PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Perletakan Jawatan Beramai-ramai Kejutkan MCA

Go down

Perletakan Jawatan Beramai-ramai Kejutkan MCA Empty Perletakan Jawatan Beramai-ramai Kejutkan MCA

Post  HsianMin (U6B/2010) Thu Mar 04, 2010 7:42 pm

Oleh D. Arul Rajoo

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Setelah sekian lama dilanda krisis kepimpinan, MCA Khamis dikejutkan dengan peletakan jawatan secara beramai-ramai oleh dua pertiga anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang dipilih, yang memerlukannya mengadakan semula pemilihan jawatan dalam tempoh sebulan.
Tanpa diduga, pada satu sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini hari ini, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan presiden dan anggota CC bersama tujuh anggota CC lain. Beliau mengaku tidak memaklumkan terlebih dahulu keputusannya itu kepada presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sementara itu, kumpulan yang diketuai naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang sejak sekian lama mendesak agar pemilihan jawatan diadakan semula, menyerahkan surat peletakan jawatan 13 anggota CC dan ini menjadikan jumlah mereka yang meletak jawatan 21 orang atau dua pertiga daripada sejumlah 31 anggota CC yang dipilih.Perlembagaan MCA memperuntukkan bahawa pemilihan semula jawatan perlu diadakan apabila dua pertiga daripada anggota CC meletak jawatan.

Dr Chua berkata peletakan jawatannya adalah sejajar dengan penegasan beliau pada mesyuarat agung luar biasa parti itu tahun lepas bahawa pemilihan semula perlu diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda MCA.

"Partilah yang lebih penting, bukan pemimpin atau kepentingan peribadi," katanya.

Dr Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau menerima surat peletakan jawatan tujuh anggota CC yang dipilih, yang turut melepaskan jawatan bersama beliau hari ini.

Mereka ialah naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Kumpulan Liow pula termasuk Liow sendiri, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung, Datuk Wong Mook Leong, Tan Kok Hong, Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Antara 21 anggota CC yang berbuat demikian ialah tiga naib presiden -- Liow dan Kong, yang menganggotai Kabinet, dan Tan Kok Hong. Seorang lagi ialah naib presiden dan menteri Kabinet, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Beliau, yang menerajui portfolio pelancongan, kini berada di luar negara.

MCA, parti politik Cina terbesar di negara ini, mengadakan pemilihan jawatannya pada Oktober 2008, yang menyaksikan pemilihan Ong sebagai presiden.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah dalam temubual dengan Bernama sebelum ini, Ong berkata maklum balas daripada lapangan dan hakikat bahawa semakin berkurangnya perbalahan secara terbuka dalam kalangan pemimpin parti itu kebelakangan ini, menunjukkan bahawa tahap keyakinan orang ramai terhadap MCA semakin baik.

Liow berkata sebelum ini, beliau tidak tahu langsung tentang hasrat Dr Chua untuk meletak jawatan.

"Saya hanya tahu melalui SMS," kata Liow sambil menambah bahawa beliau amat lega dengan peletakan jawatan oleh lapan orang yang diumumkan Dr Chua.

"Sejajar dengan Perkara 41 perlembagaan parti, pemilihan semula di peringkat kepimpinan pusat perlu diadakan bagi memilih satu pasukan kepimpinan pusat yang dinamik serta berintegriti bagi menerajui parti ini dan memenuhi hasrat para anggota," kata Liow kepada pemberita.

Beliau melahirkan harapan agar pemilihan yang diadakan kelak adalah adil dan telus.

Liow mengetuai satu kumpulan yang digelar Pasukan Petugas Pemulihan Integriti MCA (MIRT) bagi mendesak agara pemilihan semula jawatan diadakan apabila parti itu mula dilanda krisis tahun lepas.

"MIRT ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota parti yang berdiri teguh bersama MIRT dalam perjuangan yang amat mencabar bagi memulihkan integriti dan maruah parti," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan peletakan jawatan oleh Dr Chua.

"Ia menunjukkan beliau menunaikan janjinya. Beliau berjanji untuk meletak jawatan pada Mac. Hari ini ialah 4 Mac," katanya.

Ditanya sama ada beliau dan Dr Chua akan bekerjasama dalam menghadapi pemilihan semula itu, Liow berkata beliau lebih suka menunggu tarikh pencalonan diumumkan dahulu sebelum memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu.

Sementara itu, anggota CC Datuk Ti Lian Ker berkata memandangkan tempoh memegang jawatan bagi kepimpinan sedia ada akan berakhir tahun depan, pemilihan semula yang diadakan nanti hanya akan mengakibatkan parti itu dilanda konflik lebih teruk.

"Para pemimpin baru akan hanya berkhidmat selama lebih kurang setahun dan pemilihan semula pada peringkat ini pasti akan meningkatkan konflik dalam parti ini," katanya apabila dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya Dr Chua, Liow dan anggota CC lain yang meletak jawatan itu boleh mewujudkan satu kumpulan yang mampu bertolak ansur dalam tempoh sebulan, maka pemilihan semula tidak perlu diadakan.

"Saya harap para pemimpin berkenaan akan mencapai kata sepakat dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," kata Ti.

Ti berkata beliau tetap akan menghadiri mesyuarat CC yang dijadualkan berlangsung esok. Sebaliknya, Dr Chua dan Liow berkata mereka tidak akan menghadirinya kerana sudah meletak jawatan.

-- BERNAMA

HsianMin (U6B/2010)

Posts : 84
Join date : 2009-05-12

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum