Polis temui cap jari di kereta ketua pemuda Kepong

View previous topic View next topic Go down

Polis temui cap jari di kereta ketua pemuda Kepong

Post  Lum Mei Qi (L6A/12) on Fri Sep 28, 2012 1:08 pm

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Polis menemui tiga kesan cap jari dipercayai milik suspek yang menyerang dan menikam Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali di pekarangan rumahnya di Jalan 2/4, Taman Dagang, Ampang dekat sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, ketiga-tiga kesan cap jari itu ditemui pada kereta Mercedes-Benz milik mangsa yang diletakkan kira-kira 20 meter di hadapan rumahnya.

Beliau berkata, usaha polis mengesan suspek menggunakan cap jari tersebut bagaimanapun sukar kerana kesan yang diperoleh itu tidak sempurna.

''Setelah dianalisis, ketiga-tiga cap jari itu kurang sempurna menyebabkan usaha menjejaki suspek sukar untuk dilakukan," katanya ketika ditemui semasa mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Norizan di Hospital Ampang di sini hari ini.

Norizan cedera parah selepas ditikam dua lelaki warga asing yang menyerang mangsa di pekarangan rumahnya awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku pukul 3.20 pagi ketika mangsa, 41, yang juga seorang ahli perniagaan baru pulang menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran kira-kira setengah kilometer dari rumahnya.

Sebaik sahaja ahli politik itu keluar dari kereta Mercedes-Benz yang diletakkan dalam pondok letak kereta kira-kira 20 meter dari rumahnya, Norizan diserang dua lelaki yang tidak dikenali.

Menurut Amiruddin, setakat ini, polis sudah memanggil 10 individu untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan. Antara 10 orang yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah ahli keluarga dan pekerja mangsa sendiri," katanya.

Ditanya mengenai motif kejadian, Amiruddin berkata, siasatan awal percaya suspek iaitu dua lelaki warga asing menyerang mangsa untuk menyamun namun siasatan lanjut masih dilakukan.

Lum Mei Qi (L6A/12)

Posts : 10
Join date : 2012-06-21

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum