PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Ulat bulu masuk rumah

Go down

Ulat bulu masuk rumah Empty Ulat bulu masuk rumah

Post  yeow_U6A/2010 Tue Feb 16, 2010 2:39 am

Penduduk kuarters bimbang kehadiran serangga perosak

JOHOR BAHRU: Penduduk di Blok H Kuarters Institusi Pendidikan Sri Larkin, di sini, dihimpit kebimbangan dengan kehadiran ulat bulu yang semakin menjadi-jadi di kawasan tempat tinggal mereka walaupun pelbagai cara sudah dilakukan bagi menghapuskan makhluk perosak itu.

Penduduk merasakan masalah 'ulat bulu naik ke rumah' ini dilihat akan serius jika tidak ditangani segera oleh pihak yang berkenaan kerana dibimbangi akan mengakibatkan simptom dan membawa kepada penyakit kulit.

Mereka mendakwa, sebilangan besar ulat bulu berkenaan tidak dapat dikesan habitatnya tetapi dipercayai kehadiran serangga berkenaan berpunca daripada belukar dan beberapa batang pokok berhampiran yang menjadi sarang mereka.

Sehubungan itu, penduduk meminta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan yang sepatutnya supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan segera tanpa memberi kesan terhadap tahap kesihatan mereka.

Penduduk, Samsul Fathri Ismail, 33, berkata masalah ulat bulu yang dihadapi itu adalah kali pertama berlaku sepanjang dua tahun beliau tinggal di kawasan flet lima tingkat berkenaan sekali gus mengundang rasa takut dan bimbang kepadanya dan keluarga.

Katanya, jika dulu beliau dan keluarga boleh menikmati kehidupan yang tenang namun kini berubah sejak kehadiran ulat bulu berkenaan yang didapati semakin banyak dari hari ke hari terutama apabila cuaca bertukar menjadi redup atau sejuk.

"Kehidupan kami sekeluarga kini tidak lagi setenang dulu apabila banyak masa dihabiskan untuk memusnahkan makhluk itu dengan pelbagai cara, termasuk membakar belukar atau pokok serta menyembur racun serangga jika menemui ulat bulu.

"Ia seakan-akan tidak memberi apa-apa kesan apabila setiap hari ada saja serangga terbabit muncul dari tempat yang tidak diketahui walaupun baru dua atau tiga jam kami bertindak memusnahkannya," katanya ketika ditemui di sini.

Kuarters berkenaan antara lain menghimpunkan lebih tujuh blok, dengan blok H yang mempunyai kira-kira 100 penduduk itu didapati menjadi 'markas' kepada ulat bulu berkenaan untuk bersarang seterusnya menimbulkan rasa bimbang dan takut kepada mereka.

Samsul Fathri berkata, masalah ulat bulu ini harus ditangani seberapa segera kerana ada di kalangan ahli keluarganya diserang bintik seakan ruam yang mengakibatkan kulit menjadi gatal sejak ulat bulu berkenaan mula muncul kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, ulat bulu sudah merayap sehingga ke tingkat lima di blok berkenaan dan ada yang sudah mula memasuki rumah penduduk sehingga mengakibatkan penduduk semakin cemas.

"Apa yang merisaukan lebih terarah kepada tahap keselamatan dan kesihatan kanak-kanak kerana mereka bersikap lebih ingin mencuba bermain dengan serangga berkenaan tanpa mengetahui ulat bulu boleh menyebabkan kulit gatal,” katanya.

Kanak-kanak, Nur Farah Natasha Muhd Ali, 11, berkata masalah ulat bulu berkenaan agak membimbangkan kerana ada di kalangan rakan-rakannya yang cuba bermain dengan serangga terbabit tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

“Ramai kawan saya tidak menyedari bahawa ulat bulu ini boleh membahayakan, mereka seolah-olah tidak faham mengenainya... tiupan angin boleh mengakibatkan bulu serangga terbabit berterbangan sehingga ke dalam rumah," katanya.

yeow_U6A/2010

Posts : 87
Join date : 2009-06-27

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum