Kualiti kemudahan pengangkutan di Malaysia

View previous topic View next topic Go down

Kualiti kemudahan pengangkutan di Malaysia

Post  Shuefern(L6A/12) on Sat Sep 15, 2012 6:55 am

Temurama: Zainal Alam Kadir

PENGENALAN Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) berkelajuan 160 kilometer sejam dan menjimatkan waktu perjalanan adalah antara inisiatif kerajaan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam. Kecekapan sistem pengangkutan awam selain keselesaan dan ketepatan waktu perjalanan yang sering dipersoalkan adalah antara faktor mengapa penduduk negara ini lebih selesa menaiki kenderaan sendiri.
Wartawan Edisi Mingguan, ZUL HUSNI ABDUL HAMID menemubual pengacara dan pelakon, Zainal Alam Kadir yang juga pengguna setia pengangkutan awam untuk berkongsi pengalamannya.

APA pandangan anda mengenai kemudahan pengangkutan awam di negara kita, terutama di ibu kota.

Kemudahan pengangkutan awam yang ada di negara ini mencukupi. Banyak pilihan disediakan seperti bas, komuter, teksi, transit aliran ringan (LRT) dan ERL. Cuma mungkin proses memperkemas dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam membuatkan ramai yang tidak sabar dan sering merungut. Seharusnya masyarakat tidak melihat proses itu sebagai satu masalah besar kerana kerajaan berusaha keras mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam supaya berdaya saing dan memberi keselesaan kepada semua pengguna.

Apakah jenis perkhidmatan awam paling kerap digunakan....adakah anda berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.

Saya sering menggunakan teksi dan komuter, bergantung kepada destinasi dituju. Mungkin kerana sudah terbiasa, jadi saya tidak mempersoalkan mengenai kualiti perkhidmatan, malah berpuas hati dengan apa yang diberikan. Mungkin pandangan itu turut dipengaruhi pengalaman saya sebagai wartawan dulu. Dulu jika ditugaskan ke luar negara dan dimaklumkan tidak disediakan kenderaan, saya harus bersedia untuk berdepan apa saja kemungkinan.
Perancangan perlu dibuat teliti kerana di sesetengah destinasi memerlukan saya bergerak pantas. Pilihan selalunya pengangkutan awam kerana lebih menjimatkan selain mengelak diri daripada ditipu.

Jika di luar negara kita boleh menerima apa saja kekurangan tetapi mengapa apabila pulang ke negara sendiri, kita merungut dan marah setiap kali perkhidmatan tergendala. Kita sudah biasa dimanjakan dan apabila susah sikit, kita mula menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Bagaimana keadaan pengangkutan awam kita jika dibandingkan negara lain yang pernah dikunjungi.

Saya berpuas hati. Biarpun ada ketika masih berdepan masalah yang membuatkan perancangan awal tergendala tetapi saya selesa dengan kualiti pengangkutan awam yang semakin menunjukkan perubahan positif.

Saya tidak nafikan sistem pengangkutan awam di negara luar jauh lebih kemas dan tersusun kerana mereka sudah lama diperkenalkan dengan perkhidmatan itu. Negara kita juga sedang menuju ke arah itu. Cuma kebanyakan masyarakat kita masih menafikan peranan pengangkutan awam yang semakin cekap kerana status. Di negara luar, mereka tidak malu menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana kerana ia lebih selesa dan menjimatkan berbanding menaiki kenderaan sendiri.

Apakah cadangan atau cara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam.

Perlu ada aliran sistem pengangkutan bersepadu dan tersusun kerana semua itu turut menjadi faktor untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan kenderaan awam. Tiada guna kerajaan menghabiskan jumlah wang yang besar tetapi perkhidmatan disediakan tidak dimanfaatkan masyarakat. Tidak perlu memandang jauh, cukup lihat di negara jiran, Singapura yang memiliki jalinan sistem pengangkutan awam yang kemas dan teratur. Pengguna tidak rasa terbeban kerana jalinan pengangkutan semuanya berada di kawasan berdekatan. Suasananya juga selesa, bersih malah dilengkapi sistem penghawa dingin.

Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah apabila sesetengah perkhidmatan pengangkutan awam tidak mendapat sambutan masyarakat. Cuba berikan keselesaan kerana faktor cuaca dan keselamatan juga memainkan peranan apabila sesetengah stesen pengangkutan dibina di lokasi kurang strategik serta berjauhan dari kediaman. Maaf cakap, masyarakat kita juga sudah biasa dimanjakan membuatkan mereka kurang selesa jika perkhidmatan yang disediakan cuma menambah beban dan membazir tenaga.


Ulasan:
Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti kemudahan pengangkutan di Malaysia sejajar dengan kemajuan negara.Terutamanya pengangkutan darat, ini adalah penting kerana rangkaian sistem jalan raya dan lebuh raya di Malaysia yang baik akan memberikan kemudahan mobiliti kepada rakyat Malaysia bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Shuefern(L6A/12)

Posts : 10
Join date : 2012-09-14

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum