PENGAJIAN AM 900 : 2014
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Sindiket curi pasir tumpas

Go down

Sindiket curi pasir tumpas Empty Sindiket curi pasir tumpas

Post  Yao Benjamin (L6F/2010) Thu Jul 22, 2010 2:23 pm

BANGI 21 Julai - Satu lagi sindiket curi pasir ditumpaskan di negeri ini dengan penangkapan lapan lelaki bersama lapan buah lori dan 160 tan pasir bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan di Batu 24, Jalan Sungai Lalang di sini, awal pagi ini.

Suspek berusia antara 29 hingga 50 tahun dicekup oleh pegawai penguatkuasa Daerah Hulu Langat pada pukul 5 pagi semasa dalam perjalanan menghantar pasir terbabit ke beberapa tapak binaan di sekitar Selangor.

Sindiket memilih mengangkut pasir terbabit pada awal pagi iaitu sekitar pukul 3 hingga 5 pagi bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata, kesemua suspek ditahan merupakan pemandu lori.

Mereka membawa pasir curi terbabit untuk dijual kepada syarikat pembinaan dan orang persendirian di sekitar Selangor termasuk Kajang, USJ Subang Jaya dan kontraktor terlibat dalam projek Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

"Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasa) Hulu Langat, Khairul Fahmi Mahmud dan Setiausaha Keselamatan Daerah, Dasrafeesal Abdul Shukur bersama seorang pegawai dan tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya mengesan lori terbabit semasa membuat operasi mengesan pencuri pasir di Jalan Sungai Lalang menghala ke Semenyih pada pukul 3 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Daerah Hulu Langat di sini.

Menurut Zainal Abidin, lokasi melombong pasir terbabit merupakan tanah lapang dipercayai milik persendirian yang dikelilingi hutan dan boleh dimasuki melalui jalan berpasir kira-kira dua kilometer dari jalan besar.

"Siasatan mendapati kegiatan mengambil pasir di tanah terbabit memang dijalankan tanpa permit.

"Sindiket sengaja menjalankan kegiatan mengorek dan memunggah pasir pada sekitar pukul 3 hingga 5 pagi kerana waktu itu tiada orang melihat kegiatan mereka," katanya.

Jelas beliau, Pejabat Daerah Hulu Langat setakat ini hanya mengeluarkan permit mengambil pasir di enam lokasi di daerah berkenaan iaitu Sungai Langat, Batu 10 Cheras hingga Batu 12, Kampung Sungai Serai.

Kawasan lain ialah Sungai Langat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi hingga ke Kampung Teras Jernang; Sungai Semenyih dari Kampung Bangi hingga Sungai Bangi Lama; Sungai Sekamat, Batu 10 hingga Batu 14, Mukim Cheras; Sungai Langat, Batu 15 hingga Batu 20, Jalan Cheras dan Lot 2256, Sungai Kembung, Mukim Beranang.

Beliau berkata, hanya enam kawasan terbabit dibenar menjalankan kegiatan mengambil pasir namun kerja-kerja mengorek dan memunggah hanya boleh dilakukan mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja.

"Selain lapan lori yang dirampas hari ini, pada minggu lalu, kita juga berjaya merampas lima lori membawa muatan pasir curi dalam dua serbuan berasingan," katanya sambil memberitahu rampasan hari ini adalah terbesar dicatatkan di daerah Hulu Langat.

Menurutnya, nilai keseluruhan pasir yang dirampas ialah RM2,880 manakala lapan lori pula dianggarkan bernilai RM800,000.

Katanya, semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Yao Benjamin (L6F/2010)

Posts : 35
Join date : 2010-05-26

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum