Cadangan had insurans deposit RM250,000:

View previous topic View next topic Go down

Cadangan had insurans deposit RM250,000:

Post  ZiAmUn(U6A/'10) on Wed May 12, 2010 5:06 pm

Skim baru perlindungan penyimpan mulai Januari 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan cadangan untuk memantapkan lagi perlindungan pengguna kewangan dengan meningkatkan had insurans deposit kepada RM250,000, berkuat kuasa 1 Januari 2011, menerusi pengenalan Skim Perlindungan Konsumer Kewangan yang Diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), sebagai penginsurans deposit nasional yang dipertanggungjawabkan mentadbir sistem insurans deposit Malaysia, akan mengemukakan satu rang undang-undang bagi membolehkan kerajaan meningkatkan had insurans deposit berkenaan.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Kewangan berkata Perdana Menteri berhasrat meningkatkan pakej perundangan bagi tujuan memperkukuhkan perlindungan pengguna kewangan untuk rakyat Malaysia.

“Pakej perundangan itu dijangka dibentangkan di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan sebagai enakmen sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 (Akta PIDM) yang ada sekarang menyediakan perlindungan insurans deposit sehingga RM60,000 kepada pendeposit bank yang menjadi anggota PIDM.

Cadangan Skim Perlindungan Konsumer Kewangan yang Diperkukuhkan itu diumumkan sebagai persediaan menggantikan Skim Jaminan Deposit Kerajaan yang diperkenalkan sejak 16 Oktober 2008 dan akan tamat pada 31 Disember ini.
Skim Jaminan Deposit Kerajaan diperkenalkan sebagai pendekatan atau langkah awal selaras inisiatif negara serantau untuk memelihara keyakinan dalam sistem kewangan masing-masing, susulan ketidaktentuan pasaran kewangan global ketika itu.

Skim yang ditadbir PIDM itu melindungi dana pendeposit jika sesebuah institusi kewangan, konvensional atau berlandaskan Syariah gagal memenuhi tanggungjawab mereka kepada pendeposit atau menamatkan operasi.

Ketika ini, 40 institusi perbankan (17 bank Islam dan 23 bank perdagangan) menjadi anggota PIDM.

Kementerian Kewangan berkata, PIDM juga akan memperkenalkan Skim Pampasan Insurans (ICS) yang jelas berserta perundangannya untuk pemegang polisi insurans dan takaful.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pemegang polisi insurans dan takaful menikmati tahap perlindungan konsumer yang sama dengan perlindungan yang diberikan oleh PIDM terhadap penyimpan di bank perdagangan dan bank Islam.

“Ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem kewangan Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu menambah, memandangkan jaminan deposit kerajaan akan berakhir pada akhir tahun ini seperti yang dijadualkan, pengukuhan perlindungan konsumer melalui pakej itu dapat terus menyediakan lebih perlindungan untuk penyimpan.

“Berdasarkan had yang baru ini, 99 peratus daripada penyimpan akan dilindungi sepenuhnya,” katanya.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 26

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum