2.2 juta pekerja bergaji rendah

View previous topic View next topic Go down

2.2 juta pekerja bergaji rendah

Post  keat sin (U6A) on Thu Apr 01, 2010 12:36 pm

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan di seluruh negara menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya berpendapatan di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, mendakwa daripada jumlah itu, 1.5 juta menerima gaji pokok di bawah paras kemiskinan dan lebih 300,000 lagi di bawah kadar kemiskinan tegar.
Katanya, mereka adalah pekerja dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan seperti perhotelan, perladangan, pengangkutan, pembuatan dan lain-lain sektor.

Golongan miskin ditakrifkan sebagai isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang atau bersamaan RM750 sebulan, manakala miskin tegar pula isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang atau bersamaan dengan RM440 sebulan.

Syed Shahir berkata, gaji pokok yang tidak seberapa itu menjejaskan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga mereka dikhuatiri dibelenggu kesulitan hidup berterusan apabila tamat tempoh perkhidmatan pada usia tua kelak.

“Gaji pokok yang terlalu rendah menjadi antara faktor utama mereka menghadapi masalah seperti menanggung beban hutang ceti atau along berikutan kesempitan hidup.
“Kualiti kehidupan sebahagian mereka juga merosot kerana terpaksa melakukan dua kerja pada waktu siang dan malam untuk menambah pendapatan.

“Malah, ada di kalangan mereka mengalami kemalangan akibat keletihan.

“Selain itu, ada pekerja terpaksa memikul beban berat dengan bekerja untuk tempoh panjang dalam sehari kerana mahu mendapat bayaran kerja lebih masa.

“Bukan itu saja, ada pekerja yang memperoleh gaji pokok pada kadar statik untuk tempoh agak lama, malah terpaksa berdiam diri dalam derita kerana di sesetengah tempat kerja, tiada kesatuan yang dapat bersuara bagi pihak mereka,” katanya semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta majikan menimbangkan tawaran gaji yang lebih menarik untuk pekerja tempatan kerana kerajaan banyak menerima aduan gaji ditawarkan tidak memadai bagi menarik minat mereka bekerja.

Ia berikutan ada majikan yang menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan kemahiran seorang pekerja itu selain boleh memperbaiki kehidupan pekerja tempatan.

Mengulas lanjut, Syed Shahir berkata, tanpa penguatkuasaan undang-undang atau peraturan secara khusus, tidak mustahil majikan bersikap sambil lewa terhadap saranan pemimpin negara dengan mengemukakan pelbagai alasan untuk mengelakkan tanggungjawab berkenaan.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan membuktikan ketegasan dengan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dan elaun kos sara hidup (Cola) RM300,” katanya.

keat sin (U6A)

Posts : 121
Join date : 2009-10-07

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum