PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

cuaca panas

4 posters

Go down

cuaca panas Empty cuaca panas

Post  yeeleng(L6A) Sat Feb 20, 2010 10:33 am

DI Malaysia, tidak ramai orang peduli soal cuaca, melainkan setelah berlaku sesuatu keadaan luar biasa. Cuaca panas yang melanda negara sejak Januari lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac, tidak menggemparkan mereka apatah lagi ada jaminan daripada pihak Jabatan Meteorologi bahawa apa yang berlaku ini adalah fenomena biasa.

Kebanyakan mereka hanya mengadu panas dan tidur berpeluh, itu saja. Bagi yang ada pendingin hawa, mereka tidak terasa sebarang perubahan. Biasanya, kebanyakan mereka tidak tahu apa-apa mengenai perubahan iklim selain malam dan siang dan hujan dan panas.



Namun, bagi golongan pencinta alam dan mereka yang peduli soal alam sekitar, ramai yang bertanya mengenai punca sebarang perubahan terhadap iklim. Bagi mereka, setiap sesuatu yang berlaku, ada penyebab dan puncanya. Bagi mereka, apakah ini yang dikatakan pemanasan global yang sering mereka baca di akhbar atau dengar di media elektronik?

Mereka sering mendengar bahawa pembangunan yang berpunca daripada penebangan hutan, menarah bukit dan sebagainya memberi kesan kepada persekitaran. Mereka juga melihat keadaan ini terus berlaku dan sedar ia sukar dihentikan atas faktor pembangunan. Bagi golongan ini, mereka mudah mengaitkan isu pemanasan global dengan puncanya.

Jabatan Meteorologi mungkin cuba menyampaikan mesej supaya rakyat tidak perlu panik kerana segala-galanya terkawal. Selagi belum kemarau teruk atau bumi menjadi kering-kontang, segala-galanya adalah perkara biasa. Tanah sawah yang merekah di Perlis yang disiarkan oleh media, juga adalah perkara biasa terutama selepas musim menuai.

Bila paras laut dan sungai, kawasan takungan air dan sebagainya mula merosot, sudah ada tanda-tanda kebimbangan. Kekurangan air akan menyebabkan bekalan dicatu atau dihentikan. Ada kalanya bekalan air terpaksa dihantar ke rumah-rumah. Ini sangat tidak diingini. Ketiadaan air adalah satu penyeksaan.

Dibandingkan antara ketiadaan bekalan elektrik dan air, ramai yang akan mengatakan mereka lebih rela ketiadaan elektrik. Setakat ini belum ada satu kajian saintifik yang dapat meyakinkan bahawa apa yang berlaku hari ini ada kaitannya dengan isu alam sekitar. Jadi, suhu paling panas setakat ini iaitu 36.6 darjah Celsius di Chuping, Perlis atau di Petaling Jaya pada 34.7 darjah Celsius, adalah biasa.

yeeleng(L6A)

Posts : 118
Join date : 2009-05-18

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Sat Feb 20, 2010 4:49 pm

ORANG ramai semakin resah dengan cuaca panas melampau dan suhu tinggi. Panahan terik matahari dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti seharian, terutama membabitkan pertanian dan ternakan serta kemungkinan mengundang kebakaran hutan dan sebagainya.

Negara pernah mencatat suhu tertinggi 41.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, sehingga menyebabkan kemarau panjang

di sebahagian kawasan di negara ini. Namun, sejarah catatan suhu tertinggi itu masih kekal. Catatan cuaca kini yang paling tinggi ialah antara 34 hingga 36 darjah Celsius dan masih dianggap fenomena biasa setiap Februari hingga Mac, setiap tahun.



Cuaca Malaysia kini berada pada penghujung Monsun Timur Laut, iaitu keadaan cuaca yang lebih kering terutama di Utara Semenanjung dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Walaupun Jabatan Meteorologi menyifatkannya fenomena biasa, ia tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya semua pihak khususnya masyarakat mengambil langkah tertentu termasuk mengurangkan aktiviti luar bagi menjaga kesihatan serta dilarang melakukan pembakaran terbuka.

Pada cuaca suhu tinggi dan kering, kebakaran sama ada di kawasan hutan, kawasan lapang atau sebagainya mudah berlaku jika tiada kawalan dan menyebabkan masalah lain. Menurut Indeks Cuaca Kebakaran Malaysia - Semenanjung, Sabah dan utara Sarawak terdedah kepada kebakaran hutan disebabkan cuaca panas dan kering ini.

Petanda buruk terhadap suhu cuaca panas seperti kemarau panjang pada ketika ini belum dapat dilihat dengan jelas. Cuma baru-baru ini, berlaku kejadian 28 gerabak kereta api barang terbalik di kilometer 58.75 berhampiran Kampung Guar Stesen Dalam, Guar Chempedak, dekat Yan, Kedah dipercayai berpunca daripada cuaca panas melampau menyebabkan rel di kawasan itu mengembang serta bengkok, sekali gus mendorong gerabak kereta api itu tergelincir.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail menjelaskan cuaca panas itu hanya sementara iaitu sehingga akhir Mac dan berlaku fasa peralihan Monsun Timur Laut mulai April dengan membawa hujan lebih berbanding dua bulan sebelumnya.

Katanya, ketika ini, keadaan panas yang agak terik biasanya boleh berlaku apabila tiada hujan berlaku untuk tempoh tertentu dan apabila matahari secara relatifnya berada agak hampir dengan khatulistiwa iaitu sekitar Februari-Mac dan Ogos-September.

"Fenomena ini dikenali sebagai 'March Equinox' jika berlaku pada Mac dan 'September Equinox' pada September. Pada masa sama, fenomena El Nino yang sederhana kepada lemah sedang berlaku dan fenomena ini dijangka berakhir menjelang Mac. Fenomena ini boleh menyumbang terhadap kejadian cuaca panas yang berlaku di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pada 21 Mac kedudukan matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa dan pada masa itu tempoh hari siang dan malam di Hemisfera Selatan dan Utara adalah hampir sama. Fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu pada 20 atau 21 Mac dan 22 atau 23 September setiap tahun apabila matahari bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara dan sebaliknya.

Che Gayah berkata, secara relatifnya, Februari dan Mac adalah bulan yang agak kering berbanding bulan lain bagi Sabah, Utara Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung. Bagaimanapun, dalam tempoh itu hujan masih berlaku di kawasan berkenaan.

Kejadian cuaca panas dan kering yang berterusan boleh menyebabkan kebakaran hutan seperti yang sering terjadi ketika Monsun Barat Daya pada Jun hingga September setiap tahun. Pada masa itu, jumlah taburan hujan secara relatifnya juga akan berkurangan.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, Prof Dr Fredolin Tangang ketika mengulas fenomena itu, menjelaskan secara purata suhu tahunan dicatatkan tinggi pada Februari dan Mac dan pada masa sama penurunan kadar hujan sepanjang tempoh dua bulan itu adalah pada tahap paling minimum.

Katanya, keadaan cuaca panas dan kering dialami sekarang ini juga adalah kesan dialami akibat fenomena El Nino yang kini sedang mengalami kemuncak dan dijangka berakhir Mac atau April.

"Fenomena El Nino, kali ini boleh dikatakan lemah dan tidak begitu teruk berbanding dengan El Nino, pada 1997 dan 1998 yang menyebabkan kemarau berpanjangan dan jerebu teruk dan kemusnahan sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, bagi El Nino kali ini, tidak saja dialami di Malaysia, sebaliknya kesan sama turut dirasai di negara jiran terutama Indonesia.

"Beberapa kajian yang saya lakukan mendapati peningkatan suhu ketika fenomena ini adalah sesuatu yang dijangkakan seperti suhu permukaan laut di bahagian tengah dan Timur Lautan Pasifik meningkat. Data terkini dari Agensi Lautan dan Atmosfera Amerika (NOAA) menunjukkan ia sedang berlaku," katanya.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 33

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Sat Feb 20, 2010 4:50 pm

CUACA DUNIA MAKIN PELIK
Oleh Nurul Adlina Kamaludin

REKOD bumi kini mencatatkan perkembangan pelik. Bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.


Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar.

Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.

Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan.

Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar pun tidak terkecuali kelam kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa negara dalam tempoh dua bulan lalu.

Namun, antara contoh �klasik� atau ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini.

Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, sebaliknya menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak 1981.

Cuaca sejuk melampau di kawasan termasuk bandar Soweto, selatan Johannesburg serta kawasan penempatan eksklusif di Sandton mencatatkan suhu sehingga 1 darjah Celsius.

�Salji yang turun itu menjadi satu fenomena unik bagi kami kerana ia jarang berlaku di negara ini. Cuaca sejuk memang berlaku tetapi tidaklah sehingga menurunkan salji,� kata Kevin Rae, Timbalan Pengurus Jabatan Kaji Cuaca Afrika Selatan di Pretoria yang dipetik media tempatan.

Ketika penduduk Afrika Selatan memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat cuaca panas melampau.

Laman web pusat pemantau cuaca Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (Nasa) merujuk bulan lalu sebagai tempoh paling panas sejak enam tahun lalu dengan catatan suhu kira-kira 40 darjah Celsius. Suhu permukaan tanah turut meningkat dengan sebahagian Kanada dan Mexico juga lebih panas berbanding tempoh 2000-2005.

Di Amerika, korban cuaca panas itu mencecah lebih 200 orang termasuk 164 orang di California dengan selebihnya dilaporkan di New York dan Chicago. Keadaan itu menyebabkan berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus.

Di Eropah sekurang-kurangnya 29 orang maut di Paris akibat panas melampau. Namun fenomena sepanjang Julai yang reda awal bulan ini masih terkawal dan tidak seburuk kejadian pada 2003 apabila sekurang-kurangnya 15,000 maut di Perancis dan 20,000 lain di Itali akibat cuaca panas yang keterlaluan.

Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera.

Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah.

�Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.�

Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemudaratan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang setakat ini menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja.

Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di ceruk lain dunia di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini.

Apa yang pasti, keadaan cuaca yang tidak menentu itu diperakui sejak beberapa tahun lalu yang membawa kepada penubuhan satu agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - Intergovernmental Panel non Climate Change (Panel Perubahan Cuaca) pada 1988. Laporan keempatnya mengenai fenomena pelik cuaca dunia akan dikeluarkan tahun depan.

Laporan itu bakal mengemas kini butiran kajian 2001 yang sudah memberikan amaran peningkatan suhu sebanyak 1.4 - 5.8 darjah Celsius pada 1990 sehingga 2100 bakal mendatangkan kesan buruk.

Apa yang pasti, tempias amaran laporan PBB itu sudah pun ketara sejak akhir-akhir ini. Fenomena pelik cuaca bukan setakat satu andaian tetapi hakikat yang bakal berlaku pada bila-bila masa.

Malangnya, biar sehebat mana pun kecanggihan teknologi bagi mengesannya, ia tidak dapat mengekang kemusnahan akibat bencana alam yang berlaku. Manusia hanya mampu menunggu dan melihat kemusnahan disebabkan cuaca makin pelik dan buruk ini.

INFO
Bukti cuaca tak menentu

2006
# Amerika Syarikat, Eropah dilanda panas melampau manakala Afrika Selatan menyaksikan salji buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun.
# Kajian terbaru buktikan pembentukan awan jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya menyebabkan beberapa habitat hidupan liar kekeringan dan menjejaskan perubahan flora dan fauna.

2005
# Musim taufan Atlantik paling aktif pada tahun ini dengan rekod 26 ribut dan 14 puting beliung yang tujuh daripadanya cecah Kategori 3 ke atas. Buat kali pertama, taufan ganas Katrina, Rita dan Wilma terbentuk dalam satu musim.
# Bumi semakin panas keadaan tahun lalu menyamai 1998 sebagai tempoh paling panas.
# Kemarau dan panas kering menyebabkan musim kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 8.5 juta ekar kawasan dunia yang jauh atasi fenomena sama pada 2000.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 33

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Sat Feb 20, 2010 4:51 pm

Langkah hadapi cuaca kering

PELBAGAI langkah diambil oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) sebagai persediaan dalam menghadapi keadaan cuaca yang lebih kering dalam Monsun Barat Daya mulai pertengahan bulan ini hingga Sept nanti.
Ia berikutan kenyataan Jabatan Meterologi barubaru ini yang meramalkan Malaysia akan mengalami Monsun Barat Daya dalam tempoh itu di mana secara lazimnya cuaca adalah lebih kering berbanding bulan lain, dengan purata suhu maksimum antara 30.7 hingga 34.1 darjah Celcius.
Setiausaha Bahagian Kawal Selia Perkhidmatan Air KTTHA, Sutekno Ahmad Belon berkata pihaknya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) sentiasa mengingatkan semua syarikat pengendli bekalan air supaya memastikan aspek penyelenggaraan rutin dan berjadual dibuat ke atas seluruh sistem bekalan air dari muka sauk sehinggalah ke rangkaian paip perhubungan bagi menjamin langkah pembekalan air paling efisyen.
Beliau berkata empangan juga perlu diselenggara dengan baik dan mematuhi manual operasi masing-masing, manakala pelepasan air dari empangan ke sungai-sungai yang menjadi punca sumber air perlu dibuat mengikut jadual di dalam manual operasi.
“Sekiranya perkara ini dipatuhi, cuaca panas yang menjadi perkara lazim di Malaysia, akan dapat dihadapi dengan tenang oleh semua operator air dalam negara,” katanya dalam emel baru-baru ini.
Sutekno seterusnya menyeru pengguna supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang masa kerana air kini menjadi sumber yang terhad buat negara.
Beliau mengingatkan bahawa tidak semua sungai dan air permukaan sesuai untuk dijadikan sumber air mentah kepada bekalan air terawat negara kerana pencemaran yang teruk.
Sementara itu Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Shahrul Bariah Mohd Rejab berkata bagi memastikan bekalan air mencukupi walaupun sewaktu musim kering, syarikat-syarikat pengendali loji rawatan yang mengawal setiap empangan perlu efektif dalam menguruskan pelepasan air empangan mengikut prosedur yang mantap dan pemantauan yang rapi.
“Ini kerana kegagalan mengawal pelepasan mengikut keperluan akan hanya mengakibatkan pembaziran sumber air mentah terutama sekali dalam menghadapi keadaan musim kering,” katanya.
Beliau berkata bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kawasankawasan ini memiliki beberapa empangan yang menyimpan air bagi menghadapi musim tidak berhujan yang panjang, dan ia diuruskan oleh syarikat-syarikat rawatan air seperti Puncak Niaga (M) Sdn Bhd yang menguruskan Empangan Klang Gates, Empangan Langat, dan Empangan Tasik Subang.
Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menguruskan Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi, manakala Konsortium Abass, anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, menguruskan Empangan di Sungai Semenyih.
Shahrul Bariah berkata memandangkan kedudukan kapasiti sumber bekalan air di Selangor sudah hampir tidak mencukupi untuk menampung keperluan yang kian meningkat, maka sebarang perubahan cuaca yang mengurangkan bekalan air mentah akan membawa kepada krisis air yang teruk kepada Selangor.
Beliau berkata Syabas sebelum ini pernah mengemukakan cadangan 10 skim pembangunan sumber air mentah kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan, namun menurutnya hanya satu skim yang diluluskan manakala selebihnya ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau seterusnya berkata Syabas turut menyediakan pelan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) terutamanya bagi kehilangan fizikal melalui kerjakerja perbelanjaan modal yang dikenal pasti.
Bagaimanapun menurutnya untuk memberi laluan kepada penstrukturan semula industri air di Selangor, Syabas diarah supaya menangguhkan kerjakerja itu sehingga langkah penstrukturan selesai.
Selain daripada itu, Shahrul Bariah berkata SYABAS juga akan meneruskan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada Kempen Kesedaran Pengguna melalui Program Mesra Pengguna yang antara lain menyeru semua pengguna agar menggunakan air secara berhemah serta mengelak daripada membazir. BERNAMA

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 33

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  lisee(U6A) Sun Feb 21, 2010 1:48 pm

CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.

Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air akibat paras air sungai yang merosot.

Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai tidak membuat persiapan menghadapinya.



Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.

Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

lisee(U6A)

Posts : 51
Join date : 2009-05-16

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  lisee(U6A) Sun Feb 21, 2010 1:49 pm

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air

Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

5) Elakkan perangkap haba

Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah, pastikan anda sentiasa membawa air.

Fakta
Kesan haba panas pada tubuh



20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.


25 darjah Celsius - peluh biasa.


30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.


40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.


45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

lisee(U6A)

Posts : 51
Join date : 2009-05-16

Back to top Go down

cuaca panas Empty Kesan kesihatan berkaitan cuaca panas

Post  Kar Yung (U6A/2010) Sun Feb 21, 2010 4:42 pm

Kesan kesihatan berkaitan cuaca panas termasuk
* Keletihan dan kelesuan akibat dari panas (heat fatigue).
* Pitam atau pengsan akibat dari panas (heat syncope).
* Kekejangan akibat dari panas (heat cramps).
* Keletihan dan kepenatan akibat dari panas (heat exhaustion).
* Strok akibat dari panas (heat stroke).

Tanda dan gejala kesihatan berkaitan dengan panas
Tanda-tanda dan gejala masalah kesihatan berkaitan panas adalah pelbagai dan bergantung kepada keterukan keadaan sesuatu masalah itu. Gejala-gejala biasa termasuk:

* Sakit kepala.
* Keletihan.
* Tumpuan lemah.
* Pening.
* Lemah otot-otot badan atau kekejangan.
* Mual dan muntah.

Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan, dan koma (tidak sedarkan diri) serta komplikas lain.

Keadan paling teruk yang boleh berlaku disebabkan masalah berkaitan panas

* Strok panas boleh menyebabkan maut.
* Kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati.

Kumpulan Berisiko

Siapakah yang berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan panas?
Semua orang adalah berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan panas. Walau bagaimanapun, kumpulan tertentu adalah lebih berisiko untuk menghadapi kesan kesihatan. Kumpulan ini termasuk:

* Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, dan lain-lain.
* Orang dewasa (orang yang berumur 40 tahun keatas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda).
* Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
* Mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung.
* Mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat, yang menghalang panas keluar dari badan melalui proses penyejatan iaitu pengeringan peluh.

Pencegahan

Mencegah atau mengurangkan kesan kesihatan akibat daripada cuaca panas

Di bawah adalah tip-tip pencegahan

Perlu

* Minum dengan banyak, tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
* Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
* Berada di dalam rumah dan bangunan
* Hadkan aktiviti luar
* Berehat dengan kerap
* Mandi atau buka kipas angin untuk meyejukkan badan anda
* Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
* Pakai topi atau payung yang besar semasa keluar rumah.

Jangan/ tidak perlu

* Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.
* Membiarkan seseorang di dalam kereta yang bertutup.
* Bersenam dalam cuaca panas.


Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas?

Ingat tip-tip di bawah

* Keluar dari kawasan yang panas.
* Tanggalkan pakaian yang ketat.
* Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan.
* Gunakan kipas untuk menyejukkan badan.
* Minum air setiap 15 minit.
* Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal.
Kar Yung (U6A/2010)
Kar Yung (U6A/2010)

Posts : 52
Join date : 2009-05-21
Age : 34
Location : KL

Back to top Go down

cuaca panas Empty Re: cuaca panas

Post  Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum