PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Berpersatuan jauhi gejala sosial

2 posters

Go down

Berpersatuan jauhi gejala sosial Empty Berpersatuan jauhi gejala sosial

Post  HsianMin (U6B/2010) Sat May 15, 2010 2:11 pm

PENGLIBATAN dalam pertubuhan belia merupakan salah satu cara terbaik untuk mengawal golongan muda daripada terjebak dalam pelbagai kegiatan negatif.

Melalui pertubuhan belia golongan muda di bawah umur 40 tahun boleh melakukan pelbagai aktiviti yang mereka gemari seperti sukan lasak, berlumba dan sebagainya dengan cara yang sihat.

Aktiviti dalam pertubuhan belia juga membantu golongan muda menghabiskan masa dengan aktiviti yang berfaedah serta mendapat pelbagai pendedahan mengenai kemahiran memimpin.

Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Kementerian Belia dan Sukan, Sa'don Suraji berkata, golongan belia di negara ini masih mempunyai minat yang tinggi untuk berpersatuan. Ini dapat dilihat melalui sejumlah 7,770 pertubuhan belia yang didaftarkan dengan ROY dengan hampir dua juta ahli di seluruh negara.

''Pertubuhan belia mempunyai banyak program pencegahan untuk menjauhi golongan muda daripada terjebak dalam pelbagai masalah sosial.

Antara masalah sosial melibatkan belia yang sering kita baca pada hari ini adalah penyalahgunaan dadah, mat rempit, kegiatan jenayah dan buang bayi.

''Belia yang terlibat dalam gejala sosial tentunya tidak berpersatuan atau menganggotai mana-mana pertubuhan beliau.

"Jika mereka merupakan ahli mana-mana pertubuhan belia, sudah tentu mereka mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, bagi yang suka merempit terdapat aktiviti permotoran dalam persatuan belia," katanya.

Sa'don berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Jelasnya, sebahagian besar belia yang berasal dari keluarga bermasalah biasanya tidak gemar berpersatuan.

Bagi menarik golongan berkenaan, persatuan belia sentiasa melaksanakan kempen menambahkan ahli.

''Salah satu sebab golongan belia terjebak dalam masalah sosial ialah kerana mereka mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu cara terbaik untuk mengisi masa lapang tersebut.

''Kebanyakan belia juga tidak tahu wujudnya pelbagai persatuan. Apabila mereka bermasalah mereka biasanya mendapatkan nasihat rakan. Ini adalah tabiat golongan muda, mereka lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan berbanding ibu bapa," kata Sa'don.

Tambah beliau, jika belia yang menghadapi masalah merupakan anggota mana-mana persatuan belia, mereka pasti boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya untuk menangani masalah yang dihadapi dengan matang.

Namun jika mereka mendapat nasihat dari rakan yang salah, mereka berisiko memilih penyelesaian yang tidak rasional.

Bagi menggalakkan belia berpersatuan, jelas Sa'don, kesedaran mengenai faedahnya perlu disebarkan kepada masyarakat.

''Antara faedah berpersatuan ialah membina peribadi belia, menimba pengalaman kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan dan membantu belia menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran dan desakan hidup," katanya.

Tambah Sa'don, berbanding belia di luar negara kesedaran belia Malaysia dalam melaksanakan program sukarelawan masih boleh ditingkatkan. Ini disebabkan rasa ghairah untuk bekerja dan memiliki wang sendiri di kalangan belia Malaysia.

Walau bagaimanapun, kebelakangan ini jumlah belia tempatan yang melaksanakan program sukarela semakin meningkat.

''Di luar negara khususnya di negara maju, ada belia yang memandu di waktu malam dan membantu membawa golongan yang tidak mempunyai rumah untuk berlindung di rumah-rumah kebajikan.

''Di Malaysia, ketika penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998 mereka yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan masih mengharapkan pelbagai pulangan," jelasnya.

Kata Sa'don, beliau berharap pemimpin pertubuhan belia pada masa yang akan datang akan lebih dinamik dan agresif dalam menentukan pembangunan sosial negara.

''Belia Malaysia perlu sedar bahawa masyarakat dunia memberikan perhatian kepada pemimpin muda. Fenomena ini dapat dilihat melalui kemenangan Barack Obama yang menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada usia 40-an dan Perdana Menteri Britain yang baru David Cameron juga baru berusia 43 tahun.

''Sementara bakal presiden Filipina, Benigno Aquino juga berusia 50 tahun. Ini menunjukkan masyarakat di seluruh dunia kini yakin dengan pimpinan golongan muda. Belia di Malaysia harus memperkasakan diri mereka dengan pelbagai kemahiran supaya setanding dengan golongan muda di negara lain," jelasnya.

Tambah beliau, kebelakangan ini kerajaan sudah banyak mendengar suara generasi muda negara melalui pelbagai pendekatan baru untuk mendekatkan diri dengan golongan tersebut.

Kerajaan juga menyediakan banyak platform bagi golongan belia menggunakan masa muda mereka dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan diri dan mewarisi kepimpinan negara.

Belia di Malaysia sewajarnya menggunakan pelbagai peluang yang ada untuk menjadi bakal pemimpin dan anggota masyarakat yang berguna serta bebas dari sebarang masalah sosial.

HsianMin (U6B/2010)

Posts : 84
Join date : 2009-05-12

Back to top Go down

Berpersatuan jauhi gejala sosial Empty Re: Berpersatuan jauhi gejala sosial

Post  Khang Wei (U6B/2010) Mon May 17, 2010 12:34 pm

Saya amat bersetuju dengan langkah ini dan saya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada penubuhan pertubuhan belia. Negara memerlukan generasi baru yang berkaliber yang bakal menjadi pemimpin negara. Pertubuhan belia boleh melahirkan modal insan yang berpotensi, berkaliber serta berbakat, tidak kurang juga berbudi bahasa.

Khang Wei (U6B/2010)

Posts : 82
Join date : 2009-05-12

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum