PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Internet membawa kebaikan kepada manusia?

4 posters

Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty Internet membawa kebaikan kepada manusia?

Post  Ong SQ (U6B/2010) Sat Jun 12, 2010 4:25 pm

Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan salah satu saluran rangkaian penghubung dunia yang telah mengecilkan dunia. Dunia tanpa sempadan dimungkinkan dengan adanya jaringan internet ini. Walau bagaimanapun, teknologi internet ini kerap disalahgunakan sehingga menjadi saluran yang boleh membawa kemudaratan.

Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna. Kini, pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Tugas guru juga dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan pelbagai ilmu terkini dan mudah. Perkembangan sains dan teknologi serta ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu dalam proses penyelidikan dan pembangunan.

Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa. Teleperubatan dimungkinkan dengan adanya internet. Pakar-pakar perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet. Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet. Komunikasi dalam aspek ekonomi dan politik pula dapat dimungkinkan dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan komunikasi dalam usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan internet. Internet ini memberi faedah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan kaki ke menara gading.

Internet juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik, air, kad kredit dan bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah. Hubungan dengan agensiagensi kerajaan dan badan-badan pendidikan antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang kerja dapat dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga dapat memastikan kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.

Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini boleh digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku. Laman-laman web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan negara juga sukar dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian antarabangsa. Beberapa tahun kebelakangan inn, pusat keselamatan negara Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang kanak-kanak berusia dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.

Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui internet. Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data dalam komputer hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan juga dikaitkan dengan penggunaan internet. Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di hadapan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan seperti penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.

Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu memahami kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan pengawasan ibu bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.
Ong SQ (U6B/2010)
Ong SQ (U6B/2010)

Posts : 148
Join date : 2009-05-17
Age : 32

Back to top Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty Kepentingan Internet kepada kanak-kanak

Post  Ong SQ (U6B/2010) Sat Jun 12, 2010 4:26 pm

Gagasan Koridor Raya Multimedia (MSC) telah menggalakkan penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun kecapaian internet belum menyeluruh di negara ini, tetapi teknologi ini telah digunakan di semua peringkat masyarakat, termasuk golongan kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh mendapatkan banyak maklumat tentang negara, sistem pendidikan, budaya, teknologi, pertanian dan geografi dengan melayari internet. Golongan kanak- kanak masa lampau terpaksa menghabiskan masa yang lama di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat. Kadangkala maklumat yang dicari sukar didapati. Kini, kanak-kanak mendapat semua maklumat yang diperlukan dengan hanya menekan butang komputer. Dengan bantuan internet, kanak-kanak boleh mendapatkan bahan-bahan pembelajaran yang dikehendaki secara mudah. Capaian kepada internet melibatkan banyak elemen seperti media elektronik (e-mel), carian fail Archie, kumpulan perbincangan dan perbualan (chatting). Internet juga membenarkan komunikasi antara kanak-kanak di seluruh dunia. Penggunaan e-mel dengan perbualan menerusi internet akan mendedahkan mereka kepada pelbagai sosiobudaya masyarakat dunia. Justeru, mereka boleh bertukar-tukar maklumat budaya, sejarah dan geografi antara rakan siber mereka.

Pertukaran maklumat antara kanak-kanak boleh membantu proses pengembangan mental dan psikologi mereka sepanjang proses tumbesaran. Internet memberi peluang kepada kanak-kanak membuat analisis yang lebih mendalam ke atas subjek yang diminati. Perpustakaanperpustakaan di seluruh dunia merupakan sumber kepada kanak-kanak untuk pengkajian terhadap sesuatu subjek dalam pembelajaran mereka. Jika maklumat yang dicari tidak terdapat di perpustakaan tempatan, maklumat ini dapat diperoleh dan perpustakaan di luar negara.

Kanak-kanak boleh didedahkan kepada internet dengan penyeliaan ibu bapa. Kanak-kanak didedahkan kepada penggunaan e-mel untuk menghantar berita, maklumat dan foto tentang pelbagai topik. Mereka berkongsi maklumat. Semakin matang pemikiran mereka, kanak-kanak dibenarkan melanggan dan menyumbang buah fikiran kepada kumpulan perbincangan bagi berkongsi berita dan pengalaman. Kanak-kanak yang didedahkan kepada World Wide Web (www) dapat mencari maklumat yang dikehendaki.

Di peringkat umur yang muda ini, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai masalah sosial seperti lepak, bohsia dan kegiatan di kelab-kelab malam dan disko. Dengan adanya internet, kanak-kanak ini tidak akan keluar rumah. Mereka menghabiskan masa melayari internet mencari maklumat ataupun membaca pelbagai bahan menarik yang dipaparkan. Mereka dapat menyesuaikan minat seperti membina enjin kapal terbang, kereta, motosikal dan kereta api sebagai hobi. Im bukan sahaja mengisi masa lapang kanak-kanak, malahan meningkatkan kecerdasan otak.

Internet juga dapat memainkan peranan sebagai pendidik atau `tutor’ siber yang berkesan. Subjek seperti Matematik dan Sains boleh diajar kepada golongan kanak-kanak dengan lebih berkesan. Bahan sains dan matematik yang ditambah dengan kesan multimedia dapat menarik minat kanak-kanak untuk mengikuti program pembelajaran dan seterusnya menanam minat. Kelebihan ini menandingi cara pembelajaran konvensional. Selain itu, kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman pula dapat dibimbing oleh tutor maya yang berupaya mempersembahkan suatu subjek dengan cara yang paling menarik. Oleh itu, golongan kanak-kanak senang tertarik dan ingatan mereka bertambah baik.

Kesimpulannya, pembangunan sains dan teknologi komputer telah mendedahkan kanak-kanak kepada internet yang membolehkan mereka menerima maklumat dan bertukar-tukar pendapat dengan penduduk di seluruh pelosok dunia. Perkembangan ini telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan interaksi antara individu menjadi semakin mudah.
Ong SQ (U6B/2010)
Ong SQ (U6B/2010)

Posts : 148
Join date : 2009-05-17
Age : 32

Back to top Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty Re: Internet membawa kebaikan kepada manusia?

Post  S.Teng(U6A/2010) Wed Jun 16, 2010 2:55 pm

Walaupun internet adalah penting kepada semua tetapi ia masih ada kebaikan dan keburukan.

KEBAIKAN
* Mesej yang cepat.
* Menyokong multimedia atau hypermedia.
* Boleh berkomunikasi secara global.
* Menggunakan capaian komputer jarak jauh.
* Interaktif-membolehkan pengguna berhubung dan berkomunikasi lebih dari satu hala.

KEBURUKAN
* Kurang kepastian maklumat tepat.
* Bahan perlu ditapis.
* Interaksi subversif tidak terkawal.
* Kebocoran maklumat rahsia/peribadi.
* Kegiatan jenayah yang boleh mengancam sama ada individu mahupun negara.
* Iklan yang tiada batasan mudah diperolehi seperti iklan-iklan pornografi.

KEPENTINGAN INTERNET

* Memberi perkhidmatan komunikasi elektronik.
* Memberikan perkhidmatan aplikasi capaian jauh.
* Membolehkan pemindahan fail dengan mudah dan cepat.
* Membolehkan penyebaran maklumat lebih luas dan dinamik.
* Memberi perkhidmatan aplikasi capaian maklumat.

S.Teng(U6A/2010)

Posts : 153
Join date : 2009-05-21

Back to top Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty kebaikan internet

Post  LEE WEI SHAN L6F 2010 Wed Jun 16, 2010 4:30 pm

Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60 an lagi. Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan yang berasaskan komputer ini. Dalam konteks pendidikan, ia bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran. Penciptaan mikro komputer pada awal tahun 70 an telah memberi kesan yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan di Malaysia .

Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini . Atas alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia . Pelaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer dan internet, yang akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan . Penggunaan dan perkembangan internet yang meluas dalam bidang perniagaan dan komunikasi, akan memudahkan pelaksanaannya dalam bidang pendidikan.

Peranan komputer dan internet dalam pendidikan

Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebut an dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer .

Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan dan didapati bahawa:

* Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
* Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.
* Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara.
* Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi, seperti spreadsheet, multimedia dan internet. Peranan dan penggunaan internet telah mula dikenalpasti dapat membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, pelajar dan ibubapa serta ahli masyarakat yang prihatin.

Kajian terhadap penggunaan mel eletronik (e-mail) dan penerokaan maklumat di kalangan para pelajar sekolah rendah mendapati bahawa, selain daripada semangat belajar secara kumpulan (cooperative learning), para pelajar juga semakin mesra dengan alat teknologi ini dan sentiasa berusaha untuk meneroka 'alam yang baru ditemui' (virtual reality). Mereka sentiasa menemui maklumat baru dan bahan-bahan yang amat menarik perhatian.menyatakan bahawa pembelajaran dalam suasana baru seperti menggunakan internet di sekolah telah membawa banyak perubahan kepada pelajar. Pelajar didapati lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal. Walau bagaimanapun jurang perbezaan sosial ekonomi di kalangan pelajar harus diambil kira semasa pendedahan teknologi komputer dan internet diberikan .

Mesej yang dihantar sejauh 25,000 batu jauhnya boleh sampai dalam masa beberapa minit sahaja. Para pelajar juga amat berhati-hati semasa menulis mesej supaya tidak terdapat kesalahan ejaan dan maksudnya boleh difahami oleh sipenerima dengan mudah. Amalan ini akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa, khususnya bahasa Inggeris. Aktiviti komunikasi dalam internet seperti mel eletronik akan dapat menyediakan pelajar untuk dunia pekerjaan yang akhir-akhir ini banyak menggunakan proses perhubungan telekomunikasi yang canggih.

Internet akan menjadi sebahagian dari sekolah bestari menjelang Januari 1999 kelak. Telah pun diumumkan bahawa, semua sekolah menengah akan mendapat akses ke internet menjelang tahun 2000. Kementerian Pendidikan Malaysia , telah melancarkan Projek Jaringan Pendidikan . Melalui projek ini, Kementerian Pendidikan telah menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar dan pendidik di samping menyediakan program latihan yang berterusan kepada guru-guru. Program ini, walaupun kurang berjaya, tapi sekurang-kurangnya telah dapat memberi pendedahan awal kepada guru-guru dan pelajar tentang penggunaan dan peranan internet kepada dunia pendidikan. Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pendidikan Malaysia , melalui Bahagian Pendidikan Guru, sedang menjalankan Kursus Dalam Perkhidmatan (14 Minggu ) Bestari kepada guru-guru di seluruh negara bertempat di beberapa buah maktab perguruan. Guru-guru ini dipilih daripada 90 buah sekolah yang dijangka akan melaksanakan kurikulum baru bestari mulai tahun 1999. Dalam kursus ini, guru-guru akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran generik termasuklah kemahiran teknologi maklumat yang seterusnya akan menjadi asas dan keperluan utama dalam pembinaan pakej pembelajaran bestari. Para peserta akan berpeluang menjadikan internet sebagai sumber dan alat penyebaran maklumat yang cepat dan berkesan.



Integrasi internet dalam pendidikan

Internet atau ‘Internasional Network of Networks’ ialah sebuah rangkaian gergasi komputer di peringkat antarabangsa (TMB, 1998) dan merupakan cara komputer berkomunikasi antara satu sama lain . Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara . Dalam rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis bahan yang berjuta-juta bilangan dan sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Bahan-bahan ini termasuklah artikel, imej grafik, perisian komputer, video, audio, majalah, kertas persidangan, permainan, projek dan sebagainya. Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan diskusi eletronik. Kumpulan ini mungkin terdiri daripada beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah matematik. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh para pendidik berhubung dengan penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Pertama

Internet hanya akan bertindak sebagai sumber dan alat bantu dalam P&P . Aktiviti pembelajaran hendaklah dirancang dengan teliti oleh guru supaya internet dapat digunakan dengan berkesan.

Kedua

Komputer dan internet tidak mengubah peranan guru. Malah sebaliknya ,guru akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, khususnya dalam bidang IT. Ketrampilan dan keperibadian yang mulia akan tetap menjadi tunjang dan ikutan utama.



Ketiga

Penggunaan komputer dan internet dapat mengurangkan beban tugas guru dan murid di samping setiap kerja dapat dilakukan dengan kemas, teratur dan sistematik.



Keempat

Internet amat bermanfaat kepada guru dan murid serta ibubapa khususnya dalam menghadapi cabaran IT dan era globalisasi. Industri berasaskan maklumat yang akan mencorakkan kehidupan pada masa hadapan , perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap ahli masyarakat, khususnya warga pendidik dan para ibubapa.



Internet telah menyediakan beberapa kemudahan, antaranya:

· E – mail (Mel Eletronik)

· Laman Web (WWW)

· Internet Relay Chat (IRC)

· Telnet

· Kumpulan Diskusi dan Berita

· File Transfer Protocal (FTP)

Semua kemudahan di atas boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru harus bijak memilih aplikasi yang sesuai digunakan. Oleh itu, perancangan aktiviti yang kemas dan teratur amatlah penting, supaya murid-murid dapat menggunakan internet secara maksimum dan optimum. Semua aplikasi tersebut boleh digunakan sama ada sebagai sumber maklumat atau pun sebagai bahan bantu yang diintegrasikan terus dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Seorang guru atau pensyarah boleh menerima dan memeriksa hasil tugasan pelajarnya melalui kemudahan e-mail.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru dengan mengunakan e-mail ialah :

* Berkomunikasi secara dalaman dan luaran sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak jabatan serta kementerian.
* Mendapatkan khidmat nasihat pakar dan bantuan teknikal.
* Berkongsi dan bertukar pendapat berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran ; teknik pengajaran terbaik, idea kreatif dan inovatif, latihan dan penilaian, bahan bantu mengajar dan sebagainya.
* Menghubungi agensi pusat dan swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang di gunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.



Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar melalui e-mail ialah:

* Berkongsi menjalankan sesuatu projek dengan pelajar di sekolah-sekolah lain.
* Berbincang dengan rakan dari kalangan berbagai budaya dan latar belakang negara mengenai berbagai isu semasa.
* Mengalakkan perkembangan bahasa terutama bahasa Inggeris melalui komunikasi dengan rakan pena di luar negara.
* Memperolehi bahan dan teknik di dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran secara "on-line".



Aktiviti-aktiviti seperti di atas akan memberi banyak faedah kepada para pelajar :

* Pelajar lebih peka terhadap isu semasa dunia
* Pelajar dapat membiasakan diri dengan aplikasi komputer
* Pelajar berpeluang menjalankan aktiviti kumpulan , dan

Pelajar dapat meningkatkan kemahiran berfikir, kemahiran bahasa atau kemahiran berkomunikasi
LEE WEI SHAN L6F 2010
LEE WEI SHAN L6F 2010

Posts : 23
Join date : 2010-05-26

Back to top Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty Re: Internet membawa kebaikan kepada manusia?

Post  leeyoong_U6B Fri Jun 18, 2010 8:09 pm

Secara kesimpulannya, Internet memang memainkan peranan penting untuk memajukan bidang-bidang seperti perniagaan, perubatan dan lain-lain. Internet juga memudahkan perhubungan sesama pekerja atau pelanggan dan memperluas pengetahuan pelbagai golongan masyarakat. Ia merupakan satu media yang baik bagi semua lapisan masyarakat untuk memperolehi pelbagai jenis bahan-bahan maklumat. Secara tidak langsung, Internet juga akan dapat membantu kita untuk . mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera serta persaingan yang sihat dalam arus globalisasi.

Namun begitu, Internet mendedahkan masyarakat kepada berbagai-bagai jenis unsur-unsur negatif. Ia juga mungkin akan mewujudkan sindrom ketagihan di kalangan pengguna internet. Seterusnya, meningkatkan gejala sosial. Melayari Internet juga boleh diiktirafkan sebagai satu jenis aktiviti yang membuang masa bagi golongan remaja yang menyalahgunakan internet dengan mewujudkan kegiatan “lepak siber”.

Akhir kata, Internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Oleh itu, kita mesti menggunakan Internet dengan betul dan hanya menggunakan untuk kebaikan sahaja. Janganlah menyalahgunakan Internet!

leeyoong_U6B

Posts : 221
Join date : 2009-05-13

Back to top Go down

Internet membawa kebaikan kepada manusia? Empty Re: Internet membawa kebaikan kepada manusia?

Post  Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum