Kerajaan Persekutuan prihatin kebajikan rakyat Sarawak, Saba

View previous topic View next topic Go down

Kerajaan Persekutuan prihatin kebajikan rakyat Sarawak, Saba

Post  NgKhaiLi (L6A/12) on Thu Oct 18, 2012 1:32 pm

KUCHING: Kerajaan persekutuan amat prihatin terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat khasnya yang berpendapatan rendah termasuk di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, sebanyak RM386 juta diperuntukkan untuk kedua-dua negeri berkenaan bagi program penyeragaman harga di bawah Bajet 2013 sebagai langkah menangani masalah kenaikan kos sara hidup serta kos barang keperluan asas yang jauh lebih tinggi berbanding dengan di Semenanjung.
"Sesi dialog dan perbincangan juga diadakan secara berkala dengan industri yang berkaitan untuk mendapat sokongan dan kerjasama mereka supaya tidak mengambil apa jua kesempatan untuk menaikkan harga secara keterlaluan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, program berkenaaan yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membantu masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat barangan keperluan bersubsidi pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, juga merangkumi pembukaan 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Bagi tahun lalu, beliau berkata kos yang amat besar iaitu berjumlah RM22.9 bilion diberi dalam bentuk subsidi untuk pelbagai bahan api seperti RON95, diesel, gas memasak, tepung, beras, minyak masak dan gula selain banyak inisiatif baru yang dilaksanakan untuk mengawal harga barangan keperluan utama.

Di samping itu, kerajaan sudah menguat kuasa Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal dan mencegah amalan pencatutan di kalangan peniaga yang tidak beretika untuk melindungi para pengguna, manakala sejak 2000 Skim Kawal Harga Musim Perayaan (SKHMP) dilaksanakan oleh KPDNKK untuk enam perayaan utama termasuk Pesta Keamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak, kata Koh.

Beliau berkata, dua Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) juga menghasilkan impak secara langsung dan tidak langsung untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban kos sara hidup khasnya bagi penduduk luar Bandar melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) di bawah Gagasan 1Malaysia.
Di bawah NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI) bagi tempoh 2010-2011, sebanyak 955.72km dan 736.06km jalan kampung dan luar bandar dibina di Sabah dan Sarawak, selain sebanyak 85,229 isi rumah, di Sabah (44,845) dan Sarawak (40,384) mendapat bekalan air.

Pada tempoh yang sama, sejumlah 70,440 isi rumah, di Sabah (29,358) dan Sarawak (41,082) mendapat bekalan elektrik, katanya.

Di bawah NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Isirumah Berpendapatan Rendah, Koh berkata, sebanyak 258,435 isi rumah iaitu 116,881 di Sabah dan 141,554 di Sarawak diberi bantuan di bawah Program e-Kasih manakala sebanyak 31,026 isi rumah, 15,546 di Sabah dan 15,480 di Sarawak berjaya dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui 1Azam yang merangkumi bidang pertanian, perniagaan, perkhidmatan dan penempatan kerja yang baru.

"Memperbanyakkan lagi bekalan perumahan mampu-beli juga adalah satu komitmen kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," katanya sambil menambah bahawa program perumahan awam yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan telah dilaksanakan sejak 90-an termasuk melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) serta syarikat milikan kerajaan.

Koh berkata, program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperkenalkan dengan sasaran 60,000 unit sehingga tahun 2015 manakala NKRA RBI juga berjaya membina atau membaik pulih lebih daripada 8,732 rumah di Sabah dan 14,709 rumah di Sarawak dengan sasaran 10,000 rumah lagi bagi 2012.

Di samping usaha berterusan untuk mengawal kadar inflasi yang akan menggugat kos sara hidup, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif 1Malaysia untuk mengurangkan kos sara hidup bagi masyarakat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Teksi Rakyat 1Malaysia, katanya.

Beliau berkata, bagi tahun ini seramai 4.3 juta isi rumah menerima BR1M, 5.78 juta pelajar menerima Bantuan Kembali ke Sekolah dan 1.5 juta penuntut sekolah dan institusi pengajian tinggi menerima Baucar Buku 1Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Melalui Jawatankuasa Kabinet untuk mengurangkan kos sara hidup bagi Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata satu makmal mini anjuran Pemandu sedang berlangsung dari 1 hingga 25 Oktober 2012 untuk meneliti keadaan dan merangka inisiatif baru khas bagi kedua negeri berkenaan yang dihadiri oleh wakil daripada 42 agensi kerajaan, pertubuhan pengguna dan industri.

"Inisiatif itu membuktikan kerajaan memang amat komited untuk terus membantu rakyat jelata khasnya di Sabah dan Sarawak supaya meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan taraf dan mutu hidup mereka," tambahnya.

Saya berpendapat bahawa kerajaan amat mengutamakan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak kerana memperuntukkan banyak wang ke dalam Sabah dan Sarawak untuk memastikan golongan ini dapat menyara diri dan kanak-kanak dapat meneruskan pelajaran mereka.

NgKhaiLi (L6A/12)

Posts : 8
Join date : 2012-06-21

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum