PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

JPJ tidak tunduk tindak balas teksi sapu Thailand

Go down

JPJ tidak tunduk tindak balas teksi sapu Thailand Empty JPJ tidak tunduk tindak balas teksi sapu Thailand

Post  HsianMin (U6B/2010) Mon May 10, 2010 2:37 pm

Tetap bertindak tegas jika langgar undang-undang jalan raya negara ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan tunduk terhadap tindak balas pengusaha kenderaan sapu di Danok, Thailand, yang menyekat kemasukan 1,000 pelancong Malaysia untuk ke Hatyai, kelmarin, kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan saman terhadap mereka sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, JPJ tidak ‘memilih bulu’ dan akan tetap mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di negara ini, termasuk dari negara jiran.

Katanya, pengusaha kenderaan sapu negara jiran itu tidak wajar ‘melenting’ atas tindakan JPJ kerana ia berdasarkan undang-undang bagi menjamin keselamatan pelancong ke negara ini.

“Kebanyakan pengusaha menyalahgunakan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dengan mengambil penumpang masuk ke negara ini.

“Tindakan itu membahayakan pelancong kerana kenderaan sapu tidak mempunyai perlindungan insurans kepada penumpang. Malah, kita ke Songkhla baru-baru ini bagi menjelaskan perkara itu kepada mereka.

“Kegiatan itu turut memberi kesan kepada pengusaha teksi di negara ini yang beroperasi secara sah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam Berita Minggu melaporkan, lebih 30 bas dan van membawa 1,000 pelancong Malaysia terkandas di Kompleks Kastam dan Imigresen Thailand di Danok, berikutan sekatan jalan oleh pengusaha van pelancong tempatan.

Pengusaha van pelancong itu dikatakan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan JPJ menyaman mereka dalam ‘Ops Check Mate’ dua bulan lalu.

Solah berkata, ‘Ops Check Mate’ yang dilancarkan sejak 1 Mac lalu di seluruh negara bukan bertujuan mensasarkan kenderaan Thailand, malah turut membabitkan semua jenis kenderaan di negara ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Katanya, sehingga kelmarin, pihaknya mengeluarkan 369 saman terhadap kenderaan Thailand atas pelbagai kesalahan menerusi operasi itu, termasuk 41 kes pemandunya melanggar syarat ICP iaitu dengan mengambil penumpang.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan 71 saman kerana kenderaan tiada atau tamat tempoh ICP selain 46 kes tiada lesen memandu serta lapan kes cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

HsianMin (U6B/2010)

Posts : 84
Join date : 2009-05-12

Back to top Go down

JPJ tidak tunduk tindak balas teksi sapu Thailand Empty Pemandu Thai ambil kesempatan

Post  HsianMin (U6B/2010) Mon May 10, 2010 2:39 pm

DANOK (THAILAND): Pengusaha van tempatan di sini mengambil kesempatan menaikkan harga sewa kenderaan itu sekali ganda, berikutan sekatan jalan raya yang melarang kenderaan Malaysia membawa pelancong memasuki negara itu bermula Jumaat lalu.

Pada kebiasaannya pengusaha van Thailand hanya mengenakan sewa antara RM60 dan RM80 bagi sewa sebuah van untuk perjalanan dari pekan ini ke Hatyai, tetapi sejak kelmarin ia dinaikkan sehingga RM160.

Tinjauan mendapati sekatan yang dibuat kira-kira satu kilometer (km) dari Kompleks Imigresen dan Kastam Thailand masih diteruskan hingga menyebabkan pengusaha van dan bas pelancong Malaysia terpaksa memindahkan penumpang mereka ke van pelancong Thailand bagi meneruskan perjalanan ke destinasi lain di negara itu terutama Hatyai.

Difahamkan sebagai permulaan kumpulan pengusaha van pelancong Thailand terbabit merancang untuk meneruskan sekatan berkenaan selama tiga hari iaitu sehingga hari ini, tetapi ia mungkin diteruskan jika tiada sebarang usaha untuk membolehkan mereka beroperasi membawa pelancong negara itu ke Malaysia seperti biasa.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Kedah, Anuar Abdul Razak berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada agensi pelancongan Malaysia yang terjejas berikutan sekatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan terus memantau keadaan dan sedang merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Seorang pengusaha van pelancong Malaysia yang mahu dikenali sebagai Beng berkata, tindakan menaikkan tambang itu menyebabkan syarikat pengusaha bas dan van pelancong negara ini dibebani dengan kos yang tinggi kerana terpaksa menanggung bayaran yang dikenakan van pelancong Thailand.
“Kebanyakan kami sudah mengambil tambang dari Malaysia untuk ke Hatyai tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan kerana sekatan itu.

Di KANGAR, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulhasmi Mohammad, berkata 85 kenderaan Thailand, kebanyakannya van penumpang dikenakan tindakan kerana membawa pelancong secara haram di negara ini sepanjang tempoh 'Ops Check Mate' dijalankan di seluruh Perlis sejak 1 Mac lalu.

Katanya, pada Khamis lalu, 14 van penumpang Thailand dikenakan tindakan selepas dikesan melanggar peraturan mengikut Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kerana membawa penumpang tanpa permit di negara ini.

Katanya, semua 14 van terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat JPJ negeri di Jejawi, di sini, sebelum pemandunya dikenakan kompaun RM300 atas kesalahan itu.

HsianMin (U6B/2010)

Posts : 84
Join date : 2009-05-12

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum