Ibu bapa berjaya gagalkan cubaan culik

View previous topic View next topic Go down

Ibu bapa berjaya gagalkan cubaan culik

Post  ypeng(U6A/10) on Wed Aug 11, 2010 2:16 pm

MELAKA 10 Ogos - Suasana awal pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini semalam tidak seperti biasa.

Tatkala sebuah keluarga sedang sibuk untuk bersiap-sedia untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah, mereka dikejutkan dengan kehadiran empat 'tetamu tidak diundang'.

Sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier muncul di depan rumah keluarga itu dan cuba menculik salah seorang anak perempuan keluarga tersebut yang berusia 11 tahun.

Ketika itu, ibu mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang memasuki kereta, juga jenis Toyota Harrier untuk menghantar anaknya ke sekolah rendah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.55 pagi apabila kereta Toyota Harrier berwarna hitam tiba-tiba berhenti di hadapan rumah mereka.

"Empat lelaki yang memakai topeng ski dan bersenjatakan parang keluar dari kereta itu dan terus menyerbu ke arah dua beranak tersebut.

"Salah seorang daripada suspek bertindak memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu manakala tiga lagi rakannya membuka pintu bahagian penumpang depan untuk melarikan anak mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam keadaan cemas, katanya, ibu mangsa sempat menjerit meminta tolong sambil membunyikan hon kereta.

Jeritan wanita, tambah Mohd. Adnan, menyebabkan suami dan dua anak lelakinya berusia belasan tahun yang ketika itu berada di dalam rumah, keluar memberi pertolongan.

"Mereka bertindak pantas dan berjaya menarik mangsa yang ketika itu sedang dibawa masuk ke dalam kereta suspek yang berhenti di luar pagar rumah," ujarnya.

Menurut Mohd. Adnan, berlaku pergelutan antara keluarga mangsa dan suspek sebelum keempat-empat lelaki tersebut bertindak melarikan diri.

"Dalam pergelutan itu, suami wanita terbabit bengkak di kaki kanan akibat terkena tayar ketika suspek cuba melarikan diri manakala wanita itu mengalami luka di siku kedua-dua tangan akibat ditolak.

"Murid perempuan itu dan dua abangnya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya sambil memberitahu bapa mangsa merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat swasta manakala ibunya seorang kakitangan kerajaan.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada penjaga yang sah.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum