PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

200,000 bertaruh sehari

Go down

200,000 bertaruh sehari Empty 200,000 bertaruh sehari

Post  ypeng(U6A/10) Tue Jun 22, 2010 1:57 pm

RM300.7 juta kutipan keseluruhan judi bola Piala Dunia dalam 10 hari

KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 orang terbabit dalam judi bola sepak di negara ini setiap hari sejak Piala Dunia bermula 11 Jun lalu dengan pertaruhan keseluruhan bernilai RM300.7 juta yang didalangi empat sindiket termasuk membabitkan tujuh orang kenamaan, sesetengahnya bergelar Datuk.

Maklumat dan perangkaan itu diperoleh polis hasil siasatan ke atas 129 orang yang ditahan dalam Ops Soga yang dilancarkan di seluruh negara sejak kejohanan itu bermula hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati setiap seorang bertaruh antara RM50 hingga RM2,000 dan jumlah yang dikutip sindiket itu boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan atau sehingga RM100,000 untuk tiga perlawanan sehari.
Beliau bagaimanapun berkata, sindiket didalangi tujuh orang kenamaan itu kini sudah melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditahan polis.

Katanya, sindiket itu turut memindahkan operasi ke luar negara dengan menerima pertaruhan menerusi talian menggunakan mata wang Amerika bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.

Mohd Bakri bagaimanapun enggan memberi butir lanjut, tetapi menurut sumber orang kenamaan itu melarikan diri ke Thailand dan Singapura.

“Kita masih menjalankan siasatan dan risikan bagi menjejaki sindiket itu dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol).
“Polis juga mempunyai bukti Along menyediakan pinjaman untuk pertaruhan judi bola sepak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sepanjang 10 hari sehingga kelmarin, sebanyak 156 serbuan dibuat polis di seluruh negara bagi membanteras sindiket judi bola sepak. Dalam tempoh itu, 100 lelaki dan 20 wanita tempatan serta sembilan warga asing ditahan, semuanya berumur dalam lingkungan 15 hingga 73 tahun.

Di MELAKA, 14 lelaki berusia 23 hingga 40 tahun termasuk pengusaha kedai makan dan pusat hiburan ditahan di Batu Berendam, Kandang, Tengkera, Bukit Baru dan Bandar Hilir sejak kejohanan itu bermula.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, berkata dalam 10 serbuan sepanjang 10 hari hingga kelmarin, polis turut merampas wang tunai RM4,000 serta pelbagai barang termasuk enam komputer riba, satu komputer, sembilan kad sim dan satu modem serta sejumlah kertas catatan.

DiJOHOR BHARU, polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket judi bola sepak membabitkan pertaruhan RM6 juta susulan penahanan lima lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu dan Kluang sejak 13 Jun hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata siasatan mendapati perlawanan antara England dan Amerika Syarikat mencatat pertaruhan tertinggi di kalangan kaki judi di Johor.

Di SEREMBAN, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lapan orang ditahan dalam lima serbuan membabitkan pertaruhan mencecah RM2.8 juta dengan perlawanan antara England dan Amerika Syarikat turut mencatat pertaruhan tertinggi.

“Lima penganjur dan tiga pemain berusia antara 32 tahun dan 47 tahun ditahan di kawasan perumahan, kafe siber dan restoran sekitar Seremban dan Simpang Pertang, Jelebu,” katanya.

Di GEORGETOWN, Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki berusia 57 dan 51 tahun dalam serbuan di dua rumah berasingan di Simpang Ampat dan Jalan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, ketika sedang mengendalikan pertaruhan, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata polis turut merampas pelbagai barang termasuk dua komputer riba, lima telefon bimbit, jadual perlawanan bola dan beberapa kertas mengandungi angka pertaruhan.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum