'Janji beri RM3 juta bukan rasuah'

View previous topic View next topic Go down

'Janji beri RM3 juta bukan rasuah'

Post  Yao Benjamin (L6F/2010) on Thu Jul 22, 2010 2:05 pm

Zaid didakwa gagal bukti penduduk Hulu Selangor ubah fikiran undi Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Janji untuk membayar sejumlah wang oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan kepada penduduk di kawasan itu bertujuan membawa kemajuan dalam komuniti berkenaan, bukan sogokan atau rasuah, Mahkamah Pilihan Raya di sini diberitahu semalam.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Kamalanathan, berhujah janji untuk membawa kemajuan kepada penduduk, juga mendatangkan faedah untuk semua yang mengundi dalam pilihan raya semula itu.
“Ia bukan sogokan atau amalan rasuah tetapi sebagai penyelesaian untuk membangunkan tanah dan pampasan diberikan untuk memajukan tanah itu,” katanya ketika berhujah di depan Hakim Datuk Azahar Mohamed yang bertindak Hakim Mahkamah Pilihan Raya, semalam.

Hujahan itu berhubung dakwaan janji pemberian RM3 juta untuk pembinaan bangunan baru sekolah Cina di Rasa, RM300,000 untuk sekolah Cina di Kalumpang, RM160,000 bagi setiap ekar tanah dan RM50,000 kepada bekas peneroka FELDA kawasan Sungai Buaya atau warisnya.

Firoz berhujah, janji pemberian itu tidak boleh dianggap sogokan atau amalan rasuah mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ia adalah janji yang sah dalam pilihan raya kecil.

Beliau berkata, Datuk Zaid Ibrahim selaku pempetisyen, juga gagal membuktikan penduduk Hulu Selangor mengubah fikiran daripada mengundinya dan memilih untuk mengundi Kamalanathan disebabkan janji dibuat calon Barisan Nasional (BN) itu.
Katanya, Zaid, yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, tidak mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan pengundi sebenarnya memang mahu mengundi beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, petisyen yang difailkan Zaid perlu dibatalkan kerana ia gagal mematuhi Perkara 4 Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

“Pempetisyen (Zaid) membuat tuduhan melulu dalam petisyennya dengan mendakwa Perdana Menteri adalah ejen Kamalanathan, tetapi beliau gagal untuk mengemukakan sebarang bukti yang adanya sebarang pelantikan.

“Beliau juga gagal menunjukkan adanya sebarang elemen tawar menawar berhubung janji itu oleh mana-mana pengundi untuk mengundi calon BN,” katanya.

Zaid, 59, memfailkan petisyen perisytiharan pilihan raya kecil itu tidak sah dan batal disebabkan rasuah dalam bentuk sogokan wang kepada penduduk kawasan berkenaan.

Dalam petisyen yang difailkan 24 Mei lalu, Zaid menamakan Kamalanathan, 45; Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Pada pilihan raya kecil 25 April lalu, Kamalanathan memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 24,997 undi sementara Zaid 23,272 undi.

Pada 1 Julai lalu, Kamalanathan memfailkan notis usul untuk membatalkan petisyen Zaid dengan alasan ia adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah selain Zaid gagal mengenal pasti kepada siapa rasuah itu diberi.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Yao Benjamin (L6F/2010)

Posts : 35
Join date : 2010-05-26

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum