Formula terbaik gaji swasta

View previous topic View next topic Go down

Formula terbaik gaji swasta

Post  ypeng(U6A/10) on Sun Aug 15, 2010 3:38 pm

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kerajaan sedang merangka formula terbaik bagi menangani masalah gaji minimum dalam sektor swasta sebagai salah satu persediaan menjadi negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, formula itu yang mengambil kira sektor serta peringkat iaitu nasional dan serantau akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menurut beliau, antara ciri-cirinya ia akan membantu mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga buruh luar seperti sektor pembinaan dan perkhidmatan, malah gaji minimum juga berupaya melahirkan pekerja rakyat tempatan yang lebih mahir dan berdaya saing.

“Tetapi pada masa yang sama kerajaan mahukan syarikat-syarikat swasta turut melaksanakan inisiatif meningkatkan kemahiran pekerja mereka. Kita amat sedar ia bukan perkara mudah yang boleh dibuat dalam sekelip mata dan sebab itu kerajaan secara konsisten akan membantu industri ini.

“Transformasi sektor swasta sangat diperlukan kerana ekonomi tidak dapat berkembang tanpa komitmen dan penyertaan positif mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Kongres Ekonomi Cina bertajuk Peranan Masyarakat Cina Mencapai Sasaran Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan beberapa pimpinan tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jelas Perdana Menteri, sebagai sokongan kepada perkembangan itu, kerajaan sedang memantap dan memperkemaskan sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang menepati kehendak pasaran.

Kerajaan juga katanya, menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar yang tercicir dalam sistem persekolahan bagi meningkatkan nilai mereka dalam pasaran pekerjaan.

“Pelajar cemerlang juga akan ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran. Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa tidak akan ada seorang pun daripada rakyat negara ini yang cemerlang akan dihalang daripada meningkatkan potensi diri. Mereka inilah aset negara paling bernilai pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Najib juga meminta masyarakat Cina supaya membantu menghalang pengaliran tenaga mahir yang berkualiti dan terbaik ke luar negara.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 700,000 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan kebanyakan daripada mereka adalah Cina.

“Kerajaan meminta jasa baik kamu semua untuk menghentikan brain drain (kekurangan tenaga mahir) ini.

“MBE dan RMK-10 sebenarnya menyediakan banyak peluang terbaik kepada mereka ini yang amat berbakat. Apa yang tinggal lagi hanya kita untuk memulakan cabaran ini kepada mereka,” katanya.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum