleh KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat menjurus kepada keluarga berisiko (at risk) dan berisiko tinggi (high risk) untuk membantu mereka dalam menangani masalah dan tekanan persekitaran yang kurang sihat supaya mengelakkan berlaku masalah sosial.

Sebanyak RM17juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE 2) khusus untuk meningkatkan kemudahan asas dan memantapkan program di 139 buah PAKK di seluruh Malaysia. Ini kerana pihak kerajaan amat prihatin dan sentiasa komited dalam isu-isu berkaitan kanak-kanak dan berasa semua kanak-kanak seharusnya diperkasakan dengan pelbagai pengetahuan seperti keselamatan diri dan kemahiran untuk melindungi diri dan hak-hak mereka.

Turut hadir di majlis itu ialah YBhg. Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Meme Zainal Rashid, Ketua Pengarah JKM dan 3,500 jemputan yang terdiri daripada kanak-kanak dari PAKK, institusi kanak-kanak, ibu bapa, NGO, dan masyarakat setempat.

keat sin (U6A)

Posts : 121
Join date : 2009-10-07

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum