Loji air Sungai Jerik disahkan selamat

View previous topic View next topic Go down

Loji air Sungai Jerik disahkan selamat

Post  ong poh lee U6B on Tue Jul 13, 2010 4:10 pm

KUANTAN 12 Julai - Kerajaan Pahang memberi jaminan Loji Air Sungai Jerik adalah selamat walaupun kedudukannya tidak jauh dari Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran yang menjadi punca kepada enam kematian dalam tempoh seminggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin menegaskan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bekalan Air (JBA) telah mengadakan pemeriksaan terhadap loji itu dan ia didapati bebas daripada sebarang pencemaran kuman leptospirosis (air kencing tikus) dan meliodosis.

"Meskipun bekalan air loji itu datangnya dari sungai di Lubuk Yu tetapi ia selamat untuk kegunaan orang ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan enam lelaki meninggal dunia dalam tempoh seminggu akibat dijangkiti kuman itu selepas berkhemah semasa operasi menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu.

Mereka yang meninggal dunia ialah Azizam Abdullah, 58, Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd. Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56, ketika menyertai operasi mencari mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam, 28, pada 26 Jun lalu.

Operasi menyelamat mangsa lemas itu disertai 83 individu termasuk anggota pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan bermula 26 Jun hingga 30 Jun baru-baru ini.

Shahaniza memberitahu, kawasan perkelahan Lubuk Yu masih lagi ditutup bagi membolehkan Jabatan Kesihatan membuat kajian terhadap kejadian yang berlaku di kawasan terbabit.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail yang dihubungi memberitahu, larangan memasuki kawasan tersebut berkuat kuasa hingga siasatan terhadap kes enam kematian itu selesai.

"Pada masa ini, Jabatan Kesihatan sedang menjalankan siasatan dan semua laluan masuk ke kawasan tersebut ditutup bagi mengelak kes jangkitan baru," katanya.

Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, tujuh individu lain yang turut dijangkiti kuman tersebut kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, tiga daripada mereka dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, dua di Hospital Jengka dan masing-masing seorang di Hospital Selayang, Selangor dan Pusat Perubatan Kuantan di sini.

"Hutan Lipur ini akan dibuka semula apabila siasatan selesai dan disahkan selamat oleh Jabatan Kesihatan untuk aktiviti riadah.

"Penduduk di sekitar Lubuk Yu juga dinasihati supaya peka dengan perkembangan siasatan dan mematuhi arahan Jabatan Kesihatan bagi menjamin keselamatan mereka," katanya.

ong poh lee U6B

Posts : 79
Join date : 2009-09-10

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum