PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Ayam berkokok bantu cekup kaki judi

Go down

Ayam berkokok bantu cekup kaki judi Empty Ayam berkokok bantu cekup kaki judi

Post  ypeng(U6A/10) Mon Jul 26, 2010 3:27 pm

PUCHONG 25 Julai - Ada kisah lucu berlaku ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu sebuah lokasi perjudian sabung ayam di kawasan belukar berhampiran rumah kongsi Bandar Puteri Puchong di sini hari ini.

Serbuan mengejut pukul 1.30 petang itu dilakukan oleh Pegawai Pencegahan D7 Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad bersama 14 anggota menyebabkan kira-kira 30 orang kaki judi bertempiaran melarikan diri.

Salah seorang kaki judi yang terlalu sayangkan ayam sabungnya melarikan diri sambil memeluk haiwan taruhannya itu bersembunyi dalam hutan berhampiran bagi mengelak dicekup.

Namun, ketika menyembunyikan diri, tiba-tiba ayamnya berkokok menyebabkan dia berjaya dikesan dan ditangkap oleh anggota polis yang sedang menjalankan operasi menjejakinya.

Menurut Maszely, lelaki terbabit merupakan seorang daripada 24 orang yang diberkas polis dalam serbuan di kawasan belukar yang dijadikan 'mini kasino' oleh peminat judi sabung ayam dan judi bola golek.

Beliau berkata, mereka yang ditangkap terdiri daripada tujuh lelaki tempatan termasuk seorang berasal dari Sipitang, Sabah; 15 lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

Katanya, lima lelaki dan dua wanita Indonesia yang ditahan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di tapak pembinaan di situ.

"Dalam serbuan ini, kita turut merampas tiga bilah taji bersama peralatan membalut luka ayam; bola, alat penimbang air dan kertas digunakan untuk bermain bola golek, wang tunai RM15,571 dan 21 ekor ayam sabung," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara 28 hingga 40 tahun termasuk masing-masing seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai bookie manakala seorang lagi menjadi ah long.

Beliau berkata, lelaki berusia 28 tahun yang menjadi ah long turut membawa sejumlah wang ke tempat perjudian untuk ditawarkan kepada mana-mana kaki judi yang mahu membuat pinjaman.

Katanya, mini kasino yang sudah tiga bulan beroperasi itu menawarkan nilai pertaruhan minimum RM3,000 bagi sabung ayam manakala maksimum RM400 bagi judi bola golek kerana pertaruhan bagi permainan ini boleh dibuat pada kadar serendah 50 sen.

"Malah, siasatan mendapati, ayam sabung digunakan dalam perjudian ini diimport khas dari Sabah iaitu ayam baka Filipina yang berharga RM4,000 seekor.

"Kegiatan perjudian ini hanya dilakukan pada hujung minggu dari awal pagi hingga petang," katanya.

Maszely berkata, kesemua yang ditahan akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Terbuka Judi 1953, Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953 manakala tujuh PATI ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di tempat serbuan mendapati, buruh binaan warga Indonesia yang mendiami rumah kongsi di situ turut mengambil kesempatan membuka sebuah gerai menjual minuman, kuih-muih, sate dan nasi campur kepada kaki judi bagi memudahkan mereka menjamu selera tanpa perlu meninggalkan lokasi perjudian.

Malah, tempat perjudian itu cukup selesa kerana ditutupi bumbung kanvas, redup dikelilingi pokok-pokok menghijau dan ada gelanggang khas untuk menyabung ayam.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum