Beban Tugas Guru

Post new topic   Reply to topic

View previous topic View next topic Go down

Beban Tugas Guru

Post  CikguPA on Tue Sep 29, 2009 6:21 pm

Tugas tambahan jejas keupayaan guru
Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti – 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Beban Tugas Guru

Post  CikguPA on Mon Nov 02, 2009 9:01 pm

Jangan mudah salahkan guru
Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: Ibu bapa diminta supaya jangan mudah melenting atau terus menyalahkan guru terhadap insiden membabitkan anak mereka, sebaliknya menyiasat terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata beliau kecewa apabila ada ibu bapa melenting malah menggunakan kekasaran terhadap guru ketika insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar yang mengorbankan tiga murid, minggu lalu.

Beliau berkata, ibu bapa tidak sepatutnya mengasari guru atau memarahinya kerana mereka menjalankan tugas untuk kepentingan anak-anak di masa depan termasuk mengadakan perkhemahan.

“Begitu juga apabila guru mendenda anak-anak mereka. Ia semata-mata untuk mengajar muridnya supaya tidak melakukan kesalahan lagi dan mendidik mereka supaya menjadi baik.

“Justeru, jangan menganggap guru itu sebagai seorang pendera anak-anak kita, sebaliknya anggaplah mereka sebagai pendidik demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Program Komuniti Sekolah Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Padang Rengas, kelmarin.

Program itu anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Perak dan Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Pada program itu, seramai 403 pelajar sekolah rendah dan menengah serta lebih 100 guru dalam kawasan Parlimen Padang Rengas menerima anugerah masing-masing.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh (Adun), Siti Salmah Mat Jusak; Pengarah Eksekutif Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd; Datuk Hamidah Makhtar, Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar, Marazlen @ Mar Azlan Amran dan Pengetua SMK Tun Perak, Mohd Azam Mahmud.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata guru mempunyai ramai pelajar dan tidak boleh menumpukan perhatian kepada seorang saja terutama tempoh masa bersama guru di sekolah adalah terhad.

“Sekiranya ibu bapa meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada guru untuk mendidik sama ada di bidang pelajaran, akhlak atau moral, ia akan memudahkan tanggungjawab guru.

“Saya juga pernah didenda guru dan jika memberitahu kepada ibu bapa, mereka sekali lagi akan mendenda saya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru saya kerana mendidik sehingga menjadikan saya seperti sekarang,” katanya.

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Pendekatan lebih kreatif tarik minat pelajar

Post  CikguPA on Sun Nov 08, 2009 12:27 pm

KUANTAN 7 Nov. - Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar meminta guru-guru mencari pendekatan lebih kreatif dalam usaha untuk menarik minat pelajar untuk belajar.

Titah baginda, selain modul pelajaran, pendekatan yang digunakan oleh guru amat penting bagi menarik minta pelajar mengikuti setiap sesi pembelajaran semasa dalam kelas.

Beliau berkata, selain guru-guru yang kreatif mengajar, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemajuan akademik anak-anak mereka.

"Cara guru-guru mengajar murid adalah amat penting bagi membantu mereka (pelajar) meningkatkan kemajuan dalam pelajaran," titah baginda.

Baginda bertitah merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2009 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Tunku Azizah, Maznah Zainol Mahmod.

Dalam majlis tersebut seramai 100 orang murid menerima anugerah kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Jelas baginda, selain bidang akademik, pendidikan agama juga amat penting dan perlu ditekankan oleh semua pihak kerana ia boleh menghindarkan generasi muda daripada gejala sosial.

"Setiap ibu bapa tidak mengira agama dan bangsa perlu menerapkan nilai keagamaan dalam kehidupan anak-anak mereka," titah baginda.

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Guru trauma diberi kaunseling

Post  CikguPA on Wed Nov 11, 2009 7:52 pm

Puad Zarkashi setuju guru trauma diberi kaunseling


IPOH: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bersetuju supaya semua guru yang trauma akibat kejadian jambatan gantung runtuh yang mengorbankan nyawa tiga murid di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, di Kampar bulan lalu, diberikan khidmat kaunseling.

Beliau berkata, khidmat kaunseling terhadap guru berkenaan akan dapat mengembalikan semangat mereka yang tertekan akibat kejadian itu.

"Saya bersetuju supaya guru berkenaan terutamanya yang terbabit secara langsung dengan kejadian tersebut diberikan kaunseling supaya mereka merasakan bahawa sebenarnya mereka juga bertanggungjawab untuk menghadapi cabaran yang begitu rumit.



"Walau apapun, saya mempertahankan bahawa guru berkenaan tidak boleh dipersalahkan sebab kejadian itu bukan disebabkan kelalaian di pihak guru berkenaan," katanya selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang menggesa Kementerian Pelajaran menghantar kaunselor bagi menangani trauma di kalangan guru berkenaan, selain membantu murid dan ibu bapa yang terbabit dalam insiden itu yang juga mengalami masalah sama.

Hashim dilaporkan berkata, hasil pertemuan NUTP dengan guru berkenaan baru-baru ini juga mendapati guru berkenaan berasa diri mereka bersalah dan dipandang serong masyarakat setempat seolah-olah guru mengakibatkan kejadian itu.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, jawatankuasa siasatan kejadian jambatan gantung runtuh berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sudah menyiapkan laporan mereka dan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

"Saya rasa dalam masa terdekat Timbalan Perdana Menteri akan mengumumkan laporan penuh yang telah disediakan oleh jawatankuasa tersebut," katanya. - Bernama

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


Permissions of this forum:
You cannot reply to topics in this forum