PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru

Go down

Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru Empty Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru

Post  keat sin (U6A) Thu Apr 01, 2010 12:21 pm

KUALA LUMPUR 31 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.

"Saya sudah arahkan jawatankuasa itu nanti mengenal pasti bagaimana masalah (bebanan tugas) itu boleh berlaku dan mencari penanda aras yang boleh kementerian guna pakai, sama ada dengan mengambil contoh piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi dari kita untuk dicontohi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Alimuddin dan keanggotaannya turut membabitkan beberapa pegawai pelajaran serta wakil NUTP diberi masa selama dua bulan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa.

"NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja pada setiap Sabtu, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan, guru boleh bercuti pada hari Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan disebabkan guru terbabit terlibat dengan banyak aktiviti.

"Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana kita tidak mahu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar dengan tumpuan sepenuhnya terhadap kelas terganggu disebabkan bebanan tugas lain yang terpaksa dipikul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah turut mendapat maklum balas positif dari pihak NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

"Kementerian akan memastikan penekanan terhadap kokurikulum tidak akan sesekali membebankan guru. Sebab itu, kementerian menubuhkan jawatankuasa ini, tidak lain tidak bukan untuk mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan bebanan guru,"katanya.

keat sin (U6A)

Posts : 121
Join date : 2009-10-07

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum