PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Kulim lubuk skim cepat kaya?

Go down

Kulim lubuk skim cepat kaya? Empty Kulim lubuk skim cepat kaya?

Post  ypeng(U6A/10) Thu May 13, 2010 2:10 pm

KULIM 12 Mei - Bandar Kulim merupakan antara kawasan paling pesat membangun di utara Semenanjung dan ia juga dikenal pasti sebagai 'lubuk' skim pelaburan haram atau cepat kaya sejak 1980-an lagi.

Perkembangan pesat sektor industri dan perkhidmatan di kawasan itu turut menyumbang penghijrahan beramai-ramai pekerja mahir dan separuh mahir dan ia dilihat mempunyai kaitan dengan perniagaan skim cepat kaya.

Selain itu, limpahan pembangunan daripada kawasan berjiran seperti Pulau Pinang turut meningkatkan lagi kuasa beli di kalangan penduduk.

Seorang pesara kerajaan, Mat Zain Ahmad, 62, memberitahu, kawasan Kulim sememangnya dikenali sebagai lubuk skim cepat kaya memandangkan banyak penganjur mengambil kesempatan daripada kemampuan penduduk di situ.

Katanya, sejak 1980-an sehingga kini, sekurang-kurangnya 10 syarikat pelaburan haram yang berpangkalan di Kulim telah berjaya memperdayakan lebih 30,000 mangsa.

Jumlah pelaburan yang dilaporkan pula melibatkan nilai lebih RM100 juta.

Katanya, antara skim yang pernah beroperasi di situ, Skim 120, Skim 350, Platinum Lanes Sdn. Bhd. (PLSB), penternakan cacing Kulim Worm Sdn. Bhd. dan terbaru membabitkan skim penternakan burung walit, Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd.

"Kebanyakan penduduk Kulim merupakan golongan makan gaji seperti bekerja kilang dan kakitangan kerajaan. Sebab itu, mereka sentiasa mencari peluang untuk melabur bagi mendapatkan pendapatan sampingan," katanya yang pernah menjadi mangsa skim terbabit.

Mat Zain memberitahu, kebanyakan mangsa skim cepat kaya yang tertipu merupakan orang Melayu.

"Sebenarnya ia mempunyai kaitan dengan sikap orang Melayu yang mahu goyang kaki sambil menunggu duit masuk ke dalam poket," jelasnya.

Seorang lagi bekas mangsa skim cepat kaya, Ismail Umar, 60, berkata, mangsa mengambil keputusan melabur setelah tertarik dengan skim yang ditawarkan.

Dakwanya, penganjur skim cepat kaya terbabit selalunya cuba meyakinkan mangsa dengan menganjurkan majlis yang dihadiri oleh orang kenamaan seperti menteri atau timbalan menteri.

"Sesetengah penganjur turut menggunakan keratan akhbar atau iklan bagi menarik perhatian dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur.

"Saya juga perhatikan banyak skim cepat kaya beroperasi di Kulim dan mereka mungkin ada kaitan antara satu sama lain. Apabila syarikat pertama dapat dikesan pihak berkuasa, mereka kemudian akan membuka syarikat lain pula," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Kulim/Bandar Baharu, Chin Ching Chung berkata, pihaknya turut menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung skim pelaburan haram di daerah berkenaan.

"Biasanya apabila kita dapat maklumat, sepasukan pegawai akan dihantar ke pejabat syarikat untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti inventori dan sistem yang diguna pakai.

"Sekiranya ada unsur-unsur penipuan dan pengambilan deposit haram, kita akan serahkan kes kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atau SSM untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan skim-skim perniagaan yang menawarkan pulangan tidak munasabah.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum