RASUAH

Post new topic   Reply to topic

View previous topic View next topic Go down

RASUAH

Post  CikguPA on Wed Nov 26, 2008 12:37 pm

Rasuah

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
Meminta/Menerima Rasuah
Menawar/Memberi Rasuah
Membuat Tuntutan Palsu
Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Rasuah di kalangan penguatkuasa adalah perkara biasa di kebanyakan negara pengeluar petroleum dan negara miskin terutamanya di Amerika Latin.

Indeks ini ialah indeks persepsi korupsi yang dikumpul dari ahli perniagaan atau bisnes yang memberi mata dengan skala 0 hingga 10 dengan 10 (bersih dari rasuah) dan 0 (kadar rasuah yang amat tinggi). Indeks ini telah dirangka oleh Transparency International satu badan antarabangsa yang menganalisa ketelusan serta kadar rasuah diperingkat global. Antara negara-negara yang mempunyai kadar rasuah yang amat tinggi dan mendapat mata di antara 1.5 dan 2.0 dalam TI Corruption Perceptions Index 2004 termasuklah:

Haiti
Bangladesh
Nigeria
Myanmar
Chad
Paraguay
Azerbaijan

Di kalangan negara ASEAN (selain Myanmar), Indonesia mempunyai mata yang sangat rendah iaitu pada 2.0. Manakala Malaysia terletak di bahagian yang lebih tinggi iaitu dengan mata 5.0. Namun negara ASEAN yang mendapat keyakinan paling tinggi ialah Singapura dengan 9.3.

Laman Web Rasmi Badan Pencegah Rasuah: http://www.bpr.gov.my/cda/m_home/index.php

TQ study

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Hutang Punca Rasuah

Post  CikguPA on Wed Mar 18, 2009 11:39 am

Hutang punca pejawat awam amal rasuah

LAPORAN Pelan Integriti Nasional - Penilaian dan Hala Tuju (Tekad 2008) yang diumumkan semalam mendedahkan hampir 74 peratus kakitangan awam yang cenderung menerima suapan berpunca daripada terlalu banyak beban hutang dan gagal mengawal perasaan kerana mempunyai lebih ruang serta peluang melakukannya.

Laporan itu juga menyatakan amalan rasuah berleluasa di kalangan penjawat awam kerana ramai masih keliru dengan skop perbuatan yang dianggap rasuah atau sebaliknya.

Kajian persepsi awam terhadap rasuah yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati agensi penguat kuasa undang-undang kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada risiko rasuah termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kira-kira 70 peratus gejala rasuah dalam perkhidmatan awam membabitkan 10 jabatan kerajaan, terutama agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan yang mempunyai keanggotaan besar.

Dalam konteks perundangan, kajian antara 2007 hingga 2008 itu mendapati masih ada anggota perkhidmatan awam kurang jelas mengenai penakrifan rasuah seperti penerimaan hadiah dan percanggahan kepentingan.

Walaupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 membawa banyak pembaharuan berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dimansuhkan, tidak ada penakrifan khusus mengenai istilah rasuah, sebaliknya hanya membuat takrifan mengenai ‘suapan’.

Sehubungan itu, Laporan Tekad mengesyorkan program kesedaran mengenai rasuah, terutama amalan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah perlu diperhebatkan untuk penjawat awam dan orang awam supaya tidak timbul kekeliruan mengenai apa yang dibolehkan dan yang dilarang.

Pada masa sama, IIM, menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN), berusaha mengurangkan gejala rasuah dengan sasaran menaikkan 5.2 mata Persepsi Indeks Rasuah (CPI) yang ditetapkan pada 2003 kepada 6.5 mata menjelang 2008.

Sejak lima tahun PIN dilancarkan, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan bagi membanteras rasuah tetapi negara hanya memperoleh 5.1 mata bagi 2007 dan 2008 berbanding mata tertinggi 5.32 pada 1994 dan terendah 4.8 pada 2000.

Rasuah juga mengakibatkan pengaliran keluar modal kerana kebanyakan perolehan haram ini disimpan di bank pesisir pantai, manakala kajian Suruhanjaya eropah mendapati antara 10 hingga 20 peratus kenaikan harga barang berpunca daripada rasuah.

Justeru, laporan itu turut menekankan kepentingan umum diberi penjelasan mengenai pelbagai bentuk rasuah, bukan saja yang membabitkan pertukaran wang antara dua pihak tetapi merangkumi penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Rasuah dari kaca mata agama

Post  CikguPA on Sat Mar 21, 2009 10:55 am

Rasuah dari kaca mata agama
KETIKA mana rasuah itu berlaku? Jenayah rasuah itu benar-benar berlaku apabila ada orang yang memberi wang atau habuan lain dan ada pula orang yang mahu menerimanya dengan tujuan tertentu untuk kepentingan orang yang memberinya. Umpamanya si A memberi sejumlah wang kepada si B dengan tujuan si B mengundi si A. Apabila tiba masa mengundi, si B benar-benar mengundi si A. Mengikut hukum adat yang memberi itu bersalah dan dijatuhkan hukuman. Adapun hukum Allah kedua-dua mereka iaitu yang memberi atau yang menerima bersalah dan tempatnya dalam neraka. Hadis Nabi Muhammad SAW dalam perkara ini sangatlah jelas kerana Rasulallah bersabda "Kedua- dua orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah dihumban masuk ke dalam neraka".

Proses menjatuhkan hukum di dunia ini melalui perbicaraan di mahkamah atau di kamar yang diberi kuasa untuk membicarakannya. Dalam perbicaraan itu mesti ada bukti dan saksi. Saksi dan bukti itulah menjadi asas hakim membuat keputusan mengikut undang-undang yang ada dalam negeri itu atau undang-undang dan peraturan yang ada dalam parti itu. Kadang-kadang orang yang bersalah itu boleh terlepas daripada hukuman kerana bukti tidak cukup atau kerana sebab teknikal.

Ada pun perbicaraan pada hari akhirat kelak, yang menjadi saksi ialah kaki dan tangannya kerana mulut telah dikunci rapat-rapat seperti tersebut dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: "Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberi tahu kami atas kesalahan masing-masing dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Inilah perbicaraan yang akan berlaku di Padang Mahsyar kelak. Satu perbicaraan yang sangat adil tanpa memerlukan peguam lagi.

Rasuah tidak berlaku, jika wang suapan itu tidak sampai kepada tujuan orang yang memberi. Umpamanya si A memberi wang suapan kepada si B tetapi si B tidak juga mengundi si A. Si B beranggapan wang yang diberi itu sebagai derma atau sedekah jariah sahaja kepadanya. Wang yang diberi itu diambil tetapi apabila sampai pada hari mengundi, si B akan mengundi sesiapa sahaja yang layak menduduki tempat yang terpilih itu.

Dalam minggu ini, ramai orang yang hendak mengetahui siapakah pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang. Yang hendak mengetahui itu bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga orang yang berada di luar UMNO sama ada pembangkang atau orang atas pagar. Perkara ini berlaku kerana BN yang bertunggakkan UMNO masih kuat dan sukar ditumbangkan.

Bolehkah UMNO yang bertunggakkan BN itu boleh ditumbangkan kerana gejala politik wang? Inilah perkara yang sangat dibimbangkan oleh bangsa Melayu hari ini. Jika ini berlaku, orang Melayu harus menerima hakikat bahawa Melayu akan hilang kuasanya di dunia ini kerana dipengaruhi oleh politik wang.

Jika UMNO mahu terus berkongsi kuasa dengan komponen parti dalam BN, maka gejala rasuah itu hendaklah dihalang dan disekat oleh mereka yang mewakili Bahagian UMNO dalam perhimpunan agung UMNO akhir bulan ini. Jika ada apa-apa usaha untuk menggagalkan lembaga disiplin UMNO menjalankan tugasnya, maka usaha itu hendaklah dicegah melalui nasihat yang baik dan berhikmah.

Apalah yang untung dengan satu ribu, jika selepas ini anda tidak lagi dipilih sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO? Perkara ini boleh berlaku kerana anda menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Perbuatan khianat itu boleh menghilangkan Melayu di dunia ini. Di akhirat kelak orang yang memberi dan menerima rasuah itu akan dicampak ke dalam neraka setelah selesai perbicaraan di Padang Mahsyar nanti.

Perkara ini termasuk dalam Rukun Iman. Percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada syurga dan neraka adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Mengapa kita mahu menggadaikan segala amalan kita dalam solat lima waktu dan solat Jumaat tetapi akhirnya dicampak ke dalam neraka kerana menerima suapan rasuah politik? Hukuman ini sangat adil kerana di akhirat kelak tangan yang menerima atau memberi suapan itu sendiri menjadi saksi.

DATUK ABD. MANAF AHMAD

Ketua Penerangan

MUBARAK Malaysia.

CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

Re: RASUAH

Post  PnLeela on Sat Mar 21, 2009 1:34 pm

Cikgu,
Saya amat tertarik dengan fakta-fakta yang dipaparkan dalam artikel berkaitan dengan amalan rasuah dari kaca mata agama.
Memang benar, semua agama di dunia ini mengutuk perbuatan yang hina ini dan tindakan manusia yang sanggup mengadaikan etika, nilai moral dan intergriti semata-mata untuk memiliki mata wang ciptaan manusia sendiri.

Terima kasih kerana perkongsian pandangan yang membina

PnLeela
Admin

Posts: 242
Join date: 2008-01-03

View user profile http://pengajianam900.forumotion.com

Back to top Go down

Re: RASUAH

Post  CikguPA on Tue Sep 08, 2009 7:08 pm

GEJALA RASUAH DAN KESANNYA

Oleh: Norhafifi Yahya

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)

PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH
Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH
Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH
Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan JAtidiri

Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan

-Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman

Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT

-Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.


CikguPA

Posts: 253
Join date: 2008-11-26
Age: 41
Location: bbb

View user profile http://wwwcikgunikmie.blogspot.com/

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


Permissions of this forum:
You cannot reply to topics in this forum