BIOTEKNOLOGI

Post new topic   Reply to topic

View previous topic View next topic Go down

BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Mon Aug 24, 2009 7:39 am

Bioteknologi merupakan satu bidang sains di mana benda hidup digunakan untuk penghasilan produk atau untuk melakukan sesuatu tugasan untuk manusia. Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga microorganisma seperti bakteria telah digunakan untuk menghasilkan kebaikan kepada manusia. Dalam bidang industri perubatan dan pertanian, bioteknologi bantu dalm penghasilan makanan, ujian untuk mengesan penyakit dan untuk melupuskan sisa. Bioteknologi boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dan untuk membantu dalam penyelidikan. Bioteknologi biasanya terbahagi kepada 3 bahagian - bioteknologi merah, putih dan hijau. Bioteknologi merah adalah berkaitan dengan mikroorganisma yang telah diubah bahan genetiknya yang digunakan untuk menghasilkan produk seperti insulin dan vaksin untuk kegunaan perubatan. Bioteknologi putih melibatkan penciptaan bahan kimia berguna untuk sektor perindustrian melalui organisma-organisma seperti kulat dan yis. Jenis bioteknologi ini juga dikenali sebagai bioteknologi kelabu. Bioteknologi hijau, juga dikenali sebagai bioteknologi pertanian, berurusan dengan aplikasi-aplikasi yang bertaut kepada pertanian. Ianya melalui penyelidikan bioteknologi merah dapat menghasilkan antibiotik untuk jangkitan berbeza-beza dan vaksin untuk menguatkan sistem keimunan dan mengesan dan mengubati sebarang kecacatan genetik dan penyakit telah dihasilkan. Bioteknologi merah juga membantu dalam teknologi pembiakan seperti persenyawaan in-vitro, penghasilan profil DNA, forensik dan teknologi permindahan. Hanya dengan pertolongan bioteknologi putih yang membantu persekitaran untuk membolehkan pengawalan haiwan dan tumbuhan perosak. Bioteknologi telah membantu dalam pembersihan tumpahan minyak, melindungi spesis yang terancam dengan menyimpan DNA untuk penyelidikan pada masa akan datang dan menolong mengasingkan sebarang nutrien yang berlebihan dalam tanah mahupun dalam air. Penyelidikan dalam bioteknologi juga bertujuan untuk pengekstrakan logam dari tanah untuk menyediakan perlombongan yang bersih, mengesan periuk api dan pembersihan logam arsenik dan logam lain yang mencemar. Bioteknologi hijau melibatkan manipulasi tumbuhan dan haiwan untuk menghasilkan spesis yang lebih mesra alam sekitar dan produktif. Pembangunan pelbagai jenis gandum yang tahan penyakit dengan cara pembiakan silang jenis gandum yang berbeza adalah satu contoh bioteknologi hijau.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Mon Aug 24, 2009 7:41 am

Fungsi bioteknologi menangani wabak H1N1
Oleh M Firdaus Raih
rencanabh@bharian.com.my
Pemahaman Tamiflu, antiviral penting bagi proses pemulihan daripada jangkitan

KEBELAKANGAN ini, perkataan seperti Tamiflu, antiviral, antibiotik dan vaksin sudah menjadi sebutan dalam perbualan harian kita. Namun, masih ada sedikit sebanyak kekeliruan mengenai apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan perkataan ini. Tambahan pula, masih juga timbul kekeliruan mengenai ujian bagi mengesan jangkitan Influenza A (H1N1).

Pemahaman mengenai perkara ini penting bagi membolehkan kita membuat keputusan berasaskan maklumat untuk membantu pihak bertanggungjawab ke atas kesihatan awam dan juga untuk kebaikan umumnya. Oleh itu, rencana ini akan cuba mengupas perkataan dan isu terbabit serta peranan dimainkan oleh bioteknologi dalam menangani wabak penyakit di zaman ini.

Semoga maklumat ini, terutama sekali dengan latar belakang penularan penyakit H1N1 yang dihadapi, boleh dijadikan panduan. Dua perkataan yang mungkin sudah lama dikenali sejak sebelum wabak H1N1 lagi ialah antibiotik dan juga vaksin.

Antibiotik dikatakan sebagai bahan kimia yang secara khususnya boleh membasmi pertumbuhan bakteria dan penggunaannya dalam pembasmian mikroorganisma lain seperti kulat. Vaksin pula adalah satu campuran atau persediaan biologi digunakan untuk sistem pertahanan badan supaya dapat mengenali sesuatu bahan asing yang menceroboh masuk ke badan.

Antara bendasing yang dimaksudkan adalah mikroorganisma pembawa penyakit yang juga dikenali sebagai 'patogen' seperti bakteria dan juga virus. Ini bermakna antibiotik adalah sesuatu yang digunakan khusus untuk membasmi jangkitan bakteria dan tidak boleh digunakan terhadap jangkitan virus. Penyalahgunaan antibiotik mengakibatkan masalah kerintangan bakteria terhadap antibiotik.

Penyalahgunaan boleh timbul dalam beberapa keadaan. Situasi utama yang membabitkan populasi awam ialah pengambilan dos antibiotik yang tidak mencukupi. Keadaan sebegini boleh timbul apabila pesakit mendapati jangkitan yang mereka alami seperti batuk sudah pun hilang dan terus menghentikan pengambilan antibiotik yang diberikan.

Mungkin juga berlaku keadaan, pesakit mendapati mereka mendapat jangkitan dan oleh kerana masih ada antibiotik terdahulu yang tidak dihabiskan, maka pesakit itu mengambil inisiatif untuk mengubati diri sendiri dengan antibiotik terbabit.

Lama-kelamaan, bakteria yang tidak dibasmikan sepenuhnya akan bermutasi dan menjadi rintang terhadap antibiotik sedia ada. Kerintangan bakteria patogen terhadap antibiotik adalah satu masalah yang besar. Sekiranya bakteria yang dulunya dianggap kurang berbahaya menjadi rintang terhadap antibiotik, jangkitan bakteria itu tidak boleh lagi diubati dengan antibiotik sama. Maka antibiotik baru perlu ditemui atau dibangunkan.

Antibiotik secara amnya bertindak dengan merencat sesuatu sistem yang diperlukan untuk kemandirian bakteria. Sebagai contoh, sekiranya sejenis bahan kimia dapat bertindak merencat sistem penghasilan protein bakteria, maka bakteria itu tidak dapat menghasilkan protein untuk terus hidup dan mengakibatkan kematian bakteria.

Bahan kimia yang bertindak sedemikian adalah antibiotik. Beberapa spesies atau jenis bakteria yang berlainan mungkin boleh dibasmi dengan satu jenis antibiotik sekiranya sistem yang terjejas oleh antibiotik pada bakteria berlainan itu mempunyai persamaan. Dengan kefahaman ini, antibiotik tidak boleh digunakan bagi menangani jangkitan virus seperti Influenza.

Bagi penyakit yang disebabkan virus, kebiasaannya, ubat antivirus yang khusus terhadap sesuatu virus, seperti Tamiflu, boleh digunakan. Tindakan ubatan antiviral berbeza daripada antibiotik. Antiviral lazimnya bertindak merencat penggandaan virus dan tidak bertindak membasmi atau membunuh virus seperti dilakukan oleh antibiotik terhadap bakteria.

Ini bermakna virus induk yang menjangkiti individu tidak dapat menghasilkan lebih banyak virus untuk meneruskan jangkitan terbabit. Dengan cara ini, sistem pertahanan (keimunan) semula jadi tubuh berpeluang untuk bertindak membantu memulihkan badan daripada jangkitan.

Pada zaman ini, bioteknologi berperanan penting dalam pencarian dan pembangunan pelbagai ubatan anti mikroorganisma seperti antibiotik dan antiviral dan penghasi-lan vaksin yang baru. Lazimnya, sa-saran bagi ubatan adalah protein.

Protein yang menjadi sasaran boleh terbabit dalam pelbagai fungsi penting untuk kehidupan bakteria atau penggandaan virus. Ilmu biologi molekul mempunyai peranan penting kerana penyelidikan dalam bidang ini banyak menyumbang pemahaman mengenai fungsi dan mekanisme tindakan sesuatu protein. Apabila sesuatu protein sasaran dikenal pasti dan dikaji mekanisme tindakannya, maka pemahaman yang timbul boleh diguna pakai bagi mencari jalan untuk merencatkan tindakan protein itu.

Vaksin pula terhasil apabila sesuatu bendasing mengaruhkan sistem pertahanan tubuh untuk mengenalinya sebagai suatu bendasing dan menghasilkan antibodi yang boleh menyekat bendasing berkenaan. Ada beberapa cara vaksin dihasilkan. Antaranya penghasilan vaksin menggu-na-kan mikroorganisma patogen yang dilemahkan atau dinyahaktifkan.

Selain itu, toksin yang dihasilkan bakteria boleh digunakan. Ini bermakna, bagi individu yang sudah divaksinasi, toksin dihasilkan oleh kuman jangkitan boleh dikenal pasti lalu dinyahaktifkan. Dalam keadaan sebegini, vaksin tidak menghasilkan tindakan secara langsung ke atas organisma patogen.

Penggunaan virus yang dilemahkan atau dimatikan, terutama bagi virus yang masih belum difahami sepenuhnya, membawa risikonya tersendiri. Oleh itu, wujud usaha untuk membolehkan hanya protein permukaan mikrob patogen dipencilkan dan dipersembahkan untuk dikenal pasti oleh sistem keimunan badan.

Cara sebegini membolehkan sistem pertahanan mengenali mikroorganisma yang boleh menjangkitinya dan menyediakan antibodi yang bersesuaian tanpa risiko seperti dalam kes penggunaan virus yang dilemahkan.

Antara usaha yang giat dijalankan di banyak makmal penyelidikan seluruh dunia, termasuk di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah kajian terhadap protein mikroorganisma yang berpotensi dijadikan sasaran ubatan. Ilmu biologi molekul dan bioteknologi menjadi teras yang mendokong penyelidikan sebegini. Usaha ini di-harap dapat menyediakan antibiotik generasi akan datang yang boleh menangani masalah kerintangan antibiotik dan antiviral. Teknologi yang dibangunkan membolehkan kajian sesuatu organisma patogen dilakukan dengan lebih cepat.

Sesuatu organisma yang baru saja dikenal pasti boleh diselidiki hingga memperoleh ubatan antimikrob atau vaksin dalam masa yang singkat dan bukan jangkamasa bertahun atau berabad lamanya seperti sekarang.

Dengan harapan sedemikian, maka tidak hairanlah dana hingga puluhan bilion dolar Amerika disalurkan setiap tahun dalam bidang bioteknologi. Penguasaan bidang ilmu biologi molekul dan bioteknologi, terutama aspek bioteknologi perubatan, dijangka dapat memberi pulangan yang menguntungkan pelabur awal.

Pelabur awal di sini dimaksudkan pemodal dan pengeluar dana penyelidikan besar-besaran seperti kerajaan Amerika Syarikat dan pemodal swasta seperti dana amanah. Selain menjanjikan pulangan kewangan, penguasaan teknologi penghasilan antimikrob dan vaksin juga mempunyai dampak dari segi jaminan keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara yang tidak dapat dinilai hanya berasaskan wang ringgit.

Penulis ialah penyelidik bidang biologi komputasi (bioinformatik) dan biologi struktur di Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Thu Aug 27, 2009 10:17 pm

Cabang Bioteknologi

1. Bioteknologi Tradisional

2. Bioteknologi Moden

Bioteknologi Tradisional.

Contoh-contoh Bioteknologi tradisional ialah pembuatan baja organic serta baja kimia, agen biokawalan, sel serta kultur tisu.

Bioteknologi Moden

Bioteknologi Moden membabitkan kombinasi kejuruteraan genatik seperti genomic, bioinformatik, tranformasi molekul, pembiakan, diagnostic dan teknologi vaksin.

Bioteknologi dan Industri

1. Industri pertanian
2. Industri ternakan
3. Perubatan

Industri pertanian

Dalam industri pertanian, petani-petani banyak mengalami masalah yang mampu menggugat hasil pendapatan mereka. Ini menyebabkan ramai generasi-generasi baru tidak berminat mengusahakan industri disebabkan hasil pendapatan mereka yang tidak menentu. Maka dengan menggunakan bioteknologi masalah kesuburan tanaman, jangkitan penyakit dan haiwan perosak serta pengaruh alam sekitar dapat dikurangkan.

Dengan penggunaan teknologi genetik, tumbuhan yang dihasilkan akan lebih bermutu dan produktif. Sebagai contohnya :

Buah yang besar
Buah tanpa biji
Tumbuhan yang lebih tahan dengan serangan penyakit dan haiwan perosak
Tumbuhan yang lebih kuat dan lasak dengan perubahan alam sekitar.

Industri ternakan

Penggunaan teknologi ini sangat penting dalam menampung keperluan protein manusia seluruh dunia.

Contohnya :

- Kambing yang menghasilkan susu yang lebih banyak
- Ayam yang menghasilkan telur yang lebih besar dan bervitamin
- Ikan yang lebih besar dan tahan lasak dengan keadaan persekitaran

Gen-gen yang berguna telah diselitkan kepada haiwan ini semasa dalam keadaan persenyawaan invitro dan sel telur yang telah disenyawakan dipindahkan kepada ibu tumpang yang sesuai bagi pembesaran berikutnya. Anak yang baru lahir ini akan mempunyai ciri-ciri yang telah dibawa oleh gen yang telah diterapkan.

Perubatan

Dalam perubatan penghasilan seperti hormon-hormon khusus, vaksin, antibiotik, dan pendermaan organ atau sel khusus adalah intipati penting dalam menyelamatkan nyawa manusia.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Bioseramik

Post  CikguPA on Fri Aug 28, 2009 7:16 am

Kulit kerang ganti tulang rosak

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

SERDANG 27 Ogos - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui kaedah mengganti dan membaik pulih kecacatan tulang akibat kemalangan atau penyakit menggunakan cangkerang kerang.

Produk yang dikenali sebagai 'Perencah Bioseramik 3-D Berliang' itu boleh digunakan untuk membaik pulih tulang haiwan dan manusia yang cacat atau rosak.

Penemuan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Md. Zuki Abu Bakar itu merupakan yang pertama di dunia dan mengambil masa tiga tahun untuk menghasilkan produk tersebut.

Zuki berkata, produk terbaru UPM itu bukan sahaja boleh digunakan untuk membaik pulih tulang yang rosak malah boleh digunakan sebagai rawatan kosmetik.

"Melalui eksperimen yang kami lakukan ke atas tulang arnab, kami mendapati produk ini sememangnya berkesan membantu memulihkan kerosakan tulang dalam masa yang singkat.

"Malah daripada kajian tersebut, kami mendapati ia juga sesuai digunakan untuk rawatan kosmetik.

"Selain itu, produk ini selamat digunakan kerana bebas daripada bahan-bahan toksik serta tidak mempunyai kesan sampingan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar memperkenalkan penemuan terbaru UPM, 'Perencah Bioseramik 3-D Berliang' di UPM di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof. Madya Dr. Abu Bakar Salleh.

Zuki mengakui sebelum ini memang terdapat kajian seumpamanya yang dilakukan sama ada di dalam mahupun luar negara tetapi apa yang membezakannya ialah bahan serta hasil kajian.

"Produk yang kami hasilkan ini mampu memulihkan kerosakan tulang dalam masa tiga minggu sahaja.

"Kajian-kajian yang dilakukan oleh pengkaji sebelum ini memerlukan sehingga 12 minggu untuk memulihkan tulang yang rosak dengan menggunakan batu karang.

"Jadi boleh disimpulkan disini bahawa hasil kajian kami lebih berjaya kerana dapat memendekkan tempoh pemulihan tulang menggunakan bahan yang lebih murah,'' ujarnya.

Selain memendekkan tempoh pemulihan tulang, Zuki berkata, produk tersebut juga mempunyai kelebihan lain seperti harga yang murah dan tulang boleh dipulihkan mengikut saiz.

"Kami anggarkan untuk membaik pulih lima hingga enam sentimeter kerosakan tulang, kosnya sekitar RM40 ke RM60 sahaja tidak termasuk kos pembedahan.

"Selain itu, produk ini juga boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan saiz dengan menggunakan acuan mengikut keperluan pesakit,'' katanya," katanya.

Menurut Zuki, sebelum produk tersebut ditanam ke dalam tulang yang ingin dibaik pulih, ia perlu disemai dan dieram terlebih dahulu dengan sel osteoblas yang boleh diperoleh daripada sum sum tulang pesakit.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Kepentingan Bioteknologi kepada manusia

Post  CikguPA on Thu Sep 24, 2009 1:22 pm

Oleh Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Pegawai Penyelidik Prinsipal) MPOB

BIOTEKNOLOGI terus mempengaruhi kehidupan manusia sejak dulu tanpa mengira agama, warna kulit dan cara hidup seseorang. Sama ada disedari atau tidak, kita telahpun menjadi pengguna kepada hasil bioteknologi itu.

Bioteknologi ialah proses di mana sel atau organisme (biologi) digunakan sebagai bahan asas dalam proses (teknologi) untuk menghasilkan sesuatu produk. ‘Teknologi’ yang berasaskan ‘biologi’ ini disingkatkan sebagai bioteknologi. Bioteknologi ‘lama’ digunakan untuk menghasilkan produk seperti kicap, tempe, budu dan keju. Bioteknologi baru atau ‘kejuruteraan genetik’ adalah proses yang lebih khusus dan terkawal.

Apakah perbezaan bioteknologi ‘lama’ dengan ‘baru’?

Perbezaan ketara ialah proses lama adalah proses rambang yang mana kulat atau bakteria digunakan tanpa menentukan gen apa sebenarnya diperlukan. Gen ialah unit biologi yang menentukan baka sesuatu ciri pada hidupan seperti: warna daun, tinggi pokok dan sebagainya.

Perlu dijelaskan, untuk penghasilan kicap, keseluruhan kulat digunakan dan membabitkan puluhan ribu gen. Kesan sampingan gengen lain yang dibawa kulat itu tidak semuanya diketahui.

Kejuruteraan genetik pula membabitkan beberapa gen tertentu saja dan fungsi setiap diketahui.

Malah, kejuruteraan genetik lebih diberikan tumpuan khususnya dari aspek keselamatan produk.

Hidupan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik ini dikenali sebagai organisme terubahsuai secara genetik (genetically modified organism atau GMO).

Kejuruteraan genetik tumbuhan membabitkan tiga aktiviti berikut: mendapatkan gen yang diperlukan, proses kultur tisu dan memindahkan gengen berkenaan ke dalam tisu tumbuhan. Pokok yang dihasilkan ini dipanggil pokok transgenik.

Transgenik berasal daripada dua perkataan dasar iaitu ‘trans’ dan ‘gen’. Trans adalah singkatan kepada perkataan ‘transfer’ atau pemindahan, oleh itu pokok transgenik adalah pokok yang telah dipindahkan dengan gen baru (asing).

Pokok transgenik dengan gen yang baru akan seterusnya membawa suatu ciri baru.

Proses mendapatkan gen adalah berkaitan dengan kajian keseluruhan gen di dalam sesuatu hidupan atau kajian genomik. Kajian genomik ini semakin popular dan akan dijelaskan lebih lanjut di penghujung artikel ini. Kaedah mendapatkan gen amat kompleks dan tidak akan dihuraikan dalam perbincangan ini. Gen ini tidak dapat ditentukan dengan mata kasar, sebaliknya beberapa uji kaji khusus diperlukan untuk membuktikan gen yang kita peroleh.

Kultur tisu pula ialah kaedah penghasilan anak pokok lengkap di dalam tabung uji menggunakan bahagian pokok seperti daun dan akar. Kultur tisu menggunakan agar-agar yang mempunyai bahan makanan, vitamin dan bahan perangsang, akan mengubah kepingan daun atau akar tadi menjadi kalus. Kalus seterusnya menghasilkan kalus embriogenik, embrio, poliembriogenik, daun dan akhirnya akar (secara berperingkat, satu demi satu). Pada setiap peringkat perubahan itu, jenis bahan perangsang akan diubah sesuai dengan bahagian pokok yang akan dihasilkan. Semua proses ini dijalankan dalam keadaan bebas kuman (steril).

Transformasi pula adalah proses pemindahan gen asing, sama ada daripada tumbuhan itu sendiri atau daripada hidupan lain ke dalam tumbuhan. Proses ini unik dan mus*l dapat dilakukan melalui kacukan biasa. Proses pemindahan gen ini boleh dilakukan oleh bakteria atau kaedah terus. Bakteria, Agrobacterium, berkebolehan memindahkan serpihan khusus gen yang dibawanya ke dalam tumbuhan apabila ia menjangkitinya.

Kaedah terus pula adalah seperti penembakan zarah. Sel tumbuhan akan ditembak dengan zarah emas yang telah disalut dengan gen.

Gen yang dipindahkan itu akan masuk ke dalam sel tumbuhan yang kemudiannya diganda dan dibesarkan menjadi pokok.

Antara kejayaan yang dicapai dalam bidang bioteknologi tumbuhan ialah penghasilan buah tomato yang membawa gen pengawal buah masak. Pokok tomato ini menghasilkan buah yang lambat lembik dan segar. Penemuan ini amat penting untuk mengeksport buah ke luar negara. Kejayaan ini menguntungkan penjual dan pembeli kerana mendapat bekalan buah yang masih segar di pasaran.

Kejayaan kedua ialah pemindahan gen sejenis asid lemak menghasilkan biji jarak yang tinggi asid laurik (37 peratus) untuk kegunaan industri bahan pencuci, makanan dan penjagaan badan.

Pemindahan gen sejenis asid lemak lain telah meningkatkan kandungan asid stearik daripada dua peratus kepada 40 peratus yang penting khususnya sebagai pengganti lemak koko.

Pemindahan tiga gen bakteria ke dalam beberapa pokok telah menghasilkan plastik mesra alam

Penemuan ini penting kerana memberi pulangan lumayan dan memulihara alam sekitar. Plastik biasa (daripada petroleum) akan kekal selama puluhan tahun yang menimbulkan kesan alam sekitar, sebaliknya plastik mesra alam ini akan terurai dalam masa beberapa minggu atau bulan saja. Antara kegunaan plastik mesra alam ialah sebagai benang jahitan selepas pembedahan dan sedang dikaji sebagai injap jantung dan injap pembuluh darah.

Penghasilan vaksin di dalam pokok telah diusahakan.

Vaksin kolera di dalam ubi kentang berjaya memberi pelalian kepada tikus. Malangnya ubi kentang perlu dimasak dan akan merosakkan vaksin. Tumpuan kini untuk menghasilkan vaksin di dalam buah pisang agar senang dimakan oleh kanak-kanak. Bayangkan kanak-kanak ke klinik untuk imunisasi, hanya diberikan buah pisang dan bukannya suntikan. Tiada lagi tangisan! Buah yang murah dapat dihantar ke negara miskin dengan mudah dan dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Pemindahan gen dari pokok atau bakteria telah menghasilkan beberapa pokok yang tahan kulat atau serangga. Ini dapat mengurangkan penggunaan racun kulat atau racun serangga di ladang.

Pemindahan gen ini diharap menghasilkan kelapa sawit yang rintang kulat perosak akar, ganoderma, atau serangga seperti ulat bungkus.

Penghasilan pokok yang rintang racun herba banyak dihasil dan dikomersialkan. Pokok-pokok ini akan hidup apabila disiram dengan racun herba berkenaan, sebaliknya pokok rumpai yang lain akan mati.

Ada banyak lagi kemajuan yang dicapai oleh bioteknologi tumbuhan. Apa yang telah dibincangkan membuktikan betapa pentingnya bidang bioteknologi kepada manusia dalam meningkatkan penghasilan makanan dan meninggikan pendapatan pengusaha ladang.

Kajian genomik pula adalah kajian hubungan antara gen dan fungsi mereka. Dua aktiviti popular kajian genomik ialah penjujukan semua gen di dalam sesuatu hidupan dan analisis fungsi pelbagai gen dalam suatu keadaan seperti apabila pokok didedahkan pada suhu tinggi atau apabila kulat menjangkiti pokok. Kajian penjujukan semua gen kini semakin popular, malah keseluruhan gen dan DNA yang terkandung di dalam pokok Arabidopsis dan padi serta beberapa kuman dan kulat berjaya dijujukan. Dengan kejayaan penjujukan keseluruhan gen manusia, punca banyak penyakit yang merbahaya akan dapat diketahui dan langkah merawat atau mencegahnya dapat dilakukan secara berkesan. Sebagai contoh apabila racun pembunuh sel barah dimasukkan ke dalam tubuh, ia akan terus kepada sel barah dan membunuhnya tanpa memberi kesan sampingan kepada sel lain. Begitu juga penentuan gen yang berfungsi apabila pokok sawit diserang kulat yang akan dapat membantu kita mengetahui tanda awal jangkitan, kegemaran kulat berkenaan atau apakah yang sebenarnya terjadi ketika jangkitan. Pengetahuan ini dapat membantu merancang strategi menghalang atau mungkin melewatkan jangkitan kulat tersebut.

Kaedah terkini yang membolehkan ahli sains mengkaji kesan beribu-ribu gen pada satu masa adalah ‘teknologi cip DNA’ (DNA chip atau microarray technology). Kaedah ini masih baru di. Melalui penggunaan teknologi berkenaan, fungsi ribuan gen sama ada meningkat atau menurun akan dapat diketahui. Teknologi ini telah berjaya mengurangkan masa analisis fungsi ribuan gen daripada beberapa tahun kepada beberapa minggu saja.

Akhirnya, apakah kaitan kaedah genomik ini dengan kejuruteraan genetik? Pengetahuan mengenai fungsi gen yang diperoleh hasil kajian genomik akan dapat membantu merancang aktiviti kejuruteraan genetik dengan menentukan gen sasaran yang akan memberikan hasil yang paling berkesan. Kaedah genomik juga telah membantu usaha mendapatkan gen yang diperlukan daripada pokok sawit untuk tujuan kejuruteraan genetik. Teknologi cip akan membantu menentukan kesan baik dan tidak baik yang diperoleh hasil pemindahan sesuatu gen. Kesimpulannya, kajian genomik dan kejuruteraan genetik adalah saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Thu Sep 24, 2009 1:29 pm


CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Biojisim dan Biokomposit daripada Sisa Padi

Post  CikguPA on Wed Nov 04, 2009 9:47 pm

Pada masa dahulu sisa sekam dan jerami padi akan dilupuskan oleh para petani dengan cara pembakaran terbuka. Kaedah ini agak mencemarkan alam sekitar dan boleh menjejaskan kualiti udara.

Bagi mengatasi masalah ini beberapa alternatif dijalankan iaitu dengan melaksanakan kitar semula jerami padi untuk dijadikan sebagai baja kompos. Selain itu terdapat kegunaan lain sisa padi secara komersil dilaksanakan. Antaranya ialah penggunaanya sebagai tenaga biojisim dan biokomposit.

Sisa padi seperti jerami dan sekam mempunyai potensi yang tinggi untuk di komersilkan. Ada dua potensi penting sisa padi ini iaitu tenaga biojisim dan biokomposit dalam pembuatan perabot.

Tenaga biojism ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada pereputan bahan – bahan organik seperti tumbuhan dan haiwan. Sekam dan jerami padi boleh dijadikan sebagai bahan api untuk memanaskan dandang pada loji janakuasa tenaga.

Manakala sekam padi pula mempunyai sifat – sifat yang baik untuk dijadikan bahan tambah dalam pembuatan komposit seperti papan partikel dan siling. Penggunaan sisa sampingan industri padi ini berupaya meningkatkan pendapatan ekonomi disamping menyelamatkan alam sekitar dari terus tercemar.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Bioaktif sawit bantu hindar sakit bahaya

Post  CikguPA on Tue Nov 10, 2009 9:38 pm

Bioaktif sawit bantu hindar sakit bahaya
Oleh Haryani Ngah dan Siti Haliza Yusop

Sumber seperti tokotrienol mempunyai bioefikasi berpontensi kurangkan beban risiko penyakit

PERUBAHAN gaya hidup, tabiat pemakanan dan keadaan alam yang tercemar menjadi faktor kepada penyakit jantung, diabetis dan kanser.

Sedar akan bahaya yang menimpa, masyarakat turut mengambil berat berhubung penjagaan kesihatan dan mengambil langkah menjaga pemakanan menerusi pengambilan khasiat tambahan bagi melindungi diri daripada risiko penyakit berkenaan.



Bagi melindungi daripada risiko serangan penyakit berkenaan, bahan bioaktif daripada sawit adalah paling sesuai. Kajian selama 10 tahun yang dibuat terhadap bahan ini menunjukkan ia adalah lebih baik berbanding bioaktif dari sumber lain.

Sumber bioaktif sawit seperti tokotrienol, karotenoid dan phenolik, adalah antara bahan ramuan yang mengandungi khasiat yang tinggi dan mempunyai bioefikasi yang berpontensi untuk membantu mengurangkan beban risiko penyakit berkenaan.

Timbalan Menteri, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin berkata, Malaysia tidak hanya menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit mentah dan bertapis tetapi kini berusaha menghasilkan bioaktif sawit dan memasarkannya di pasaran global.

“Tokotrienol yang terkandung dengan banyaknya dalam minyak sawit juga adalah antioksidan penting untuk tubuh badan manusia dan boleh digunakan bagi membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan melambatkan proses penuaan.

“Disebabkan kandungannya di dalam nutraseutikal dan kosmeseutikal memainkan peranan penting dalam memastikan gaya hidup lebih sihat, kerajaan akan memperbanyakkan kajian dan pembangunan (R&D) bioaktif dalam minyak sawit menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Antara kajian yang sedang dijalankan kini termasuk penyelidikan antikanser dan modulasi kolesterol hasil kerjasama dengan beberapa institusi lain.

“Walaupun industri ini sedang berkembang pesat namun proses dan paten baru mesti dibangunkan bagi mengurangkan kos produksi sekali gus memenuhi permintaan baru melalui kaedah yang lebih mesra alam.

“Perniagaan berkaitan Nutra-Kosmeseutikal sangat kompetitif dan pengusaha produk berasaskan bahan ini perlu bersaing dengan pengeluar lain yang ada di pasaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Nutra-Kosmeseutikal Sawit (PINC 2009) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Yusof Basiron.

Acara selama dua hari itu menampilkan 16 penceramah yang membentangkan kajian berhubung kepentingan tokotrienol, karotenoid dan phenolik.

PINC 2009 disertai oleh pengeluar, pengimport dan pengeksport produk nurtaseutikal dan komeseutikal, ahli akademik, pakar kesihatan serta semua yang terbabit di dalam industri nutraseutikal dan kosmeseutikal.

Persidangan itu yang bertemakan ‘bioaktif untuk gaya hidup sihat - khasiat tersembunyi minyak sawit’ dipilih untuk memberi pengiktirafan kepada fungsi positif bioaktif sawit seperti vitamin E-tokotrienol, karoten dan phenolik, yang terkandung di dalam bahan makanan dan barangan penjagaan diri yang terdapat di pasaran.

Antara kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan itu membincangkan kelebihan tokotrienol berasaskan minyak sawit, tokorienol sebagai bahan pencegah kanser dan kepentingan dalam aktiviti biologikal.

Hamzah berkata, perniagaan berkaitan Nutra-Kosmeseutikal sangat kompetitif dan pengusaha produk berasaskan bahan ini perlu bersaing dengan pengeluar lain yang ada di pasaran.

Sehubungan itu, penganjuran PINC ada satu cara untuk mewujudkan kesedaran dan mempromosikan kepentingan bahan bioaktif sawit bukan saja di Malaysia tetapi di pasaran antarabangsa.

“Persidangan mengenai nutraseutikal dan kosmeseutikal berasaskan sawit ini adalah pertama kali di adakan bukan saja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa dan dihadiri oleh penceramah dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

“Pengeluar di negara ini perlu mengambil inisiatif mendidik pengguna dan menghebahkan kebaikan pengambilan vitamin berasaskan sawit iaitu Vitamin E, karotin dan phenolik yang jauh lebih berkesan berbanding dengan pelbagai produk import lain,” katanya.

Hamzah berkata, eksport minyak sawit di negara ini menyumbangkan sejumlah RM65.2 billion dan Malaysia kini melangkah ke satu tahap lagi apabila turut mengekstrak bioaktif dalam tumbuhan itu sebelum dipasarkan di seluruh dunia.

Sehubungan itu, tumpuan kini diberikan kepada usaha mempertingkat pengeluaran sawit termasuk membuat kajian bagi mengenalpasti cara yang boleh menghasilkan lebih banyak pengeluaran berbanding yang ada sekarang.

Dengan pendekatan ini, diharapkan Malaysia terus menjadi penyumbang terbesar bagi memenuhi keperluan minyak sawit global.

“Saya percaya pembangunan dan peningkatan menyeluruh dalam industri hiliran termasuk bioaktif akan meningkatkan lagi permintaan terhadap komoditi dan sekali gus meningkatkan lagi nilai tambah terhadap sawit dan akan menjadikan industri ini mampu bersaing dengan minyak berasaskan sumber lain,” katanya

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Tue Nov 17, 2009 7:44 pm

135 syarikat bioteknologi diwujudkan sejak 2005

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Sebanyak 135 rangkaian syarikat bioteknologi berstatus BioNexus diwujudkan sejak pelancaran Polisi Bioteknologi Nasional empat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, RM1.51 bilion pelaburan diluluskan daripada jumlah rangkaian syarikat tersebut.

"Malah 17 daripada syarikat itu turut mendapat suntikan pelaburan terus dari luar negara.

"Ini petunjuk positif bagi negara untuk mencapai kejayaan sebagai hab bioteknologi antarabangsa meliputi bidang pertanian, kesihatan dan sub-sektor bioteknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi di sini hari ini.

Mesyuarat diadakan sempena Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 yang dihadiri sembilan ahli panel antarabangsa serta dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Iskandar Mizal, syarikat yang berstatus BioNexus layak menerima beberapa jenis insentif, geran dan jaminan pengurusan melalui BiotechCorp.

Tambah beliau, terdapat tiga syarikat yang mempunyai modal pasaran berjumlah RM2.2 bilion serta disenaraikan di pasaran saham antarabangsa.

"BiotechCorp sebagai agensi utama dalam pembangunan industri bioteknologi di Malaysia akan terus berusaha membantu kerajaan memajukan bidang ini.

"Kini fokus menjurus ke arah pelaksanaan bioteknologi selaras dengan gesaan Perdana Menteri hasil mesyuarat hari ini," katanya.

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  nicole_yue on Fri Nov 20, 2009 5:12 pm

cikgu...adakah soalan bioteknologi ini akan diramal keluar pada tahun ini? confused

nicole_yue

Posts: 5
Join date: 2009-08-31
Age: 19
Location: Kota Kinabalu

View user profile

Back to top Go down

Re: BIOTEKNOLOGI

Post  CikguPA on Fri Nov 20, 2009 6:48 pm

mungkin juga salah satu cara menangani krisis makanan.... boleh cube bersedia n cari info..gluck

CikguPA

Posts: 256
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


Permissions of this forum:
You cannot reply to topics in this forum