PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Ekonomi negara diyakini terus berkembang

Go down

Ekonomi negara diyakini terus berkembang Empty Ekonomi negara diyakini terus berkembang

Post  keat sin (U6A) Fri Feb 26, 2010 8:59 am

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pertumbuhan ekonomi negara diyakini terus berkembang tahun ini kerana pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan tahun lalu dilihat akan terus memberi impak positif.

Ditambah dengan model ekonomi baru yang bakal diumumkan kerajaan, beberapa pakar ekonomi berpendapat, momentum pencapaian pertumbuhan di luar jangkaan pada suku keempat tahun lalu dijangka berterusan pada tahun ini.

Pensyarah ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr. Yew Siew Yong berkata, pertumbuhan di luar jangkaan ini adalah kesan daripada dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion yang diperkenalkan kerajaan bagi mengatasi kesan krisis kewangan global 2008.

Katanya, dasar fiskal ini telah berjaya meningkatkan permintaan domestik selain mendorong kepada pemulihan beberapa sektor seperti perkilangan dan prestasi eksport Malaysia yang kembali positif.

Momentum ini dilihat mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai pertumbuhan ekonomi suku keempat 2009 melebihi jangkaan sekali gus memungkinkan pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini meningkat satu atau dua peratus melebihi sasaran awal iaitu lima peratus.

Bagaimanapun, Siew Yong berkata, dengan keadaan ekonomi negara yang terbuka, ia tidak menjanjikan pertumbuhan ekonomi mampu melebihi sasaran yang ditetapkan.

Katanya, ini memandangkan banyak negara lain turut mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik dan ia mungkin menyebabkan negara terpaksa bersaing bagi mendapatkan pelaburan asing.

“Maka, kerajaan perlu memastikan polisi ekonomi yang dilakukan perlu bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa, agar kesinambungan daripada pertumbuhan lalu dapat diteruskan,” jelasnya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, beliau berasa lega dan gembira dengan pengumuman Najib kerana ia sesuatu yang di luar jangkaan dan Malaysia antara negara yang berjaya melakukannya dengan baik.

Beliau berharap kerajaan memberi perhatian untuk meningkatkan pelaburan domestik oleh pihak swasta bagi menjana ekonomi supaya pertumbuhan terus meningkat.

“Pertumbuhan positif lalu banyak dibantu oleh dua pakej rangsangan kerajaan tetapi ia (pakej rangsangan) tidak boleh dilakukan lagi kerana keadaan ekonomi negara masih berada dalam keadaan defisit,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu aktif menarik pelaburan asing kerana kesemua negara kini mula berusaha ke arah tersebut yang memungkinkan persaingan sangat sengit kepada Malaysia.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan menyedari hal ini dan dasar model ekonomi baru yang akan diumumkan kerajaan merupakan jawapan yang akan menentukan kemajuan negara kelak.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, beliau bukan sahaja yakin ekonomi negara mampu mencapai sasaran pertumbuhan sebanyak lima peratus malah mampu melepasi unjuran tersebut.

“Pertumbuhan ekonomi lima peratus adalah satu sasaran yang realistik.

“Tambahan keadaan ekonomi global yang mula menunjukkan tanda-tanda positif, sebagai negara membangun yang progresif, sudah pasti Malaysia mampu mencapainya,” katanya.

Beliau merasakan pelaburan swasta masih tidak berupaya untuk mempengaruhi dan menjana ekonomi negara dengan sempurna.

“Negara masih memerlukan pelaburan dari sektor awam dan selepas itu barulah pelaburan swasta diyakini berjaya menjadi nadi ekonomi.

“Selepas ini, kerajaan perlu mengutamakan pelaburan domestik kerana agak sukar kita hendak bersaing untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI).

“Sewaktu krisis ekonomi 1998, pelaburan domestik berjaya memperbaiki keadaan ekonomi negara, malah, syarikat dari negara kita kini sudah mempunyai keupayaan untuk melabur dalam negara,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, tabungan yang sangat ketara oleh rakyat Malaysia juga boleh menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi.

Dengan kadar bunga yang agak rendah ketika ini, perbelanjaan perlu ditingkatkan bagi merangsang pusingan ekonomi,” katanya sambil menjangkakan tahun 2011 bakal menyaksikan tabungan rakyat Malaysia akan meningkat.

keat sin (U6A)

Posts : 121
Join date : 2009-10-07

Back to top Go down

Ekonomi negara diyakini terus berkembang Empty Pertumbuhan lebih mantap

Post  keat sin (U6A) Fri Feb 26, 2010 9:04 am

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Ekonomi negara dijangka terus kukuh dengan limpahan pelbagai projek mega daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan pengumuman Model Ekonomi Baru.

OSK Research berkata, dengan limpahan itu, negara dijangka mampu mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2010.

Katanya, unjuran itu selari dengan ramalan pertumbuhan dalam permintaan domestik dan pemulihan ekonomi global.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat yang melonjak melepasi sasaran awal menunjukkan kemelut ekonomi yang melanda Malaysia sudah berlalu dan kini sedang dalam proses pemulihan.

Pertumbuhan positif itu dijangka dijana oleh peningkatan dalam perbelanjaan swasta disebabkan peningkatan pendapatan boleh guna ekoran kadar pengangguran yang rendah dan sentimen pengguna bertambah baik.

Dari aspek luaran pula, OSK Research percaya, kedudukan eksport bertambah baik memandangkan permintaan luar negara meningkat, sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

''Sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kami percaya kadar pertumbuhan melonjak dengan lebih tinggi.

''Ia kerana, kejayaan GTP akan memberi persekitaran kondusif kepada perniagaan dan meningkatkan perbelanjaan swasta,'' tambahnya.

Berikutan itu, katanya, Jawatankuasa Dasar Monetari yang bermesyuarat pada 4 Mac ini juga bakal menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.

''Kami telah menaikkan unjuran OPR kepada 2.25 peratus. Dalam memastikan kestabilan dalam proses pemulihan, kadar faedah akan diselaraskan untuk menggambarkan situasi ekonomi berbanding mengetatkan pertumbuhan kredit,'' kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank berkata, berdasarkan prestasi luar jangkaan itu, bank berkenaan turut menaikkan unjuran KDNK pada 2010 kepada 5.3 peratus berbanding 4.5 peratus.

Perubahan itu disebabkan ramalan peningkatan unjuran bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan termasuk perbelanjaan pelanggan dan kenaikan dalam inventori.

''Malah, pada masa yang sama, kami turut menjangkakan Kerajaan Persekutuan akan membuat unjuran KDNK baru,'' tambahnya.

Bagaimanapun, Maybank Investment dalam nota penyelidikannya menyifatkan pemulihan semasa masih lagi rapuh dan berisiko dalam beberapa faktor.

Antaranya, krisis hutang berdaulat dalam ekonomi Eropah, kemungkinan berlakunya gelembung aset di Asia dan kebimbangan perselisihan Amerika Syarikat-China.

Selain itu, peruntukan pakej rangsangan ekonomi yang dijangka habis turut dikhuatiri memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.

Lanjutan kemeruapan dalam pasaran kewangan global teruatama pasaran ekuiti AS dan mata wang dolar kebelakangan ini.

Tambahnya, kenaikan inflasi domestik dan kadar faedah termasuk kajian semula harga dan subsidi minyak dan tarif elektrik serta ketidaktentuan saiz dan kesan kenaikan OPR kepada sentimen pengguna dan pelanggan.

''Atas sebab-sebab ini, kami menjangkakan corak pertumbuhan KDNK tidak begitu lancar,'' ujarnya.

keat sin (U6A)

Posts : 121
Join date : 2009-10-07

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum