Keruntuhan akhlak masyarakat untuk keuntungan lesen judi

View previous topic View next topic Go down

Keruntuhan akhlak masyarakat untuk keuntungan lesen judi

Post  NgSiokYing U6F/11 on Sat Jun 26, 2010 9:30 am

Keruntuhan akhlak masyarakat untuk keuntungan lesen judi
Ng Siok Ying L6F/10 wrote:RAMAI yang tertanya-tanya kenapa kerajaan menunggu masa yang lama untuk memuktamadkan isu mengenai pengeluaran lesen perjudian bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan. Sedangkan dalam masa yang sama, pihak berkuasa saban hari membuat tangkapan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti perjudian tersebut.

Kesungguhan pihak berkuasa itu nampaknya tidak selari dengan keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan sendiri mengenai isu yang sama. Jika sekiranya lesen perjudian untuk pertaruhan sukan itu dibenarkan, maka adakah pihak berkuasa masih perlu melakukan tangkapan? Jelas ada sesuatu yang tidak kena dalam isu ini yang perlu diselesaikan dengan segera. Kerugian bukan hanya ditanggung dari sudut moral dan sosial semata-mata apabila masyarakat kita semakin ramai menjadi tahi judi. Tetapi kerajaan sendiri menerima impak negatif yang sangat besar apabila gagal memberi kata putus kepada perkara yang menimbulkan polemik seperti ini. Dari sudut politik, ia sudah pun berjaya dimanipulasi oleh parti pembangkang untuk dijadikan modal menghentam kerajaan. Bagaimana sebuah negara Islam yang majoritinya penduduk Melayu beragama Islam boleh memberikan kebenaran dari sudut undang-undang kepada aktiviti haram seperti perjudian. Mungkin ramai yang menyangkal dengan dakwaan bahawa undang-undang itu adalah untuk orang bukan Islam. Tetapi yang menjadi persoalan ialah agama selain Islam sekali pun melarang penganutnya bertaruh nasib dalam perjudian seperti itu.

Maka baik bagi orang Melayu, Cina mahupun India, judi itu adalah amalan yang salah mengikut kepercayaan agama, budaya dan corak hidup masing-masing. Memang dari sudut ekonomi kerajaan akan mendapat keuntungan besar daripada pemberian lesen judi pertaruhan bola sepak. Tetapi keuntungan itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat kebanyakan kerana sumbernya yang sangat jelas haram. Sementelah apalah gunanya keuntungan berlipat kali ganda daripada hasil perjudian itu sekiranya kita terpaksa mempertaruhkan nilai-nilai mulia di kalangan masyarakat kita? Perdebatan sebegini mungkin dilihat sangat naif oleh sesetengah orang. Tetapi bagi mereka yang mengaku sebagai seorang yang beragama, sepatutnya berasa malu untuk terbabit dalam putaran ekonomi berasaskan perjudian.

Ada eloknya juga isu lesen perjudian bagi pertaruhan sukan ini dibangkitkan. Ia secara tidak langsung membuka mata pihak-pihak berkenaan terhadap kewajaran meneruskan pusat-pusat perjudian berlesen sedia ada. Ketika isu ini mendedahkan sekian banyak keruntuhan sosial yang disebabkan oleh aktiviti judi, maka wajarlah lesen perjudian sedia ada dikaji semula untuk tidak lagi diteruskan. Atau setidak-tidaknya kerajaan perlu mengawal aktiviti perjudian berlesen sedia ada supaya tidak menjadi barah di kalangan masyarakat. Memberikan lesen perjudian pertaruhan sukan akan membolehkan aktiviti itu dijalankan secara terbuka tanpa sekatan. Jika ini benar-benar berlaku, bayangkan betapa bahayanya generasi muda kita yang terdedah kepada salah laku moral seperti itu. Sepatutnya dalam hal ini, bukan isu perlu atau tidak lesen perjudian bagi pertaruhan sukan itu diluluskan.

Sebaliknya bagaimana kerajaan mahu membanteras amalan judi di kalangan masyarakat yang jelas merosakkan sistem sosial dan kekeluargaan kita. Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah tahi judi ini dan melumpuhkan sepenuhnya jaringan aktiviti judi yang dilihat semakin berleluasa ketika ini. Dari sudut penguatkuasaan, pasukan keselamatan negara dilihat cukup berkemampuan untuk mencegah aktiviti perjudian haram itu. Buktinya saban hari bookie judi ditangkap di seluruh negara. Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam isu ini seperti mana dalam usaha memerangi jenayah rasuah, tidak mustahil hasrat melahirkan masyarakat yang bebas judi juga akan berjaya.

NgSiokYing U6F/11

Posts : 24
Join date : 2010-06-18
Age : 24

View user profile

Back to top Go down

Majoriti rakyat sokong batal lesen judi

Post  NgSiokYing U6F/11 on Sun Jun 27, 2010 12:51 pm

Majoriti rakyat sokong batal lesen judi
Ng Siok Ying L6F/10 wrote:KUALA LUMPUR 26 Jun - Majoriti rakyat menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen judi Piala Dunia yang disifatkan sangat sesuai bagi menghindarkan lebih banyak gejala sosial.

Rata-rata mereka yang ditemui beranggapan, ia merupakan antara keputusan terbaik yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi kesejahteraan rakyat.

Seorang eksekutif teknologi maklumat, Habibah Othman berkata, dia sangat bersetuju dengan tindakan kerajaan itu memandangkan judi adalah haram di sisi Islam.

"Kita sememangnya mengetahui tentang hukum Islam yang mengharamkan judi di kalangan umatnya, jadi tindakan tersebut adalah suatu keputusan yang baik.

"Melalui langkah ini juga kita dapat mengelakkan berlakunya pelbagai bentuk jenayah yang disebabkan oleh aktiviti perjudian itu sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang kakitangan swasta, Mohd. Razwan Mohd. Yunus turut menyokong penuh tindakan Perdana Menteri tersebut kerana ia mampu mengelakkan orang ramai terlibat secara terbuka dengan perjudian.

Bagi seorang penuntut sebuah kolej swasta, Sin Mun Yee, pembatalan pemberian lesen judi itu diharap memberi lebih banyak kesan positif kepada masyarakat.

"Banyak perkara positif yang kita peroleh apabila lesen judi tidak dikeluarkan, antaranya kita dapat mengelakkan orang ramai daripada terus meminjam wang dengan 'ah long'.
"Selain itu, kita juga dapat mengurangkan aktiviti jenayah kerana kebanyakan mereka yang berjudi juga akan cenderung melakukan kegiatan jenayah seperti kongsi gelap, mencuri, merompak dan membunuh sekiranya mereka terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang.

"Malah ada juga yang sering melakukan penipuan dan mengambil kesempatan di dalam aktiviti perjudian tersebut. Lebih teruk lagi ada yang nekad untuk membunuh diri apabila kalah pertaruhan," katanya.

NgSiokYing U6F/11

Posts : 24
Join date : 2010-06-18
Age : 24

View user profile

Back to top Go down

Tahniah lesen judi bola sepak tidak diluluskan

Post  NgSiokYing U6F/11 on Mon Jun 28, 2010 12:01 pm

Tahniah lesen judi bola sepak tidak diluluskan
Ng Siok Ying L6F/10 wrote:APABILA lesen judi dikhabarkan hendak dilesenkan, satu Malaysia riuh-rendah ingin ia tidak diluluskan. Namun dalam kelegaan kita judi bola tidak diluluskan, ia sedikit pun tidak menyebabkan tahi judi berasa tergugat. Tidak kira berapa orang VIP dikatakan telah lari ke luar negara kerana menjadi peneraju judi kerana sikap berjudi di seluruh dunia melangkau sempadan globalisasi. Siapa yang mampu menyekat jika orang kita hendak berjudi di Las Vegas mahupun di seberang sempadan. Jika kita bercakap soal judi zaman Tok Kaduk, mungkin jika ia diharamkan untuk rakyat negara ini ketidaklulusan lesen menjadi satu mekanisme cukup baik, namun nampak cantik pada permukaannya sahaja.

Kolum Cuit tulisan Datuk Zaini Hassan perihal judi dua minggu lepas yang amat disukai oleh salah satu etnik di negara kita amat mencuit hati sebuah akhbar berbahasa Inggeris untuk menterjemahkannya ke bahasa tersebut. Mungkin pihak yang membaca akan terasa disindir kerana selama ini mereka tidak mengakui judi itu haram dan tidak bermoral dan itulah perkara yang dilakukan setiap hari dalam kehidupan. Walaupun kita tidak bertaruh berapa banyak Ringgit Malaysia, namun ada yang menepuk dahi apabila ramalan yang dibuatnya salah sehingga mencetuskan pergaduhan dan bertegang leher sesama kawan dan suami isteri. Itu perlu juga kita kaji.

Ia sebenarnya bukan setakat soal judi wang tetapi judi fakta berdasarkan analisis. Dalam Islam membuat ramalan sehingga bermasam muka juga satu perkara yang berdosa besar termasuk kategori bertenung nasib atau menilik. Jangan lupa dalam Islam ada tujuh pembinasa besar bukan hanya judi yang boleh menyebabkan kerosakan dalam masyarakat. Turut menjadi fokus kita adalah untung politik dan untung perjuangan menjaga nilai-nilai agama dan moral. Ada kisah satu golongan aktivis yang berhempas pulas berkumpul dan bermesyuarat sehingga pihak luar yang ingin mendengar atas dasar prihatin disuruh pulang kerana pada mereka perjuangan menghapuskan judi bola hanya untuk mereka sahaja.

Namun apabila diajak berjuang untuk menggalakkan anak-anak kita yang bersidai menonton bola sehingga ke pagi supaya pulang ke rumah menunaikan ibadat dan berehat (tidur) tidak pula dilakukan. Bukankah itu juga wajar diperjuangkan. Bola sepak memang bagus, yang tidak bagusnya adalah judi. Kita perlu ingat sebagai sebuah negara majmuk, kita tidak boleh melihat judi sahaja yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat kerana perjuangan untuk bangsa dan agama biar seimbang dengan gejala sosial yang melanda kita hari ini.

Langkah mengharamkan judi tidak akan membuatkan tahi judi insaf, atau kita mengharapkan mereka hanya duduk seronok menonton bola sepak Piala Dunia hingga tamat. Jika saluran judi haram boleh digunakan, soal lesen ada atau tidak langsung tidak menjadi kudis kepada mereka. Dalam era siber ini, setiap pertaruhan boleh dibuat menggunakan satu jari sahaja, jika kita melayar Internet bukan sahaja ada tawaran bertaruh, malahan turut disiapkan dengan ramalan oleh agensi judi tertentu. Itu belum dimasukkan lagi dengan ramalan oleh blogger-blogger kelas profesional dan blogger yang langsung tidak ada kelas.

Judi bola haram sinonim dengan judi ekor haram yang dari dulu telah wujud. Sehingga kini, ia tidak mampu dibanteras oleh pihak berkuasa, kerana apabila ia dilakukan kecil-kecilan sukarlah pula untuk dipantau. Lain pula dengan judi bola jika lesen diberi sudah pasti ramai orang luar yang akan 'melabur' disebabkan kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi berbanding Ringgit Malaysia. Jika orang tempatan membuat pertaruhan, jawabnya kalau masuk satu ribu, rugi pun satu ribu, akibatnya 'along' pula yang akan menolong.

Berjudi memang kerja orang yang malas berusaha secara positif, memang tepat pada masanya judi bola tidak dibenarkan. Hari ini, Piala Dunia, esok mereka minta pula judi untuk English Premier League sebab sudah beri cukai yang tinggi, sedangkan cukai itu datang dari duit tahi judi yang sudah pasti duit tidak ikhlas sifatnya. Sebaik-baiknya judi dan enam dosa besar yang lain dalam agama Islam perlu dikaji untuk dibanteras jika ada kewajaran. Namun biarlah ia dibuat penuh hikmah dan kewajaran untuk semua rakyat negara ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkan judi bola sepak ini diluluskan di negara kita. Ini bukan bermakna kemenangan kepada perjuangan kita tetapi ia lebih kepada rasional dan zaman ini di mana kita terlalu mewah dengan sukan dan hiburan sehingga ia pun turut hendak diperjudikan. Bayangkan jika judi bola sepak diluluskan, berapa banyak wang yang akan dimenangi oleh pihak yang langsung tidak terlibat dengan perlawanan tersebut. Kerana apabila berlawan pasti ada pihak yang akan tewas dan yang menang. Jika ramalan tahi judi salah, sudah para pemain bola sepak akan mendapat musuh yang dirinya sendiri tidak kenal. Namun itulah hakikat Piala Dunia penuh dengan kejutan dan kehebatan.

Jangan berjudi dengan duit mahupun dengan fakta dengan membuat ramalan kerana bola itu bulat. Elakkan berjudi secara haram kerana menurut Islam bukan nilai judi dipertimbangkan sebagai dosa tetapi perbuatan berjudi itu sendiri jelas berdosa dan bayangkan jika kita hanya bertaruh sebungkus mi segera. Agak tidak berbaloi.

NgSiokYing U6F/11

Posts : 24
Join date : 2010-06-18
Age : 24

View user profile

Back to top Go down

Re: Keruntuhan akhlak masyarakat untuk keuntungan lesen judi

Post  Sponsored content Today at 2:34 pm


Sponsored content


Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum