PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Kerajaan Harus Tumpu Usaha Giatkan Semula Pelaburan Swasta

Go down

Kerajaan Harus Tumpu Usaha Giatkan Semula Pelaburan Swasta Empty Kerajaan Harus Tumpu Usaha Giatkan Semula Pelaburan Swasta

Post  YeeYew™ [SonG][U6B] Sat Jun 12, 2010 1:04 pm

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan haruslah memberikan tumpuan kepada usaha menggiatkan semula pelaburan swasta sebagai penjana penting pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang, kerana pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini tidak dijangka meningkat dengan mendadak.

Pakar ekonomi Affin Investment Bank, Alan Tan, berkata FDI tidak dijangka bertambah mendadak memandangkan persaingan sengit daripada China dan ekonomi-ekonomi baharu yang lain di Asia.

"Kerajaan perlu memastikan langkah dan strategi yang disusun dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), terutamanya tentang pelaburan dalam modal insan dan pendidikan, dilaksanakan dengan berkesan.

"Ini penting untuk membuahkan hasil yang positif dan bagi merangsang sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan ekonomi," kata Tan kepada Bernama dalam satu wawancara melalui emel hari ini.

Beliau berkata ini konsisten dengan cadangan-cadangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menyarankan supaya modal insan dipupuk melalui reformasi sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi untuk meningkatkan tahap produktiviti.

Dalam RMK-10, kerajaan bercadang melaksanakan langkah-langkah holistik untuk memperkukuh sistem pendidikan dan latihan, mulai dari alam kanak-kanak hingga kepada pendidikan tinggi.

Selain menyediakan prasarana pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan akan juga memastikan kualiti guru dan pendidik bertahap tinggi.

Selain mengubah suai sistem pendidikan, kerajaan sedar bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara.

Satu lagi pemacu pertumbuhan ialah penubuhan perkongsian berkesan yang dicadangkan antara saktor awam dan sektor swasta untuk memacu agenda transformasi ekonomi.

Sehingga kini, 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion telah dikenal pasti untuk dilaksanakan.

Tan berkata projek-projek perkongsian awam-swasta haruslah difikirkan dengan teliti dan dilaksanakan dengan berkesan kerana akan berlaku perpindahan risiko daripada kerajaan kepada rakan kongsi swasta.

Malaysia juga akan melonggarkan sektor perkhidmatan dan kewangan untuk menggalakkan lebih banyak pelabur asing melabur dalam sektor-sektor ini, dengan meningkatkan daya saing cukai negara melalui pengurangan kos menjalankan perniagaan.

Kata Tan ini pastinya merupakan satu langkah ke hadapan bagi menggalakkan pengaliran masuk FDI dan pelaburan swasta.

"Kajian oleh agensi antarabangsa menggalakkan negara-negara mengubah rejim cukai masing-masing agar kurang bergantung kepada cukai langsung bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

"Kami percaya Malaysia sedang melangkah ke arah yang sama," kata Tan sambil menambah bahawa sebarang penurunan kadar cukai korporat negara pada masa akan datang akan berkesan dalam meningkatkan daya saing cukai negara.

Bagaimanapun, kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar cukai korporat dalam jangka terdekat ini agar dapat mengekalkan pendapatan.

"Dasar monetari yang akomodatif, dengan kadar faedah yang rendah dan laluan mudah kepada pembiayaan bagi sektor swasta, akan membantu menyokong penggunaan dan pelaburan swasta," tegas beliau.

YeeYew™ [SonG][U6B]

Posts : 152
Join date : 2009-05-17

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum