Keputusan jangka panjang

View previous topic View next topic Go down

Keputusan jangka panjang

Post  ypeng(U6A/10) on Sat Jul 17, 2010 2:18 pm

KUANTAN 16 Julai - Kerajaan mengambil langkah berani dalam penyelarasan subsidi bagi meletakkan ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu bersifat jangka masa panjang dan bakal memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan perlu berani dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan tersebut untuk kesejahteraan rakyat.

"Kalau kita fikir kesan jangka masa pendek sepanjang masa, maka kita bukan kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan sedemikian boleh membawa negara ke arah keadaan tidak menentu," katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Katanya, bagaimanapun, penyelarasan tersebut masih lagi berpegang pada prinsip meminimumkan bebanan rakyat.

Katanya, rakyat negara ini sebenarnya masih membayar harga petrol, diesel, LPG dan gula jauh lebih rendah berbanding negara jiran.

"Sebagai contoh, gula di Malaysia RM1.90 sekilogram, tetapi di Thailand RM2.60 sekilogram, Indonesia RM3.68 dan Filipina RM3.46," katanya.

Katanya, apa yang dilakukan kerajaan mempunyai hikmah kerana kebanyakan subsidi diberikan kerajaan bukan menguntungkan kumpulan sasar.

Najib memberitahu, dua pertiga subsidi bahan api ketika ini diperoleh golongan berpendapatan tinggi dan sederhana berbanding satu pertiga oleh golongan yang memerlukannya.

"LPG juga sebanyak 70 peratus merupakan mereka yang terlibat dalam perniagaan, hanya 30 peratus merupakan pengguna suri rumah," katanya.

Selain itu, katanya, penyelarasan subsidi gula pula dapat menangani masalah penyakit kencing manis yang menunjukkan trend merbahaya di negara ini.

Jelasnya, 1.4 juta rakyat negara ini mengalami penyakit berkenaan yang memerlukan usaha bagi menanganinya.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri melancarkan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang bakal menetapkan hala tuju gerakan koperasi sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, bagi membantu koperasi dalam penyediaan modal untuk melaksanakan aktiviti ekonomi, kerajaan telah memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM100 juta melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun ini.

Katanya, sebelum ini SKM telah menyediakan dana di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP) berjumlah 387 juta.

"Saya difahamkan SKM telah berjaya memberi pinjaman sebanyak RM668 juta kepada koperasi-koperasi," katanya.

ypeng(U6A/10)

Posts : 120
Join date : 2010-01-24

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum