PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Nahas Kapal Terbang

Go down

Nahas Kapal Terbang Empty Nahas Kapal Terbang

Post  YeeYew™ [SonG][U6B] Thu May 13, 2010 1:01 pm

Budak Belanda terselamat, 103 maut nahas pesawat Libya
2010/05/13

TRIPOLI: Hanya seorang budak berusia 10 tahun (gambar), warga Belanda terselamat apabila sebuah pesawat milik penuh Kerajaan Libya, Afriqiyah Airways, terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli untuk mendarat semalam, mengorbankan 103 orang.

“Budak itu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan bagi kecederaannya,” kata Kementerian Luar Belanda.

Televisyen Libya menunjukkan video seorang budak berambut hitam terbaring di atas katil dengan kepalanya dibalut dan topeng oksigen pada mukanya. Sebelah tangannya dimasukkan ubat dan dia berada dalam keadaan sedar.

Seorang doktor, yang bercakap bahasa Arab di dalam video itu berkata, budak
berkenaan ‘mempunyai beberapa kesan patah di kedua-dua kakinya dan diletakkan dalam jagaan rapi, tetapi stabil’.

“Seluruh pasukan perubatan sedang cuba sedaya upaya untuk membantu dalam tragedi ini,” katanya.

Seorang pegawai kedutaan bercadang untuk melawat budak itu di hospital, kata jurucakap Kementerian Luar, Ad Meijer. Katanya, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti budak terbabit.
Selain budak itu, sejumlah 61 warga Belanda maut dalam kejadian itu.

Menurut pegawai, pesawat Airbus A330-200 itu tiba dari Johannesburg, Afrika Selatan membawa 93 penumpang dan 11 krew.

Televisyen Libya menunjukkan sebuah padang yang berselerak dengan serpihan pesawat, manakala anggota polis dan penyelamat yang memakai topeng mulut serta sarung tangan, membawa keluar sekurang-kurangnya satu mayat. Mereka mengumpulkan barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit yang bersepah selepas kejadian itu.

Anggota penyelamat lain menggali serpihan pesawat itu – sesetengahnya masih berasap– termasuk sebuah alat rakaman penerbangan dan tempat duduk berwarna hijau yang mempunyai skrin televisyen. Bahagian ekor pesawat yang besar kelihatan dari jauh, tertera logo Afriqiyah berwarna cerah dengan nombor ‘9.9.99’, merujuk kepada tarikh Kesatuan Afrika diasaskan.

Menteri Pengangkutan, Mohammed Ali Zaidan, berkata 96 mayat dijumpai daripada serpihan itu. Agensi rasmi Libya, JANA memetiknya sebagai berkata, seorang budak Belanda terselamat tetapi tidak menyatakan keadaannya.

Di Amsterdam, Lembaga Pelancongan Diraja Belanda, berkata 61 warga negara itu berada dalam pesawat berkenaan dan mengesahkan seorang budak Belanda terselamat.

Pesawat itu sedang menghampiri lapangan terbang untuk mendarat apabila ia terhempas kira-kira jam 6 pagi. Setakat ini belum ada kenyataan mengenai punca kejadian.

Afriqiyah berkata, penerbangan 771 berlepas dari Johannesburg kira-kira jam 1 pagi dengan Tripoli adalah destinasi terakhirnya.

“Afriqiyah Airways mengumumkan bahawa penerbangan 771 terbabit dalam kemalangan ketika mendarat di lapangan terbang antarabangsa Tripoli,” kata kenyataan syarikat itu.

Dalam kenyataan kedua selepas itu, syarikat berkenaan berkata operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian ‘sudah selesai dan mangsa sudah dibawa ke beberapa hospital.’

Keadaan cuaca di lapangan terbang antarabangsa Tripoli semalam adalah baik dengan jarak penglihatan 4.8 kilometer.

Afriqiyah Airways tidak termasuk dalam senarai syarikat penerbangan yang dilarang oleh Kesatuan Eropah yang mempunyai hampir 300 syarikat penerbangan tidak mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

Afriqiyah Airways menggunakan pesawat Airbus bagi semua penerbangannya. Ia diasaskan pada April 2001 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Libya.

YeeYew™ [SonG][U6B]

Posts : 152
Join date : 2009-05-17

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum