Pembangunan Lestari

Page 1 of 2 1, 2  Next

View previous topic View next topic Go down

Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Wed Aug 05, 2009 5:28 pm

Bincangkan Topik Pembangunan Lestari dalam usaha mengatasi/mencegah masalah alam sekitar.

Konsep Pembangunan Lestari.

Akta-akta yang berkaitan.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sat Aug 08, 2009 11:16 am

Pembangunan Lestari

- Adunan pembangunan atau kemajuan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada musnah.

-Pemuliharaan bermaksus membaik pulih sumber-sumber alam sekitar seperti air, hutan, tenaga, udara, mineral dan lain-lain yang telah digunakan tanpa membiarkan sumber-sumber itu pupus.

-Pemeliharaan pula meliputi aspek penjagaan dan perlindungan untuk mengekalkan sumber-sumber semula jadi daripada diteroka dengan rakus oleh manusia.

-Idea pembangunan lestari dibentuk berasaskan konsep dan prinsip pembangunan berterusan. Bermatlamat untuk memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sat Aug 08, 2009 1:23 pm

Akta-akta berkaitan

1. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974
-pencemaran udara (seksyen 20)
-pencemaran bunyi bising (seksyen 23)
-pencemaran tanah (seksyen 24)
-pencemaran perairan daratan (seksyen 25)
-Pencemaran minyak (seksyen 29)

2. Akta Perhutanan Negara 1984 - seksyen 82 (1) melarang sesiapa melakukan pembakaran dalam hutan simpan.

3. Akta Kerajaan Tempatan 1976- seksyen 81 menyatakan tindakan boleh diambil ke atas kilang yang mengeluarkan asap dan menganggu kesihatan serta alam sekitar.

4. Akta Taman Negara 1980- menghalang aktiviti yang menjejaskan ekosistem hutan

5. Akta Perikanan 1985

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sun Aug 16, 2009 2:55 am

Panilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

1. EIA adalah satu proses pencegahan daripada berlakunya kemerosotan kualiti alam sekitar. Penilaian ini bertujuan mengelakkan berlakunya kerugian besar khususnya terhadap alam sekitar akibat kesilapan perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan.

2. EIA satu pendekatan yang meyeluruh/holistik ke arah pengurusan alam sekitar yang melibatkan kawalan dan perancangan sumber jaya agar wujud keseimbangan antara kepentingan projek pembangunan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang berkualiti.

3. Oleh itu, sesuatu projek pembangunan khususnya projek mega yang hendak dijalankan, maka pemaju mestilah menyediakan laporan EIA yang lengkap untuk diteliti dan diluluskan oleh pihak berkuasa (Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar). Pihak berkuasa boleh menangguh atau membatalkan sesuatu projek jika tidak menepati kehendak dan syarat yang ditetapkan dalam EIA.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sat Aug 29, 2009 5:08 pm

Contoh projek yang perlukan kelulusan EIA

Contoh Aktiviti Kriteria pembangunan yang perlukan laporan

1. Pertanian
i. Skim kemajuan tanah yang melebihi 500 hektar
ii. Program pertanian yang perlukan penempatan semula > 100 keluarga
iii. Pembangunan estet pertanian

2. Lapangan terbang
i. Lapangan terbang yang mempunyai landasan 2, 500 meter atau lebih
ii. Pembinaan lapangan terbang dalam taman negara

3. Saliran dan pengairan
i. Pembinaan empangan dan tasik buatan manusia seluas 200 hektar
ii. Saliran kawasan paya, hutan dara meliputi kawasan seluas 200 hektar
iii. Skim pengairan meliputi 5 000 hektar atau lebih

4. Tebus guna tanah
i. Penebusgunaan kawasan pantai meliputi kawasan seluas 50 hektar

5. Perikanan
i. Pembinaan pelabuhan perikanan
ii. Peluasan kawasan pelabuhan melibatkan 50 peratus atau lebih
iii. Projek akuakultur meliputi kawasan 50 hektar atau lebih

6. Perhutanan
i. Pengubahan hutan bukit meliputi 50 hektar atau lebih
ii. Pembalakan mengubah kawasan tadahan kepada kegunaan lain
iii. Pembalakan melebihi 500 hektar atau lebih

7. Perumahan
i. Pemajuan kawasan perumahan meliputi kawasan seluas 50 hektar

8. Industri
i. Kimia – keluaran melebihi 100 tan metrik/hari
ii. Petrokimia – semua saiz

9. Infrastruktur
i. Pembinaan lebuhraya, pembinaan bandar baru, pembinaan hospital

10. Pelabuhan
i. Pembinaan pelabuhan

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Fri Sep 04, 2009 2:18 pm

Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semulajadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi seorang rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar. Dengan kata lain,
kita perlu menjadi seorang rakyat yang proaktif. Walau bagaimanapun, untuk mencapai hidup yang lebih lestari pada hari ini bukan saja melibatkan komponen alam sekitar tetapi juga komponen politik dan ekonomi. Kebanyakan masalah dunia pada masa kini adalah akibat dari kemiskinan, penduduk yang terlalu ramai, penyakit dan konflik yang mempunyai kepentingan persekitaran.


Lebih dari satu billion manusia di muka bumi pada hari ini hidup dalam kemiskinan dan mempunyai harapan yang tipis untuk menghadapi hari akan datang. Berjuta-juta manusia di bandar besar hidup tersisih di kawasan yang sesak, persekitaran yang tidak bersih, tanpa air minum dan sistem pelupusan sisa pepejal yang tidak selamat. Sementara di luar bandar pula, ada orang-orang kampung di negaranegara sedang membangun yang kehidupan mereka terkacau ganggu akibat dari konfl ik bersenjata yang bertujuan untuk mengawal sumber berharga seperti minyak, berlian dan balak. Konflik di negara sedang membangun mengenai sumber asli melimpah ruah membawa kepada kerosakan alam sekitar yang sangat ketara. Keuntungan yang didapati hasil daripada aktiviti eksploitasi hasil bumi ini kadangkadang dinikmati hanya oleh segolongan penduduk elit dan ini membebankan kebanyakan penduduk dengan masalah sosial dan penurunan kualiti alam sekitar.


Persidangan Bumi mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan di Rio pada 1992 mempunyai objektif untuk menangani masalah global alam sekitar di kedua-dua negara sudah membangun dan sedang membangun dengan memberi penekanan kepada penyelesaian konfl ik di antara isu ekonomi dan isu alam sekitar. Pada masa kini, kebanyakan negara mempunyai jurang sangat besar di antara penduduk miskin dan penduduk kaya jika dibandingkan dengan dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu. Akibat dari itu keselamatan politik, sosial dan ekonomi terancam sementara kerosakan alam sekitar disebabkan oleh penduduk yang berlebiha mengeksploitasi hasil semulajadi bertambah.

Persidangan Kemuncak Bumi mengenai pembangunan lestari pada musim panas 2002 di Johannesburg, AfrikaSelatan memberi satu pandangan yang optimistik terhadap penyelesaian masalah yang disebutkan di atas. Persidangan itu mempunyai objektif untuk terus berusaha ke arah keadilan sosial dan persekitaran untuk semua golongan manusia di dunia. Semua orang di dunia berhak menikmati pembanguan lestari tanpa mengira mereka lelaki atau perempuan, tua atau muda, miskin atau kaya, berada di Timur ataudi Barat dan di Utara atau Selatan. Persidangan itu juga bertujuan memperteguhkan usaha-usaha pembangunan secara lestari dengan meminimumkan pemusnahan atau penurunan kualiti alam sekitar secara tempatan, wilayah atau global akibat daripada penduduk yang berlebihan, pembasmian hutan, perlombongan, pertanian serta pencemaran tanah, air dan udara. Tujuan lain persidangan ini adalah untuk membangun dan menyokong persetujuan-persetujuan antarabangsa untuk mengawal pemanasan global dan bahan cemar.

Selepas melihat isu dan masalah yang dihadapi serta memahami usaha-usaha yang dijalankan untuk mencapai pembangunan lestari di peringkat dunia, apakah yang boleh anda lakukan sebagai seorang pelajar dan pemimpin masa hadapan? Sanggupkah anda melihat alam sekitar terus diterokai tanpa batasan dan sempadan? Tahukah anda jika alam sekitar musnah kita turut akan musnah bersama-samanya. Oleh itu kita mesti belajar dan mengamalkan cara hidup lestari. Bertindaklah secara lokal dan berfikir secara global. Paling kurang yang boleh kita lakukan untuk hidup lebih lestari adalah dengan lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semulajadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi seorang rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.


Sumber ERA Hijau 1, 2009.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Tue Sep 08, 2009 9:54 am

Konsep geopark peraga pembangunan lestari di China
Oleh Dr Ibrahim Komoo

Malaysia wajar pelajari pengalaman negara Tembok Besar dalam usaha pemuliharaan warisan tabii, tingkat sektor pelancongan

BARU-BARU ini saya menjalankan misi penilaian semula dua geopark global di China. Geopark pertama ialah Hexingten geopark, terletak di barat Inner Mongolia dan kedua, Yandangshan geopark di wilayah Zhejiang. Misi ini dianjurkan oleh Biro Unesco Global Geoparks Network untuk menilai kemajuan dicapai selama empat tahun selepas geopark ini diisytiharkan sebagai geopark global.

Hexingten geopark terletak di daerah pedalaman yang dicirikan oleh kawasan padang rumput dan pergunungan. Perjalanan dengan kenderaan mengambil masa hampir tiga jam dari lapangan terbang terdekat, iaitu bandar Chifeng.
Penduduk di sini adalah golongan masyarakat Mongolia yang masih mengamalkan kehidupan berpindah-randah. Pada musim sejuk, mereka tinggal di pekan kecil yang mempunyai kemudahan asas, terutama sistem pemanas rumah. Pada musim panas pula mereka mendirikan khemah di kawasan padang rumput untuk mengembala ternakan seperti kambing dan lembu.

Keistimewaan Hexingten sebagai geopark terletak pada keindahan alam semula jadinya - padang rumput yang terbentang luas, puncak bukit dan gunung yang mempamerkan penara batuan luar biasa bentuknya serta tinggi nilai saintifiknya, kehadiran tasik besar terbentuk oleh proses letupan gunung berapi dan penurunan muka bumi, serta kepelbagaian fauna dan floranya.

Yandangshan geopark pula terletak di daerah luar bandar iaitu dua jam perjalanan dari bandar terdekat, Wenzhou. Geopark ini terkenal dengan landskap geologi luar biasa, pergunungan yang terbentuk daripada batuan gunung berapi membentuk pelbagai rupa penara batuan yang berketinggian mencapai 300 meter.

Sebahagian daripada pergunungan ini sudah di kuari sejak lebih 1,000 tahun lampau meninggalkan gua buatan manusia yang luas lagi menakjubkan. Bagi masyarakat tempatan dan pengunjung ke sini, bentuk penara yang boleh dikaitkan dengan pelbagai rupa bentuk seperti imej manusia dan haiwan adalah cerita paling menarik yang terserlah daripada geopark ini.

Hexingten dan Yandangshan geopark adalah dua daripada 22 geopark yang diisytiharkan Unesco sebagai geopark global di China. Pada masa ini, di rantau Asia Pasifik, hanya ada enam geopark global berada di luar China, iaitu tiga di Jepun dan masing-masing satu di Iran, Malaysia dan Australia.

Negara China juga mempunyai 138 geopark bertaraf kebangsaan dan semuanya sedang menunggu giliran untuk diangkat menjadi geopark global. Bagaimanapun, Unesco hanya membenarkan dua geopark dari sesebuah negara diterima sebagai geopark global dalam setahun. Mengapa negara China sangat ghairah untuk mewujudkan geopark?

China mempunyai visi untuk membangunkan kawasan luar bandar secara lestari. Pada 2000, apabila Unesco memperkenalkan konsep geopark yang memberikan penekanan kepada pembangunan wilayah yang cuba mengimbangi keperluan pemuliharaan sumber warisan, pembangunan pelancongan dan meningkatkan peluang ekonomi komuniti tempatan, China dapat melihat bahawa konsep ini sangat sesuai untuk pembangunan wilayah pedalaman dengan kebanyakan penduduknya masih berada di bawah tahap kemiskinan.

Sejak 2002, China mempunyai program pada peringkat kebangsaan untuk membangunkan wilayah pedalaman yang memiliki warisan geologi istimewa sebagai geopark. Ketika membuat penilaian semula terhadap geopark Hexingten dan Yandangshan, saya dapat berasakan wujud tiga ramuan penting membolehkan program geopark di negara itu memperoleh kejayaan cemerlang dan kini dilihat sebagai peneraju pembangunan geopark pada peringkat global.

Pertama, kerajaan pada peringkat kebangsaan, iaitu Kementerian Sumber Mineral dan Tanah sudah memberi perhatian serius untuk pembangunan geopark. Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana yang besar untuk pembangunan infrastruktur penting seperti lebuh raya, muzium geopark dan infrastruktur asas untuk pelancong melawat dan menikmati keindahan tapak istimewa di dalam sesebuah geopark.

Di tempat yang agak terpencil, sebuah bandar baru dibina di pinggir geopark untuk menampung keperluan pelancong dan aktiviti ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Kedua, pemerintah tempatan, terutama datuk bandar dan pegawai kanannya mempunyai komitmen yang sangat tinggi untuk membangun geopark. Mereka memberi tumpuan istimewa untuk memastikan projek geopark mereka dikenali pada peringkat kebangsaan dan jika boleh pada peringkat global.

Perbualan dengan beberapa pegawai kanan tempatan menunjukkan mereka sangat berbangga dengan pencapaian mereka membangunkan geopark dan percaya konsep geopark dapat meningkatkan kekayaan wilayah terbabit.

Ketiga, kebanyakan penduduk setempat mempunyai pengetahuan dan kesedaran mengenai bahawa pentingnya warisan tabii dan budaya yang ada di daerah mereka. Mereka menghargai dan sanggup mengekalkan warisan ini seolah-olah ia menjadi kepunyaan bersama yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.

Mereka juga percaya sumber warisan dapat membawa tuah dan keuntungan kepada komuniti mereka. Oleh itu, apabila konsep pemuliharaan dan pelancongan lestari diperkenalkan, mereka bersedia menerimanya dan sanggup melaksanakan dengan sebaik mungkin.

Di China, pembangunan wilayah berasaskan konsep geopark seolah-olah sudah lama dinantikan. Apabila Kerajaan China memperkenalkan kepada pemerintah tempatan, ia terus mendapat sambutan luar dugaan. Kerajaan dan penduduk tempatan sudah bersedia menerimanya dan mampu menggerakkan ke hadapan dengan pantas.

Demam geopark dapat dirasakan di seluruh pelosok desa dan pekan yang berada di dalam kawasan geopark. Komuniti setempat mampu menjalankan kegiatan ekonomi dan meningkatkan sumber pendapatan berasaskan idea geopark. Pelancong pula datang beramai-ramai untuk berkunjung dan mengenali keistimewaan geopark.

Geopark adalah peraga pembangunan lestari wilayah, khususnya di daerah pedalaman yang sukar dimajukan. Komponen pemuliharaan warisan tabii dan budaya membolehkan masyarakat setempat dan pelancong menghormati serta mengekalkan khazanah bangsa. Peningkatan pelancong membolehkan sumber warisan tempatan digunakan secara tanpa musnah.

Pada masa sama, komuniti setempat dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka menerusi peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan ketika membangun geopark dan pelbagai aktiviti yang kreatif untuk mengambil manfaat daripada kedatangan pelancong ke geopark mereka.

Malaysia boleh belajar daripada pengalaman ini - negara yang mempunyai visi jelas perlu disusuli komitmen tinggi oleh agensi persekutuan, keupayaan untuk melaksanakan dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan dan kesediaan untuk diterima dengan hati terbuka oleh komuniti setempat.

Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM, yang juga Ahli Biro dan Kumpulan Pakar, Jaringan Geopark Global Unesco.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Fri Sep 11, 2009 11:20 am

Kejiranan Lestari dilanjutkan

Oleh HASHNAN ABDULLAH
dan HELMI MOHD. FOAD
Pengarang@utusan.com.my

PUTRJAYA 10 Sept. – Program kejiranan lestari yang dikenal pasti telah memberi impak berkesan terhadap pembangunan sosial di kawasan berisiko tinggi akan dilanjutkan ke fasa kedua sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

Fasa tersebut memberi tumpuan kepada lima teras mencakupi pembangunan infrastruktur fizikal, pembangunan insan, kesejahteraan sosial, membasmi kemiskinan dan membasmi jenayah serta penyalahgunaan dadah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa kedua program kejiranan lestari itu menelan belanja RM4.3 juta.

“Laporan yang diterima hari ini menunjukkan perkembangan sangat baik di semua kawasan yang melaksanakan projek perintis Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tahun lepas.

“Contohnya di Johor Bahru, ada beberapa buah kampung dijadikan kawasan tumpuan dan hari ini kita dapat laporan mengenai usaha-usaha yang dilakukan di sana sejak tahun lepas dan kesannya amat baik sekali.

“Jadi kita telah setuju supaya projek ini diteruskan kepada fasa kedua sebelum kita guna pakai untuk seluruh negara terutama di kawasan yang kita kenal pasti kawasan berisiko di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara kali pertama tahun ini di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Projek Program Kejiranan Lestari fasa pertama dilaksanakan di lima buah kampung di Johor Bahru iaitu Kampung Skudai Kiri, Taman Tampoi Indah, Kampung Datuk Sulaiman Menteri (Majidee), Kampung Pandan dan Taman Puteri Wangsa (Ulu Tiram).

Muhyiddin memberitahu, fasa pertama projek itu melibatkan kos sebanyak RM5.6 juta.

Sehubungan itu, beliau menambah, pihaknya akan mencari jalan yang mungkin ada perkara-perkara yang boleh mengurangkan kos tetapi dapat meningkatkan lagi keberkesanannya.

“Walaupun ia berkesan tetapi kosnya kepada kerajaan juga besar dan kita akan cari cara lain untuk menambah keberkesanan dan kita lihat dalam setahun dua ini.

“Dalam masa yang sama, kita akan meminta pemimpin dan masyarakat setempat supaya berperanan bersama-sama,” katanya.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Fri Sep 11, 2009 1:42 pm

Kelestarian, inovasi atasi krisis ekonomi
Oleh Dr Zaini Ujang

KENAPA pelestarian menjadi kunci inovasi? Demikian persoalan pokok dibahaskan dalam majalah terkini Harvard Business Review (HBR) edisi September 2009. Persoalan itu dikemukakan dalam konteks ekonomi dunia belum pulih daripada krisis yang bermula dengan kemelut kewangan di Amerika Syarikat. Hujah penulis ialah pelestarian (sustainability) menjadi keperluan sejagat bukan saja untuk memastikan alam sekitar terpulihara, bahkan membolehkan pertumbuhan ekonomi lebih stabil dan sesuai dengan keperluan asasi manusia.

Sebelum ini, pihak industri dan ahli ekonomi berpendirian bahawa kerangka dan dasar pelestarian akan meningkatkan kos. Itulah sebabnya keprihatinan dan komitmen dijustifikasi untuk memenuhi keperluan perundangan supaya tidak mencemarkan alam sekitar, atau sekadar bentuk komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata. Dengan kata lain, faktor pelestarian bersifat pinggiran dan bukan struktural.

Namun, krisis ekonomi dunia ketika ini mengubah persepsi industri dan penggubal ekonomi terhadap makna dan kepentingan pelestarian. Hal ini menyerlah dengan menyedari kemelut kewangan di Amerika Syarikat berpunca, antaranya sifat tamak mementingkan keuntungan kewangan jangka pendek, tidak bersifat lestari yang hanya menguntungkan kelompok tertentu tanpa mengambil kira kepentingan orang ramai, apatah lagi alam sekitar dan sejagat.

Selain itu, minda lestari semakin berkembang di kalangan komuniti profesional termasuk pusat pengajian ternama, seperti Harvard, MIT dan Oxford. Banyak inisiatif pelestarian dimulakan untuk menilai semula asas dan kerangka kerja dasar sedia ada.

Baru-baru ini Universiti Harvard misalnya melantik John Briscoe, sebagai Profesor dalam Amalan Kejuruteraan Alam Sekitar di Sekolah Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan untuk memulakan Harvard Water Security Initiative (HWSI). Profesor Briscoe ialah bekas penasihat kanan Bank Dunia dan penulis buku 'Water Sector Strategy' dijangka berperanan menyediakan asas pemikiran dan strategi membolehkan sektor air dimajukan secara lestari.

Menurut Adi Ignatius, Editor HBR, corak sama setiap kali berlaku krisis ekonomi: pertumbuhan ekonomi perlahan, pengangguran meningkat dan kerajaan akan mengubah kadar faedah serta menyediakan pakej rangsangan untuk memacu ekonomi. Tetapi setiap kemelut ekonomi ada kejutan. Dan kejutan kali ini ialah inisiatif pelestarian atau ekonomi hijau.

Syarikat peruncitan terbesar Wal-Mart mengumumkan sistem penarafan pelestarian untuk memastikan sebuah produk jualannya bersifat mesra alam pada Julai lalu. Saingannya seperti Tesco dan Target dijangka akan memulakan inisiatif sama. Sementara kerajaan China mengumumkan bajet 210 bilion yuan untuk pakej rangsangan dalam pembangunan lestari.

Hakikatnya, krisis ekonomi kali ini menyediakan peluang strategik untuk menjadikan pelestarian sebagai teras pertumbuhan ekonomi menerusi nilai tinggi dijana kreativiti dan inovasi. Selain sektor pertanian dan pembuatan, inisatif pelestarian juga semakin menyerlah dalam pembangunan teknologi dan pembinaan. Di Malaysia, 'indeks bangunan hijau' baru saja dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Julai lalu.

Ketika ini label 'hijau' di negara maju seolah-olah sama konotasinya dengan 'halal' bagi orang Islam. Itu sebabnya sektor yang selama ini tidak begitu sinonim dengan pelestarian juga sudah berubah seperti teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Inisiatif pelestarian dalam perkakasan komputer berkembang pesat, termasuk penyelidikan dan pembangunan untuk membolehkan komponen komputer tidak mencemar alam sekitar, boleh diguna semula dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

Kunci kejayaan dalam merangka dasar ekonomi lestari tidak hanya bersifat pulangan yang boleh dilihat menerusi data dan laporan statistik ekonomi. Hemat saya, ia terletak kepada keupayaan membentuk budaya, nilai dan masyarakat mesra alam. Petunjuk kejayaan tidak hanya pada kejayaan penguatkuasaan undang-undang. Petunjuk itu juga perlu dilihat dari segi keupayaan menyediakan iklim sesuai bagi mengalakkan kreativiti dan inovasi yang memberi impak kepada sistem ekonomi dan komitmen komuniti korporat.

Sejak 1970-an, paradigma pengurusan alam sekitar menjurus kepada penguatkuasaan undang-undang alam sekitar. Namun demikian, tindakan itu tidak mungkin berjaya tanpa pembudayaan dan penghayatan nilai mesra alam di kalangan seluruh lapisan masyarakat. Seandainya gagal, berlakulah fenomena 'polis dan penjenayah': Pihak berkuasa terpaksa mengawasi kegiatan pihak yang berpotensi mencemar alam sekitar. Sementara pihak satu lagi mencari peluang mencemar alam sekitar disebabkan kononnya faktor peningkatan kos dan kekurangan kepakaran.

Menyedari kelemahan paradigma yang terlalu sarat perundangan itu, maka satu kerangka baru dikemukakan dengan menyediakan peluang perniagaan 'mesra alam' pada dekad 1990-an. Dan kini, pelestarian dan mesra alam menjadi survival, bukan lagi pilihan untuk memacu ekonomi.

Bagi sektor korporat, survival untuk memastikan perkhidmatan dan produk mesra alam tidak menambah parah impak alam sekitar menerusi peningkatan suhu bumi. Bagi kerajaan, survival untuk membolehkan pembangunan lestari mengambil kira seluruh aspek dan lapisan masyarakat, termasuk sumber asli dan tenaga. Dan bagi individu, pelestarian adalah survival kerana itulah fitrah insaniah.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang sedang berkursus di Harvard Business School, Amerika Syarikat

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Pembangunan Lestari

Post  Wendy xuan on Sat Oct 31, 2009 4:05 pm

Hi cikgu Pa...tumpang tanya idea cikgu.. Very Happy
Pembangunan lestari memerlukan usaha-u saha yang berterusan dalam menjamin pemeliharaan & pemuliharaan alam sekitar. Bincangkan.

Wendy xuan

Posts: 5
Join date: 2009-10-31

View user profile

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sat Oct 31, 2009 5:47 pm

Salam 1 Malaysia Wendy,

Memang benar Pembangunan Lestari menekankan konsep usaha berterusan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Kita tidak dapat menggelak dari menjalankan pembangunan untuk memenuhi permintaan penduduk. Justeru itu konsep pembangunan lestari di tekankan. (Lihat konsep di posting awal).

Saya contohnya beberapa usaha berterusan,

Pertamanya kita lihat dari aspek Perundangan;

1. Kerajaan telah mengubal akta-akta tertentu untuk melindungi alam sekitar seperti Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sebagainya.

2. Laporan EIA (Enviroment Impact Assesment) diperlukan bagi projek-projek mega, di mana pemaju perlu mengemukakan laporan EIA projeknya kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk diluluskan terlebih dahulu.

3. Langkah pemantauan oleh pihak JAS perlu lebih kerap dan teliti ke atas projek pembangunan yang mendatangkan kesan ke atas alam sekitar seperti pertanian di kawasan tanah tinggi.

Keduanya, aspek pengurusan strategik;

1. Sektor pertanian contohnya, menukar konsep tebang bakar kepada tebang reput atau menggunakan sisa-sisa pertanian untuk menjana tenaga biomass atau menghasilkan makanan haiwan melalui kaedah bioteknologi. Menukar penggunaan baja kimia kepada baja organik atau racun serangga kepada kaedah kawalan biologi.

2. Sektor pembalakan - mengiatkan proses tanam semula menggunakan baka yang cepat matang seperti Yamane, Batai dan Akasia.

-Mengamalkan proses tebangan memilih - pokok matang atau cukup saiz sahaja ditebang.

3. Sektor pengangkutan - gunakan sistem pengangkutan yang digerakkan oleh tenaga elektrik.

4. Sektor tenaga - tukar kepada tenaga alternatif seperti tenaga hidro, biomass, ombak angin, suria dll.

Ketiga, aspek pendidikan:

1. Secara formal di sekolah menerusi subjek khusus seperti Geografi, Moral, Sivik dll.

2. Secara tak formal melalui media massa, kempen , forum, gotong royong dll.


TQ harap dapat membantu anda.


Last edited by CikguPA on Sat Nov 07, 2009 8:11 am; edited 2 times in total (Reason for editing : salah ejaan)

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  Wendy xuan on Sat Nov 07, 2009 4:27 am

Terima kasih cikgu....byk membantu saya...Tq..... Smile

Wendy xuan

Posts: 5
Join date: 2009-10-31

View user profile

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Sat Jan 02, 2010 5:07 am

Pembangunan konsep geopark mampu wujud pelancongan lestari
Dr Ibrahim Komoo

DALAM dua bulan terakhir ini saya diundang melawat tiga geopark di rantau Asia Pasifik. Geopark pertama ialah Kanawinka Global Geopark, Australia, iaitu geopark global yang pertama di Australia, terletak sekitar 150 kilometer ke barat Melbourne. Geopark kedua ialah Hong Kong geopark yang baru saja diisytiharkan sebagai geopark kebangsaan ke-143 di China.

Ketiga ialah Jeju Geopark, Korea. Jeju menjadi geopark kebangsaan pertama di Korea dan dalam persediaan untuk memohon menjadi ahli Unesco Global Geoparks Network (GGN). Di Kanawinka Global Geopark, saya dijemput melihat pembangunan yang dilaksanakan sejak ia diisytiharkan sebagai global geopark pada 2008.

Pengarahnya, Joane McKnight ingin mendapatkan pandangan saya sebagai ahli biro, Unesco GGN, apakah beberapa pendekatan pembangunannya, terutama mengenai pengurusan dan pembangunan pelancongan bersesuaian dengan aspirasi pewujudan geopark?



Saya kagum dengan pencapaian mereka. Walaupun berdepan pelbagai had, terutama sokongan kewangan dan pentadbiran kerajaan yang terbatas, sekumpulan ‘sukarelawan’ berjaya mewujudkan geopark kebangsaan dan kemudian diangkat menjadi geopark global.

Kanawinka mempunyai kawasan luas dan di dalamnya ada lebih 20 bandar kecil dan pekan yang masing-masing berpenghuni antara 300 hingga 30,000 penduduk. Keistimewaan Kanawinka terletak pada landskap gunung berapi kuno yang bertaburan di dataran luas.

Ratusan bukit gunung berapi pada ketinggian antara 100 hingga 250 meter, dengan kawah dan tasik menjadikan landskap daerah ini unik berbanding kawasan lain di Australia. Masyarakat pribumi di situ, pernah berdepan letusan gunung berapi dan budaya mereka mempunyai banyak hubung kait dengan bencana berkenaan.

Di Kanawinka, geopark menjadi alat menjaring komuniti setiap pekan dan bandar dengan nilai warisan sama. Sebahagian besar sukarelawan ini mulai sibuk menguruskan tapak pembangunan ekopelancongan dan pendidikan untuk pelajar. Komuniti di sini mulai berasakan mereka tinggal di tempat yang sangat istimewa dan berbangga dengan geoparknya.

Di Hong Kong saya dijemput untuk sama-sama meraikan geopark kebangsaan ke-142 di China. Hong Kong Geopark menarik kerana masyarakat dunia mengenali Hong Kong sekitaran kota raya dengan bangunan pencakar langit. Walhal, sekitar 40 peratus Hong Kong terdiri dari kawasan landskap berbukit dengan hutan yang masih terpulihara.

Geopark Hong Kong terletak di bahagian timur laut dibentuk oleh landskap tabii dan dicirikan oleh persisiran pantai dan kepulauan. Pada masa lampau, ada beberapa komuniti nelayan tinggal di kawasan terbabit, kini kebanyakannya sudah meninggalkan kampung mereka dan berhijrah ke bandar.

Landskap di sini sangat indah seperti kepulauan di Langkawi. Keistimewaan yang membolehkan ia di terima sebagai geopark kebangsaan kerana kehadiran batuan gunung berapi yang membentuk tiang batuan secara meluas, mungkin lebih indah daripada tapak warisan dunia di Giant Causeway di Ireland Utara. Ribuan tiang batuan gunung berapi yang tingginya melampaui 20 meter menghiasi persisiran pantai membuatkan kawasan ini unik.

Komuniti di Hong Kong menyambut pengisytiharan geopark pertamanya secara besar-besaran. Ribuan penduduk bersama Setiausaha Kerajaan (jika di Malaysia sama status dengan Menteri Besar) melancarkan Hong Kong Geopark di suatu tapak istimewa yang mana tiang batuan gunung berapi ini terserlah dengan gagahnya.

Ramai pemimpin dari Tanah Besar China dan puluhan jemputan dari luar negara turut serta menyambut peristiwa yang bersejarah ini. Pihak berkuasa geopark sudah membuat perancangan rapi untuk membawa pelancongan, khususnya ahli perniagaan yang berurusan di kota raya Hong Kong, menggunakan bot mewah atau helikopter, melancong ke geopark menggunakan jenama pelancongan baru dikenali ‘geopelancongan’.

Di China, persaingan untuk mengangkat geopark kebangsaan menjadi Unesco Global Geopark sangat sengit. Maklum saja ada lebih 140 geopark bersaing, cuma dua saja setahun yang boleh disyorkan menjadi global geopark.

Di pulau Jeju, Korea, saya (sebagai Pengerusi, Jaringan Geopark Asia Pasifik) dijemput khas untuk membuat penilaian awal kesesuaian pulau ini sebagai global geopark. Jeju adalah pulau pelancongan terkenal di Korea, bersaiz lebih dua kali Pulau Langkawi.

Ia juga geopark kebangsaan pertama di Korea. Pulau ini terbentuk lebih dua juta tahun lampau hasil letusan gunung berapi. Sejak itu ratusan letusan gunung berapi berlaku sehingga kali terakhir yang direkodkan sekitar 10,000 tahun lalu.

Gunung Berapi Halla (tapak warisan dunia) di tengah pulau ini adalah gunung teristimewa di Korea dan menjadi ikon landskap di pulau Jeju ini. Pulau Jeju yang berpenghuni hampir 500,000 orang dan diziarahi oleh antara enam hingga tujuh juta pelancong setiap tahun ideal dibangunkan sebagai global geopark.

Pulau ini bukan saja mempunyai kepelbagaian geologi yang tinggi, malah mempunyai budaya dan tradisi masyarakat setempat (umumnya nelayan) sejak beberapa ratus tahun lalu. Kemudahan pelancongan dan sistem pengurusan serta pemuliharaan sumber warisan alam (termasuk geokepelbagaian) adalah sangat baik.

Letusan gunung berapi meninggalkan kepelbagaian geologi yang tinggi, terutama ratusan bukit dan kawah gunung berapi, terowong bawah tanah tabii, dan landskap tebing curam serta persisiran pantai berbatu yang sangat menakjubkan dan berpandangan indah.

Satu keunikan pulau ini ialah hubungan erat antara masyarakat dengan batuan gunung berapi (basalt). Dinding rumah tradisi dibina daripada batuan basalt, begitu juga pagar di sekeliling rumah dan pagar setiap kawasan pertanian. Yang paling menarik ialah di hadapan setiap rumah atau bangunan utama terserlah sepasang patung ‘datuk lelaki’ yang diukir daripada batuan basalt ini.

Patung ini dikenali sebagai ‘dolhareubang’ adalah penjaga rumah dan kampung yang mereka percayai dapat menghindar daripada semua perkara buruk menimpa keluarga mereka. Walaupun memiliki semua kemudahan dan ideal sebagai geopark global, Pulau Jeju mempunyai cabaran besar untuk merealisasikan konsep geopark.

Ketiga-tiga kawasan saya lawati mempunyai beberapa perkara sama. Semuanya memutuskan untuk membangunkan wilayah menggunakan konsep geopark. Kanawinka menjadi global geopark; Jeju masih memohon mendapat status global geopark manakala Hong Kong baru saja diterima sebagai geopark kebangsaan.

Mereka percaya, konsep geopark mampu membangunkan kawasan secara lestari dan membawa komuniti setempat mengenali dan menyintai sumber warisan asli (terutama geologi dan landskap) yang istimewa di tempat mereka.

China, Malaysia, Jepun, Korea dan Australia adalah negara di Asia Pasifik yang sedang meneroka gagasan pembangunan lestari wilayah berasaskan konsep geopark. Geopark memberikan perhatian kepada perseimbangan pemuliharaan alam sekitar (terutama warisan tabii), peningkatan sosioekonomi komuniti setempat melalui pembangunan pelancongan, dan pendidikan awam untuk menghayati khazanah alam.



Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Pengerusi, Jaringan Geopark Asia Pasifik dan Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Tue Jan 12, 2010 5:08 pm

Pengurusan Lestari Hutan Menyelamatkan Bumi

Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

01/08/2008 | Artikel Bahasa Malaysia

Dewasa ini didapati kemusnahan hutan sama ada akibat kebakaran mahupun pembangunan yang tidak terkawal telah banyak memberi kesan buruk kepada bumi dan juga hidupan yang menghuninya. Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat telah banyak ancaman yang terpaksa dilalui oleh manusia akibat pemusnahan hutan dan juga kegiatan pembakaran hutan yang berlaku secara berleluasa. Bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan, banjir dan sebagainya kerap berlaku akibat penggondolan hutan yang tidak terkawal oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab, dan lebih buruk lagi ia turut mempengaruhi cuaca dunia secara menyeluruh.

Daripada hasil kajian secara saintifik, didapati suhu udara di sekitar ekosistem hutan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan yang gondol tanpa ekosistem hutan. Ini kerana, hutan merupakan unsur utama yang mengawal suhu bumi daripada terus meningkat dan sekaligus memainkan peranan penting dalam mengawal berlakunya ‘kesan rumah hijau'.

Hutan yang mempunyai keluasan dan bentuk yang pelbagai mempunyai keupayaan dalam menurunkan suhu di sesuatu kawasan. Malah, satu kajian lepas juga telah mendapati bahawa kemampuan penyejukan bagi sebatang pokok adalah bersamaan dengan lima buah pendingin udara yang beroperasi selama 20 jam sehari. Jadi, bayangkanlah apa akan jadi kepada suhu bumi jika kawasan hutan terus diteroka tanpa adanya usaha untuk menggantikan semula hutan yang telah ditebang. Pastinya suhu bumi akan meningkat dengan mendadak dan seterusnya menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.

Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan membawa kepada pelbagai kesan buruk yang lain seperti berlakunya kejadian banjir yang tidak dijangka. Misalnya kejadian banjir yang berlaku di negeri Kedah dan Perlis pada bulan Disember 2005 yang mana telah mengakibatkan berlakunya kemusnahan kepada lebih 30,000 hektar sawah padi yang menunggu masa untuk dituai. Akibat kejadian banjir tersebut, para petani terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar. Malah, kejadian banjir seumpama itu turut juga berlaku di negeri Johor dua tahun lepas, yang mana ia turut merosakkan kediaman penduduk, harta benda, hasil tanaman dan juga pelbagai kemudahan infrastruktur di negeri terbabit.

Ekoran daripada kejadian banjir itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Alangkah ruginya kita kerana terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar hanya semata-mata untuk bencana yang berlaku akibat kerakusan tangan kita sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Jika bencana seumpama itu tidak berlaku, mungkin kita boleh gunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat kepada kita.

Bukan itu sahaja, malah penebangan hutan secara tidak mapan juga akan turut mengancam spesies hidupan liar dan juga tumbuh-tumbuhan terutamanya spesies herba yang cukup bernilai dalam industri ubat-ubatan tradisional dan kira-kira 40% ubatan moden yang berasal daripada alam semulajadi. Apa yang lebih membimbangkan lagi, jika habitat hidupan liar tidak dikekalkan, mereka akan menceroboh ke kawasan penempatan manusia dan akan memasuki ladang serta merosakkan tanaman-tanaman para petani dan juga peladang. Hakikatnya binatang-binatang liar tersebut bukan penceroboh, malah manusia yang bersifat penceroboh.

Manakala bagi hutan bakau pula, kemusnahannya akan memberi kesan langsung kepada ekosistem marin dan sosioekonomi di sesuatu kawasan yang terlibat. Ekoran daripada keadaan tersebut, ia bukan sahaja memberi kesan jangka panjang, malah ia juga amat sukar untuk dipulihkan jika tidak dihentikan dengan kadar yang segera. Selain itu, kemusnahan hutan bakau secara berterusan pula akan mengundang pelbagai risiko bencana alam yang lebih dasyat seperti ribut taufan dan sebagainya. Malah ketiadaan kawasan ekosistem hutan bakau sebagai benteng pantai akan lebih memburukkan lagi risiko-risiko bencana yang berlaku. Misalnya, salah satu punca kadar kematian yang besar telah dicatatkan semasa kejadian taufan Narjis yang melanda Myanmar baru-baru ini adalah disebabkan oleh ketiadaan hutan bakau yang boleh bertindak sebagai penampan. Ini kerana, kebanyakan hutan bakau yang terdapat di Delta Irrawady telah musnah sejak beberapa dekad yang lampau akibat eksploitasi berlebihan bagi tujuan projek kolam udang dan juga pertanian. Malah situasi yang sama turut berlaku semasa kejadian tsunami pada tahun 2004 di Acheh, Indonesia.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam memastikan pengurusan dan penggunaan sumber hutan dilaksanakan secara berhemat dan lestari demi memelihara kestabilan ekosistem serta dapat mengekalkan kepelbagaian biologi yang sedia ada. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sepatutnya sedar betapa kita telah banyak menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengatasi segala kerosakan yang telah kita lakukan, di samping mempergiatkan lagi usaha-usaha dalam memakmurkan bumi dan alam sekitar yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada kita.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1648&cmd=resetall

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: Pembangunan Lestari

Post  CikguPA on Wed Jan 13, 2010 2:19 pm

Hijrah Ke Arah Pelestarian Alam Sekitar

Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

18/12/2009 | Utusan Malaysia


Kedatangan tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada rentetan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam dan menyingkap rahsia yang tersendiri. Ia bukan sahaja membawa kepada bermulanya perkiraan Takwim Hijrah, bahkan ia juga merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Hari bersejarah ini disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa penghijrahan tersebut. Konsep sambutan kebiasaannya dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Sambutan sedemikian merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam dalam mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah S.A.W.

Intipati semangat cekal yang ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. semasa penghijrahan baginda wajar diteladani dan diaplikasikan oleh seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengemudi bahtera kehidupan ke arah yang lebih baik demi mencapai keredhaan Ilahi. Jika diimbas kembali sejarah penghijrahan Rasulullah S.A.W., pelbagai laluan sukar, risiko berbahaya dan cabaran genting yang terpaksa baginda harungi terutamanya dalam menangkis serangan musuh demi mencapai keadaan yang lebih baik. Cabaran-cabaran yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat baginda, malah ia berjaya ditangani dengan baik melalui perancangan, strategi dan tindakan bijak baginda dan para sahabat sehingga membawa kepada kejayaan penghijrahan tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja. Bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan. Dalam erti kata lain, konsep penghijrahan pada hari ini menjurus kepada hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan ke arah yang lebih baik. Konsep penghijrahan pula perlulah secara istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam meningkatkan iman kita menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan diri dengan sifat terpuji (mahmudah).

Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahuinya. Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya." (surah an-Nahl, ayat 41-42).

Jika diamati secara terperinci, konsep hijrah dewasa ini menuntut umat Islam memanfaatkan segala peluang yang ada dan meningkatkan jati diri bagi memantapkan lagi keimanan untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam era globalisasi yang serba mencabar. Ianya merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam. Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan dari masa ke semasa. Jika usaha memperbaiki diri serta kehidupan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dan dilazimkan di dalam kehidupan seharian.

Titik peralihan hijrah tidak hanya terhad kepada perubahan sikap diri sendiri dan kehidupan sahaja. Malah ia juga turut merangkumi titik perubahan terhadap persekitaran yang didiami. Misalnya, jika sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kita diancam oleh perubahan iklim global yang cukup serius sehingga membawa kepada beberapa bencana alam yang besar. Masalah ini tidak pernah lekang walaupun telah banyak usaha dan persidangan dilakukan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang sewajarnya. Malah, usaha tersebut seperti dipinggirkan dan tidak membuahkan kejayaan ekoran tidak mendapat kerjasama daripada beberapa negara termasuk negara yang tergolong sebagai ‘gergasi dunia'.

Namun demikian, persidangan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan berakhir pada hari ini diharap dapat memacu penghijrahan sikap yang besar terhadap usaha pengembelengan isu perubahan iklim yang kian meruncing dari hari ke hari. Daripada komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua negara anggota (dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara) sepanjang persidangan berlangsung, ia telah menampakkan petanda dan titik peralihan positif dalam tindak balas antarabangsa berhubung isu perubahan iklim. Mesyuarat tersebut yang beragenda untuk mencapai perjanjian baru mengenai pelepasan gas rumah hijau serta mengumpul berbilion-bilion dolar dana bagi menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin diharap mampu mencapai matlamatnya tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang hanya termateri di atas kertas dan ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja' dek kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada semua negara anggota.

Justeru, dengan kedatangan tahun baru hijrah ini diharap agar semua negara anggota terutamanya negara-negara Islam mengambil ‘roh' hijrah Rasulullah agar matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap curiga antara negara miskin dan negara kaya dalam berkongsi kos pengurangan gas rumah hijau perlu dikikis agar tidak mencabuli matlamat asal penganjuran sidang kemuncak tersebut. Sudah tiba masanya untuk setiap negara Islam menghayati pengertian konsep hijrah untuk disuai padankan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kepentingan bersama. Tidak ada ruginya negara-negara pengeluar utama membuang sikap egoistik mereka demi mencapai satu penyelesaian kepada permasalahan yang tidak pernah menemui titik noktahnya.

Dengan menginjaknya tahun baru hijrah ini, setiap negara khususnya negara Islam perlu menanam azam dan tekad yang kukuh untuk berhijrah daripada teknologi yang tidak mesra alam kepada teknologi hijau yang lebih selamat dan sihat kepada alam sekitar. Hijrah ke arah pelestarian alam ini penting bagi menghentikan rintihan derita alam yang telah lama menagih sekelumit belas ihsan dan pengertian daripada sang khalifah. Mudah-mudahan secangkir keprihatinan khalifah bumi dapat melorongkan penghijrahan yang tulus bagi memberi nafas baru kepada alam untuk terus teguh berdiri dan menyumbang bakti kepada seluruh penghuni bumi.

Tugas pelestarian alam tidak hanya terletak di bahu tampuk kepimpinan negara semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digalas oleh setiap individu. Sudah sampai masanya setiap umat Islam berhijrah dari segi sikap iaitu mengusir sikap pesimis terhadap alam dan menyuburkan sikap optimis dengan disusuli niat kerana Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. bermaksud: "...sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhanku" (surah al-Ankabut, ayat 26). Bahkan, dari segi pembangunan dan kemajuan umat, ia juga perlu selari dengan tuntutan agama dan dikembangkan secara berperingkat dan teliti demi meraih hasil yang positif. Justeru, sempena ulangtahun 1431 Hijrah, setiap umat Islam perlu menetapkan tekad dan iltizam baru sejajar dengan matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara.

CikguPA

Posts: 354
Join date: 2008-11-26
Age: 46
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Page 1 of 2 1, 2  Next

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum