PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Mahkamah khas ganti ISA

2 posters

Go down

Mahkamah khas ganti ISA Empty Mahkamah khas ganti ISA

Post  lisee(U6A) Wed Sep 23, 2009 5:59 am

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar hari ini mencadangkan penubuhan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan menjamin hak asasi manusia perlu digubal bagi mengambil alih peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa melalui proses mahkamah.

Jelasnya, mahkamah khas itu akan mengendalikan permohonan pihak berkuasa untuk penahanan seseorang atau sekumpulan suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tambahnya, pihak berkuasa selepas tempoh tertentu perlu menghadapkan suspek terbabit untuk dibicarakan secara tertutup di mahkamah khas dengan didengar oleh seorang, tiga atau lima hakim.

‘‘Selain kes-kes keselamatan, perbicaraan kes-kes perkauman juga perlu dibuat secara tertutup.

‘‘Seperti juga Mahkamah Khas untuk kes melibatkan seseorang raja, keputusan mahkamah khusus ini juga muktamad dan tidak boleh dirayu di mahkamah lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chandra berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai pindaan ISA yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Sebelum ini, Mahkamah Khas ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membicarakan kes melibatkan mana-mana sultan atau raja Melayu yang tidak boleh didakwa di mahkamah biasa.

Menurut Chandra, cadangan itu dikemukakan kerana penentangan dan kritikan dari dalam dan luar negara terhadap ISA tidak akan berakhir lantaran ia disifatkan melanggar hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

‘‘Saya mengakui ISA sudah banyak berjasa kepada negara dalam hal menangani isu-isu keselamatan dalam negeri tetapi selain isu hak asasi dan keadilan sejagat, terdapat juga ruang untuk akta ini disalahgunakan.

‘‘Pendirian saya tentang isu pelanggaran hak asasi ini konsisten memandangkan ia isu sejagat malah dalam Islam sendiri pesalah atau suspek diberi ruang membeli diri atau dibicarakan,” katanya.

Chandra turut mencadangkan nama baru bagi undang-undang menggantikan ISA iaitu Maintenance of Public Order and Stability Act atau Akta Kawalan Keselamatan dan Kestabilan Awam.

‘‘Ini adalah sesuai dengan matlamat undang-undang tersebut iaitu untuk mengawal dan mengekalkan kestabilan awam,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai ISA, Chandra berkata, akta itu pada peringkat tertentu berperanan positif menghadapi ancaman komunis, konfrontasi, perkauman dan masalah semasa yang berhubung kait dengan keganasan serta ancaman baru politik pasca 13 Mei 1969.

Namun, tegasnya, dari satu perspektif, ISA melanggar prinsip asas hak asasi manusia dan hak asasi sejagat apabila membenarkan pihak berkuasa menahan seseorang individu tanpa bicara dan membela diri.

‘‘Selain itu ISA juga memberi kuasa yang hampir-hampir mutlak kepada golongan eksekutif iaitu Menteri Dalam Negeri tanpa proses semakan melalui perundangan.

‘‘Tidak ada pihak lain yang boleh mencabar kuasa mutlak ini. Ini berbahaya kerana dalam sistem yang diwujudkan oleh manusia kita memerlukan batasan. Batasan merupakan satu prasyarat untuk mewujudkan sebuah sistem yang bertamadun,” jelas beliau.

Chandra berpendapat, ISA telah meletakkan Malaysia di persimpangan jalan berhubung satu proses perundangan, oleh itu kerajaan hendaklah menggubal satu undang-undang alternatif untuk menggantikan ISA.

“Undang-undang baru itu perlu mengambil kira dua faktor iaitu kebebasan dan hak individu kerana ia melibatkan maruah dan martabat manusia.

“Pada masa yang sama kita harus mengambil kira keselamatan masyarakat dan kestabilan negara. Yang menjadi cabaran pada masa ini ialah bagaimana kita harus mengimbangi kedua-duanya antara hak insan dan keselamatan,” tambah beliau.

lisee(U6A)

Posts : 51
Join date : 2009-05-16

Back to top Go down

Mahkamah khas ganti ISA Empty Re: Mahkamah khas ganti ISA

Post  CikguPA Fri Oct 30, 2009 4:59 pm

'Majoriti mahu ISA'
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my
Draf pindaan ke Parlimen sebelum 15 Disember

PUTRAJAYA: Majoriti maklum balas awam menerusi perbincangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) mendapati tiada pihak mahu akta itu dimansuhkan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebanyakan wakil yang menghadiri perbincangan dengan KDN bersetuju untuk memperjuangkan hak dan suara rakyat tetapi tidak sehingga memansuhkan akta berkenaan.



"Daripada perjumpaan dengan pihak berkepentingan hari ini (semalam), semua sayang kepada negara kita ini. Jika tidak emosi, tanpa pertimbangan sempit atau tidak dipolitikkan, saya rasa ia (ISA) boleh diterima rakyat," katanya selepas menghadiri sesi pertemuan awam mengenai ISA dengan pelbagai pertubuhan kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Perbincangan itu dihadiri wakil Majlis Peguam, Persatuan Peguam Muslim, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Biro Tatanegara (BTN), Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Hishammuddin sebelum ini dilapor berkata, proses menggubal draf pindaan ISA oleh Jabatan Peguam Negara kini sudah hampir siap sebelum dibentangkan ke Kabinet dan seterusnya bagi bacaan kali pertama di Parlimen selewat-lewatnya 15 Disember ini.

Persidangan Dewan Rakyat dijangka berakhir pada 15 Disember manakala Dewan Negara akan bersidang mulai 9 Disember hingga 22 Disember ini.

Hishammuddin berkata, walaupun bacaan kali pertama di Parlimen itu nanti tidak boleh dibahaskan, sekurang-kurangnya ia dapat dibacakan.

"Biar orang ramai tahu apa yang kita lakukan ini bukan atas desakan politik atau untuk menggadaikan keselamatan negara. Ini berdasarkan kepada kebimbangan terhadap perkara yang mungkin berlaku," katanya.
CikguPA
CikguPA

Posts : 354
Join date : 2008-11-26
Age : 55
Location : bbb

http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Mahkamah khas ganti ISA Empty Re: Mahkamah khas ganti ISA

Post  CikguPA Sat Jan 30, 2010 1:30 am

ISA 10 individu: Demi kepentingan negara

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Penahanan 10 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pengganas dibuat demi kepentingan negara dan tanggungjawab terhadap masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia sebagai langkah pencegahan sebelum tercetusnya insiden keganasan.

"Jadi dalam apa juga hal, demi kepentingan negara dan sebagai negara yang bertanggungjawab kepada masyarakat antarabangsa, kita tetap akan memainkan peranan sebagai negara yang sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab,” katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib mengulas penahanan 10 orang termasuk 9 warga asing di bawah ISA kerana dipercayai terlibat dengan organisasi pengganas antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menjelaskan bahawa dalam soal menjaga keselamatan dan memerangi sebarang bentuk keganasan, negara akan mengambil sikap tegas.

“Ia bermaksud proaktif iaitu pencegahan sebelum berlaku apa-apa insiden keganasan sama ada dalam atau luar negara.

“Kalau berlaku dalam negara sudah tentu ia akan memberi kesan yang amat buruk kepada imej negara, selain mungkin menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

“Jika berlaku di luar negara, kita pun boleh dituduh sebagai negara transit untuk pengganas dan itu juga boleh merosakkan imej kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa penahanan individu-individu terbabit tidak bermakna Malaysia menjadi sarang pengganas atau negara operasi mereka.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan sebagai sarang pengganas timbul hanya disebabkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan perjalanan bebas kepada orang luar.

“Jadi banyak yang keluar masuk dalam negara tetapi tidak bererti kita menjadi sarang pengganas.

“Tetapi kita akan pastikan walaupun mereka buat lawatan singkat atau melalui negara kita, menuju ke negara ketiga, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
CikguPA
CikguPA

Posts : 354
Join date : 2008-11-26
Age : 55
Location : bbb

http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Mahkamah khas ganti ISA Empty Re: Mahkamah khas ganti ISA

Post  Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum