PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Konsep 1 Malaysia

2 posters

Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Konsep 1 Malaysia

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Fri Sep 25, 2009 7:43 pm

Konsep 1 Malaysia ( Penjelasan Mengenai Lapan Nilai)

1. Pengenalan
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 32

Back to top Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Re: Konsep 1 Malaysia

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Fri Sep 25, 2009 7:50 pm

2. Definisi
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

3. Perbazaan antara konsep 1 Malaysia dengan Konsep Malaysian Malaysia
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


4. Kedudukan konsep 1 Malaysia
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


5. Hubungan konsep 1 Malaysia dengan dasar-dasar kerajaan terdahulu
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


6. Matlamat
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.


‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 32

Back to top Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Re: Konsep 1 Malaysia

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Fri Sep 25, 2009 7:51 pm

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.



7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.


7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 32

Back to top Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Re: Konsep 1 Malaysia

Post  ZiAmUn(U6A/'10) Fri Sep 25, 2009 7:52 pm

8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

ZiAmUn(U6A/'10)

Posts : 114
Join date : 2009-05-14
Age : 32

Back to top Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Re: Konsep 1 Malaysia

Post  CikguPA Sun Oct 11, 2009 5:59 am

Gagasan 1Malaysia teras konsep ekonomi baru
IPOH 10 Okt. - Gagasan 1Malaysia akan menjadi teras kepada konsep ekonomi baru untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Menurutnya, konsep tersebut diwujudkan bukan hanya untuk menyatukan masyarakat tetapi mengembangkan pengaruh ekonomi negara ke peringkat global.

''Orang Arab tidak ada kemampuan (bahasa dan budaya) untuk pergi ke China, India dan Indonesia. Jadi, mereka bekerjasama dengan syarikat dari Malaysia kerana kita mempunyai rakyat yang berasal dari negara-negara tersebut.

''Kepelbagaian kaum yang ada di negara ini boleh menjadi aset berharga Malaysia untuk memperluaskan pengaruh ekonomi negara di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia," katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Tambun hari ini.

Ahmad Husni berkata, negara-negara lain mengakui kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian kaum yang tiada pada mereka.

''Semasa Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Turki baru-baru ini, menteri-menteri kewangan negara lain memberitahu saya kekuatan negara kita terletak pada kepelbagaian kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang tidak ada di negara-negara mereka.

''Pengalaman hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini juga memudahkan syarikat-syarikat negara seperti Petronas dan Telekom menyesuaikan diri apabila melabur ke luar negara," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu meningkatkan kualiti kemahiran serta ilmu rakyatnya dan tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama oleh kerajaan serta ibu bapa.

''Kita tidak seharusnya menjual produk kita ke luar negara kerana ia murah tetapi kerana ia berkualiti tinggi pada kos yang rendah," katanya.

Menurutnya, kerajaan yakin dapat mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi sebelum 2020 dengan pelbagai rancangan yang sedang dilakukan termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
CikguPA
CikguPA

Posts : 354
Join date : 2008-11-26
Age : 55
Location : bbb

http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Konsep 1 Malaysia Empty Re: Konsep 1 Malaysia

Post  Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum